Thursday, 11 May 2006

IMAM AL-HADHARI 'BUTA KAYU' TIDAK NAMPAK GEJALA POLITIK WANG BERLELUASA KETIKA PEMILIHAN Umno DAN PILIHANRAYA UMUM


JOHOR BAHARU 11 MEI : Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membidas pengkritik Umno kerana tidak pernah mengiktiraf usaha parti itu memperkukuhkan integriti ahli-ahlinya, sedang ia merupakan aspek pencegahan rasuah dan politik wang.

Beliau menegaskan, usaha pembasmian rasuah dan politik wang bukan dari sudut pembersihan sahaja, tetapi ia juga menyentuh aspek pencegahan.

"Inilah barangkali jarang ditekankan oleh para pengkritik parti. Mereka ghairah untuk menghukum itu dan ini," katanya dalam wawancara satu penerbitan khas sempena ulangtahun ke-60 Umno di Istana Besar Johor, di Johor Bahru hari ini.

"Tetapi mereka tidak pernah mengiktiraf usaha kita untuk memperkukuhkan integriti ahli parti. Ini adalah aspek pencegahan," tambah beliau yang juga Presiden Umno.

"Saya nak maklumkan bahawa apa yang saya lakukan ialah kesinambungan dari kepimpinan masa yang lalu. Kalau ada orang dihukum ianya adalah kerana badan disiplin Umno telah mendapati mereka melakukan kesalahan.

Ramai pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Isa Samad yang memenangi jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang lalu, telah digantung keahlian dan dilucut jawatannya itu apabila didapati bersalah terbabit dalam politik wang.

"Ada aduan daripada perwakilan. Ini bukan kerja presiden atau MT sahaja," tambahnya.

Apa yang menghairankan kita bagaimana Imam Al-Hadhari ini tidak nampak anak buah menggunakan wang untuk membeli pengundi semasa Pilihanraya Umum dan pemilihan Umno. Aduan demi aduan di buat oleh PAS dan parti pembangkang tidak dihiraukan.

Malah tindakan yang dikenakan kepada Isa Samad dan Amid Nordin hanyalah tindakan yang 'separuh masak' kerana mereka langsung tidak dihukum mengikut undang-undang rasuah yang ada dalam negara kita.

Malah masih ramai 'jerung-jerung' yang terlibat dengan rasuah politik atau politik wang yang masih bebas berkeliaran menjadi pemimpin tertinggi negara sekarang ini.

Apa jadi dengan aduan terhadap Rafidah, Khir Toyo dan lain-lain. Semuanya di'bakul sampah'kan dan tidak diketahui di mana dicampakkan segala aduan tersebut.

Gejala ini sekali lagi akan dapat dilihat dalam kempen Pilihanraya Negeri Sarawak yang sedang rancak berlangsung sekarang.

Janganlah Imam Al-Hadhari cuba berselindung dengan kata-kata manis yang langsung tidak diterjemahkan kepada pengamalan dan penghayatan.


Penubuhan parti Islam di selatan Thai dua bulan lagi


Sebuah parti Islam dijangka dilancarkan dalam masa dua bulan lagi untuk menarik sokongan lebih empat juta penduduk Islam, terutama di wilayah selatan Thailand.

Penubuhan parti yang mungkin dinamakan Ruan Thai Muslaim atau United Thai Muslim, dirancang oleh sekumpulan pemimpin dan ahli akademik Islam dan mungkin diketuai oleh seorang bekas menteri.

Bagaimanapun, menurut sumber, parti itu mungkin tidak akan dapat bertanding dalam pilihanraya umum akan datang sepertimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Perlembagaan dua hari lalu.

Isnin lalu Mahkamah Perlembagaan mengisytiharkan pilihanraya pada 2 April tidak sah dan memerintahkan pilihanraya baru diadakan.

Sumber itu yang terlibat dalam penubuhan parti berkenaan, berkata seorang bekas menteri perdagangan dijangka mengetuai parti berkenaan yang mungkin turut dibuka kepada orang bukan Islam.

