Tuesday, 18 April 2006

SATU LAGI SURAU DIROBOH OLEH KERAJAAN ISLAM HADHARI DAN AGENSINYA.


SUNGAI PETANI 18 APR: Setelah kejadian meroboh surau dan masjid dilakukan oleh kerajaan Islam Hadhari Negeri Selangor dan Terengganu melalui Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing, kini tiba pula giliran kerajaan Islam Hadhari negeri Kedah berbuat demikian.

Sebuah media cetak hari ini melaporkan kejadian tersebut berlaku di Seksyen 2, Bandar Puteri Jaya di sini semalam.

Seorang penduduk di situ iaitu Sdr Yasir Said memberitahu media tersebut bahawa beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana sebaik tiba di lokasi selepas mendapat panggilan daripada seorang kenalan kira-kira jam 9.25 pagi, surau itu sudah pun dirobohkan.

Dia kesal kerana Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah (MSPK) tidak menghubungi penduduk atau ahli jawatankuasa surau sebelum meroboh bangunan terbabit.

Katanya, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada seorang pegawai penguat kuasa yang mengetuai kira-kira 30 pegawainya dan dua jentolak milik MSPK namun tidak dilayan sewajarnya.

“Mereka seolah-olah mahu cepat beredar sebelum lebih ramai penduduk di situ tiba bagi mendapatkan penjelasan tindakan rasional yang dilakukan MSPK.

“Mereka mengambil masa hanya lima minit meroboh surau yang dibina sejak Februari lalu. Saya berasa cukup sedih kerana impian menggunakan surau di kawasan sendiri berkecai,” katanya.

Pengerusi surau, Mohamad Nokhoin Junus, berkata pihaknya sebelum ini sudah memohon pembinaan surau berkenaan melalui Pejabat Agama Daerah Kuala Muda kepada MSPK pada 16 Mac 2003.

“Oleh kerana tiada sebarang jawapan bertulis daripada MPSPK, kami mengambil inisiatif mengumpul wang penduduk Islam untuk membinanya pada Februari lalu.

“Ini dilakukan kerana Seksyen 2 BPJ tidak mempunyai surau dan kami menyewa sebuah rumah di Jalan 2/9 sebagai surau sementara yang sudah tentu tidak dapat menampung pertambahan penduduk Islam di seksyen ini iaitu kira-kira 700 orang.

“Selain itu, surau terdekat terletak di Seksyen 1, kira-kira empat kilometer dari sini dan menyukarkan penduduk berulang alik terutama yang tidak berkenderaan,” katanya.

Katanya, permohonan kedua dibuat pada pertengahan 2004 dan terbaru pada 16 Februari lalu, namun pihaknya terkejut apabila menerima notis meroboh daripada MPSPK pada 14 Mac lalu dengan alasan sudah melanggar Seksyen 72, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Bagaimanapun, saya membuat rayuan susulan pada 4 April lalu dan hari ini MSPK meroboh surau yang sudah 70 peratus siap tanpa mengadakan perbincangan terlebih dulu yang mengakibatkan kami kerugian lebih RM40,000,” katanya.

“Kemungkinan kami membawa kes ini ke mahkamah selepas berbincang sesama penduduk dan peguam yang dilantik,” katanya.

Inilah rentetan kezaliman kerajaan Islam Hadhari yang dilihat sudah sampai ke kemuncak apabila sanggup merobohkan rumah Allah. Semasa zaman penjajah dahulu, mereka tidak berani berbuat demikian kerana mereka tahu surau atau masjid adalah tempat beribadat orang Islam yang sepatutnya tidak diganggu apatah lagi dirobohkan.

Kita juga hairan bagaimana kerajaan Islam Hadhari ini hanya berani bertindak terhadap orang Islam tetapi bila berhadapan dengan orang bukan Islam mereka kecut perut. Mereka bukannya tidak tahu bahawa berapa banyak Tokong Buddha dan Kuil Hindu yang dibina secara haram diseluruh negara samada berhampiran dengan jalanraya maupun dibuat di dalam rumah persendirian. Tetapi puak-puak pengecut ini sedikitpun tidak berani mengambil tindakan ke atas orang bukan Islam.

Rakyat terutama orang Islam mestilah sedar dan bangkit untuk menumbangkan kerajaan zalim ini.


PEMUDA BUKIT KATIL SOKONG GESAAN PPIM SUPAYA KERAJAAN GUBAL AKTA HALAL


BUKIT KATIL 18 APR : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menyokong gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menggesa kerajaan segera menggubal Akta Halal bagi membolehkan pihak yang menggunakan tanda halal sewenang-wenangnya pada produk mereka diheret ke mahkamah.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, ketiadaan akta itu menyebabkan pengeluar makanan tidak halal tidak takut untuk menipu dengan menggunakan sewenang-wenangnya logo halal.

"Sesiapa pun boleh menggunakan logo halal. Pengguna Islam yang tanggung beban ini kalau terpaksa beli produk haram tapi ada logo halal," kata Penyelaras Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noor Din.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai daging cincang dalam tin jenama "Greatwall" yang disahkan tidak halal oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) walaupun ada tanda halal dalam tulisan rumi pada tin itu.