"Sebelum ini kami mempunyai dua parti politik mewakili penduduk Islam tetapi tidak berjaya. Tetapi kali ini, kami yakin parti ini akan dapat memberi impak dalam senario politik Thai," kata seorang ahli akademik dalam satu temubual dengan Bernama di Bangkok.

Pilihanraya semula

Katanya, beberapa orang sedang menggubal perlembagaan dan dasar parti itu, tetapi penubuhannya tidak sempat dilakukan menjelang pilihanraya umum yang dijangka Julai ini.

Menurut satu lagi sumber, parti baru itu akan dapat menarik sokongan umat Islam negara itu berdasarkan keadaan politik semasa, terutama di wilayah majoriti penduduk Islam di selatan seperti Yala, Pattani, Narathiwat, Songkhla dan Satun di mana terdapat 22 kerusi Parlimen.

Dalam pilihanraya umum 2005, katanya, parti pemerintah Thai Rak Thai (TRT) hanya berjaya memenangi satu kerusi manakala dalam pada pilihanraya 2 April diboikot parti pembangkang utama, termasuk parti Demokrat yang kuat di sana. Pilihanraya semula diperintah diadakan dikebanyakan tempat selepas calon TRT yang bertanding seorang, gagal memperoleh 20 peratus undi yang diperlukan untuk dipilih.

"Sebelum ini tidak banyak isu bagi umat Islam, tetapi kekacauan yang berlaku kini menyaksikan perlunya bagi satu bentuk kumpulan sokongan. Dengan parti kami sendiri, kami boleh menyuarakan sungutan melalui saluran yang betul," katanya.

Bagaimanapun bekas pengerusi Narathiwat Muslim Council Abdul Rahman Samad agak ragu dengan idea itu, kerana menurutnya, penduduk Islam merupakan minoriti di negara ini dan tidak boleh menjadi satu kuasa politik yang kuat.

"Saya bersetuju dengan cadangan kami boleh berhimpun dalam satu parti tetapi hakikatnya kami tidak boleh mendapat lebih daripada itu kerana jumlah kami yang kecil. Jika kami bertanding sekalipun kami akan kalah," katanya.

Sertai parti sedia ada

Sebaliknya, Abdul Rahman mencadangkan warga Islam Thailand boleh menyertai parti politik sedia ada yang mempunyai peluang dan kekuatan menjadi sebuah kerajaan.

Daripada empat juta warga Islam dalam negara seramai 64 juta penduduk ini, 82 peratus tinggal di selatan, kata Abdul Rahman walaupun ada yang mendakwa umat Islam di negara ini berjumlah kira-kira enam juta orang.

Beliau berkata adalah mudah untuk mempunyai suara daripada komuniti di dalam kerajaan melalui penyertaan dalam parti sedia ada di mana umat Islam boleh memperjuangkan hak mereka melalui wakil mereka.

Tetapi yang lebih penting, kata Abdul Rahman, ialah masanya tidak sesaui bagi penubuhan sebuah parti Islam terutama dengan keganasan yang berlaku di selatan yang telah mengorbankan lebih 1,200 nyawa.

"Sedangkan tanpa sebuah parti politik sekarang pun buruk sangka dan tuduhan sering dlemparkan kepada kami, saya takut jika kami menubuhkan parti sendiri, keadaan akan bertambah buruk," katanya.

Pemberontakan di wilayah-wilayah muncul kembali pada Januari 2004 selepas berdekad lamanya kumpulan militan yang memperjuangkan kemerdekaan daripada kerajaan pusat mendiamkan diri.

Sumber : Malaysiakini


MUKTAMAR DEWAN PEMUDA NEGERI 14 MEI DI AR-RAHMAH


MELAKA 11 MEI : Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) akan mengadakan Muktamar tahunannya pada 14 Mei ini bertempat di Madrasah Ar-Rahmah, Solok Gaung, Ayer Molek bermula jam 8.30 pagi.

Muktamar ini akan dirasmikan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof.