Setiausaha DPP PAS Kawasan Bukit Katil, Khairuddin Ismail berkata selagi akta demikian tidak digubal selagi itulah peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab akan melakukan pelbagai penipuan dan penyelewengan berkaitan dengan status halal produk mereka.

"Siapa yang mahu bertanggungjawab kalau orang-orang Islam termakan dan terminum benda-benda haram ini" soal Khairuddin ketika dihubungi pagi ini.

Menurut laporan Bernama semalam, Noor Niwandy khuatir ketiadaan Akta Halal menyebabkan masyarakat Islam dalam negara Islam seperti Malaysia terdedah dengan permasalahan makanan yang tidak halal.

Menurutnya PPIM sudah lama mencadangkan kewujudan akta ini kira-kira enam tahun lepas tetapi sampai sekarang tidak ada tindakan drastik.

Noor Nirwandy percaya kebanyakan pengusaha restoran India Muslim yang telah membeli produk itu dalam stok yang banyak kini berasa serba salah dan keliru.

Beliau seterusnya menasihati pengguna supaya sentiasa peka dan bijak dalam memastikan produk-produk yang dimakan dan diminum adalah halal.

Beliau memuji Nestle, yang mewujudkan majlis syariahnya sendiri untuk menjamin produk makanan keluaran mereka halal sehingga penguna Islam tidak ada keraguan untuk membeli barangan mereka.


BILA YB TURUN PADANG



Lihatlah gaya seorang pemimpin menyepak bola. Nampaknya memang YB ni biasa main bola waktu muda-muda dulu. Kelihatan Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato' Hj Husam Musa menyepak bola untuk memulakan suatu perlawanan dalam Pertandingan Bolasepak Piala ADUN Kijang.

Gambar ihsan perakan.net


SYABAS DEWAN PEMUDA PAS PAHANG











Syabas di ucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang yang berjaya menganjurkan kejohanan futsal peringkat negeri. Pemuda Melaka bila nak anjurkan pertandingan seumpama ini.


BERCIUM DAN PELUK BAHU HALAL DI SISI ISLAM HADHARI


MELAKA 18 APR : Islam Hadhari yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Al-Badawi semakin sesat dan menyesatkan. Semalam satu lagi dalil menunjukkan ajaran baru ini semakin terpesong jauh dari Islam.

Media hari ini melaporkan bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan hanya dibenarkan mengambil tindakan terhadap individu atau pasangan yang berbogel atau membuka pakaian untuk melakukan sesuatu yang menjurus kepada perlakuan seksual di tempat awam.

Perkara itu terkandung dalam draf garis panduan yang akan dimasukkan dalam Undang-undang Kecil Taman PBT sebagai panduan kepada penguat kuasa ketika menjalankan tugas.

Bagaimanapun, draf awal garis panduan itu, yang sudah disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas arahan Kabinet minggu lalu, tidak menyentuh mengenai isu bercium atau berpeluk di tempat awam.

Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting (gambar), berkata penguat kuasa PBT boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang berbogel atau ‘membuka baju untuk melakukan sesuatu’ kerana ia didefinisikan sebagai perbuatan lucah melampau.

“Definisi kelakuan lucah melampau atau sumbang ini akan diperincikan lagi selepas berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pelancongan.

“Hanya selepas definisi itu diluluskan Kabinet dan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), barulah ia akan diguna pakai secara seragam oleh semua PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Perbadanan Perbandaran Malaysia yang dihadiri semua Yang Dipertua PBT seluruh negara di Swiss Garden Resort di Damai Laut, dekat sini, semalam.

Ong berkata, definisi penting supaya anggota penguat kuasa PBT tidak membuat tafsiran sendiri terhadap undang-undang kecil berkenaan.

“Kita tidak mahu undang-undang kecil itu ditafsirkan sewenang-wenangnya sehingga pasangan yang berpegangan tangan atau memeluk bahu pun mahu diganggu.

“Kita tidak mahu anggota penguat kuasa PBT menjadi polis akhlak kecuali jika ada aduan daripada orang ramai yang menyatakan ada orang berbogel di kawasan awam seperti taman,” katanya.

Nampaknya Islam Hadhari hanya mengharamkan berbogel tetapi berpeluk dan bercium halal. Ajaran dan mazhab manakah yang dirujuk oleh As-Syeikh Al-Badawi dan kuncu-kuncunya?

Beliau juga berkata, anggota penguat kuasa tak perlu mengekori pasangan yang masuk ke taman untuk mengintip apa yang mahu mereka lakukan kerana ini akan menghantar mesej salah kepada dunia luar terutama pelancong asing.

“Isu ini turut mendapat perhatian pihak di luar negara serta boleh memberi kesan terhadap Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007, jika tidak dilakukan dengan betul,” katanya.

Selepas ini kita akan melihat pasangan muda-mudi akan bebas bercium, bercumbu dan berpelukan di taman-taman dan di khalayak ramai sepertimana yang berlaku di negara barat. Sudah pasti lebih banyak gejala maksiat akan berlaku dan kerajaan sepatutnya membina lebih banyak rumah kebajikan untuk anak-anak yang tidak berbapa dan beribu yang dibuang di tepi jalan, di sangkut di pagar masjid, di tepi belukar dan sebagainya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59