Menurut jurucakap Dewan Pemuda Negeri, semua para perwakilan kawasan-kawasan diminta memakai pakaian rasmi pemuda iaitu baju kemeja putih dan seluar hitam ataupun jubah.

Muktamar tahun ini merupakan muktamar pertama DPPNM di bawah kepimpinan Us Kamaruddin Sedik yang mengambil alih tugas Ketua dari Azrin Majid sessi lepas.


TIADA SIAPA DAPAT MELAWAN KUASA ALLAH


KUALA LUMPUR 11 MEI: Walaupun Kelantan dituduh dengan pelbagai tuduhan jika berlaku banjir di negeri itu, namun bila Kuala Lumpur dilanda banjir semua pemimpin Umno senyap sepi tidak berani bersuara.

Tetapi itulah hakikat kekuasaan Allah. Walau sehebat mana manusia, kita tidak akan dapat melawan kekuasaanya. Inilah yang berlaku di Kuala Lumpur semalam.

Hujan lebat luar biasa di ibu kota selama kira-kira dua jam bermula 2 petang semalam, mencetuskan suasana kelam-kabut seketika apabila beberapa lokasi termasuk laluan utama dilanda banjir kilat.

Paling mencemaskan apabila 200 pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Confucian, Jalan Sungai Besi, terpaksa dipindahkan serta-merta ke tingkat satu bangunan sekolah terbabit selepas air Sungai Klang berhampiran melimpah.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, tembok batu setinggi dua meter yang dibina pihak sekolah untuk mengelak banjir ternyata gagal menghalang air sungai memasuki kawasan sekolah.

Pada masa sama, kawasan di sekitar Taman Miharja, Jalan Cheras, yang didiami keluarga anggota polis Kuala Lumpur turut ditenggelami air setinggi hampir satu meter.

Seorang penduduk, Harizan Che Omar, 34 , berkata air banjir tiba-tiba naik hingga paras pinggang dalam tempoh kurang dua minit menyebabkan penduduk di tingkat bawah Blok 9 dan Blok 15 tidak sempat berbuat apa-apa.

Menurutnya, banjir terbabit turut menyebabkan puluhan kereta dan beratus motosikal penduduk ditenggelami air termasuk beberapa motosikal milik polis trafik Kuala Lumpur.

Banjir kilat terbabit turut menyebabkan 30 kereta dihanyutkan arus deras sewaktu melalui Damansara Damai ke Sungai Buloh, petang semalam.

Di Cheras, banjir kilat mengakibatkan hampir 50 keluarga yang tinggal berhampiran Sungai Raya di Kampung Sungai Raya, Batu 9, cemas selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.6 meter.

Banjir kilat juga melanda Batu 9 Lebuhraya Cheras-Kajang mengakibatkan ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan jalan raya dari kedua-dua arah termasuk menghala ke Kuala Lumpur dan Kajang.

Pada masa sama, penduduk di Taman Tun Perak, Cheras, terdedah bahaya selepas jalan berhadapan Tangki Sedutan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Wilayah Hulu Langat, runtuh hampir satu meter.

Sementara itu, jurucakap bilik operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, paras air di Sungai Klang dan Sungai Gombak naik mencecah dua meter akibat hujan lebat terbabit.

Pihak DBKL memberitahu, banjir kilat terbabit turut menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas hampir di semua laluan utama di pusat bandar raya membabitkan Lebuh raya Persekutuan, Lebuh raya Sungai Besi, Lebuh raya Lingkaran Tengah (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Duta, Segambut, Jalan Kuching, Jalan Istana, Jalan Cheras, Hentian Puduraya dan Selayang.

Kesesakan lalu lintas itu berlanjutan sehingga jam 8 malam berikutan penutupan beberapa jalan utama di Bukit Bintang, Jalan Sungai Buloh dan Jalan Cheras-Kajang.

Keadaan itu diburukkan lagi berikutan kerja mengalihkan dahan pokok tumbang di Jalan Istana dan Jalan Imbi.

Jurucakap bilik kawalan Polis Trafik Jalan Bandar pula berkata, anggota polis trafik ditempatkan di laluan yang ditenggelami air untuk mengawal pergerakan lalu lintas.

Sumber: Harian Metro


KESALAHAN TELAH DIBUAT. CUKUPKAH SEKADAR MINTA MAAF



KUALA LUMPUR 11 Mei - Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd. Said Yusof yang sebelum ini begitu lantang `menghentam' Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di Dewan Rakyat sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi, memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dua hari lalu.

Menurutnya, permohonan maaf tersebut dibuat ketika berjabat tangan dengan Perdana Menteri selepas majlis taklimat khas kepada pemimpin UMNO Bahagian di Ibu Pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

``Saya bersalam dengan Perdana Menteri dan memberitahu beliau, jika saya salah dalam hal ini, saya minta maaf,'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mohd. Said juga menjelaskan, permohonan maaf itu juga dibuat berhubung laporan akhbar minggu lalu yang mendakwa beliau meminta Kastam `menutup sebelah mata' berhubung kes membawa kayu bergergaji tidak memenuhi spesifikasi di Pelabuhan Tukar Barang Sungai Rambai dan Kuala Linggi, Melaka.

Persoalannya cukupkah sekadar meminta maaf. AL-Badawi sebagai seorang pemimpin yang kononnya berusaha menghapuskan rasuah sepatutnya mesti mengarahkan BPR membuat siasatan serta merta kerana ianya melibatkan nama baik Parlimen Malaysia. Ini kerana jika sekiranya benar Ahli Parlimen ini menyalahgunakan kedudukannya maka sudah pasti nama Parlimen Malaysia terpalit sama.

Malangnya dalam kenyataan akhbar kepada wartawan dua hari lepas Al-Badawi langsung tidak membayangkan bahawa siasatan akan dibuat. Cuma Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz sahaja yang mencadangkan supaya BPR bertindak. Itupun mungkin secara lisan sahaja.

Inilah maruah sebenar pemimpin Umno samada PM atau Ahli Parlimen itu sendiri, mereka langsung tidak menunjukkan perasaan malu. Kalau di negara maju sudah tentu Ahli Parlimen Jasin itu telah meletakkan jawatannya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jasin itu yang mempunyai dua syarikat iaitu ejen perkapalan dan pengangkutan (forwarding) enggan mengulas lanjut sama ada Perdana Menteri ada menyatakan sesuatu selepas beliau berbuat demikian.

Diminta menjelaskan sama ada kayu bergergaji itu milik syarikatnya, beliau berkata, syarikatnya hanya mengendalikan urusan sebagai ejen di pelabuhan berkenaan dan bukan peniaga kayu.

Katanya, `BinYusuf Enterprise' miliknya adalah agensi perkapalan dan pengangkutan yang mengendalikan pengimportan kayu bergergaji dari Indonesia di kedua-dua pelabuhan terbabit.

Beliau menegaskan, sejak Januari lalu, KDRM menyita kayu tidak mengikut spesifikasi dan melelongnya, sekali gus merugikan peniaga kayu di kawasan terbabit.

``Akibat tidak mahu menanggung kerugian, pengeksport kayu dari Indonesia itu beralih ke Pelabuhan Jurong, Singapura.

``Ini sekali gus, merugikan peniaga di pelabuhan berkenaan dan negara,'' ujarnya.

Menjelaskan pertemuannya dengan Pengarah dan Penolong Pengarah (Pencegahan) KDRM di ibu pejabat KDRM di Wisma Kastam, Ayer Keroh pada 14 April lalu, Mohd. Said berkata, ia dibuat selepas diminta oleh pengusaha jeti, peniaga kayu dan ejen di kedua-dua pelabuhan itu.

Selagi siasatan rapi tidak di buat dan tindakan sewajarnya tidak di ambil selagi itulah ingeriti Al-Badawi dan partinya boleh dipersoalkan sepertimana tiadanya tindakan mahkamah yang diambil keatas pesalah rasuah politik dalam Umno.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59