Monday, 17 April 2006

DUA KERUSI DUN MELAKA MESTI DIKOSONGKAN SERTA MERTA - HJ SALAMAT AMAN


BUKIT KATIL 17 APR : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil mendesak Ketua Menteri Melaka, Dato' Wira Ali Rustam supaya mengarahkan 2 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) nya mengosongkan kerusi serta-merta demi untuk membersihkan nama Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mulia.

Desakan ini adalah berdasarkan kepada kesalahan rasuah dan kesalahan-kesalahan-kesalahan lain yang dilakukan serta juga pergantungan keahlian kedua-dua ADUN tersebut oleh parti masing-masing.

Kedua-dua ADUN yang terlibat ialah ADUN Telok Mas, Amid Nordin dari Umno dan Chua Peng Song dari Gerakan.

Pengosongan kerusi kedua-dua DUN ini amat penting untuk membersihkan nama DUN Melaka yang tercemar disebabkan anggota-anggota yang bersalah masih dibenarkan mengekalkan kerusi masing-masing.

"Pengekalan mereka ini sudah tentu akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada DUN dan juga ianya jelas menjatuhkan martabat DUN Melaka" jelas Ketua DPP Kawasan Hj Salamat Aman ketika dihubungi pagi ini.

Semalam, Bekas Pengerusi Gerakan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bachang, Datuk Chua Peng Song, 52, digantung keahlian parti untuk tempoh masa tidak ditetapkan, berkuat kuasa 31 Mac lalu.

Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye menandatangani surat penggantungan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti pada 30 Mac lepas.

Peng Song dijangka menerima surat tersebut esok selepas Jawatankuasa Pusat (CC) mengesahkan keputusan yang dibuat oleh CWC.

Bagaimanapun tidak ada sebarang sebab dinyatakan dalam surat berkenaan mengenai penggantungan itu.

Peng Song juga tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut.

Dalam satu lagi surat ditandatangani oleh Kwang Chye pada 4 April lalu, Peng Song turut diminta tidak mengambil bahagian dalam aktiviti parti.

Peng Song tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan lepas setelah 16 tahun memegang jawatan itu.

Peng Song merupakan ADUN negeri ini yang kedua digantung keahlian selepas ADUN Telok Mas, Datuk Wira Amid Nordin, 53, yang digantung keahliannya dalam UMNO selama tiga tahun.

Amid pada September 2004 yang ketika itu merupakan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, digantung keahlian parti kerana didapati bersalah mengamalkan rasuah.


MESYUARAT AGUNG DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BUKIT KATIL PADA 23 APRIL 9.00 MALAM


BUKIT KATIL 17 APR : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kedua pada 23 April 2006, jam 9.00 malam di Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil.

Menurut Ketua DPP Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman seramai 60-100 orang perwakilan dari cawangan-cawangan dijangka hadir pada mesyuarat tersebut.

Hj Salamat mengharapkan semua cawangan-cawangan dapat mempastikan perwakilan mereka masing-masing hadir untuk menjayakan mesyuarat yang sangat penting ini.

Beliau juga menjemput semua pemuda-pemuda di seluruh Bukit Katil untuk sama-sama menjadi pemerhati pada majlis tersebut.


PROGRAM JAMUAN, DIALOG DAN TAHLIL BERSAMA TUAN GURU PRESIDEN DI AYER MOLEK 22 APRIL


BUKIT KATIL 17 APR : Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang akan bersama-sama rakyat pada 22 April ini di dalam majlis jamuan, dialog dan tahlil di Perkarangan Rumah Cikgu Hj Deris Md Tim, Kg Pedamar, Ayer Molek (Jalan Ayer Molek-Kandang) iaitu bermula jam 4.00 petang.

Program anjuran PAS Kawasan Bukit Katil ini akan dimulakan dengan Solat Asar, Tahlil dan jamuan. Seterusnya program dialog bersama Presiden akan bermula.

Pada sebelah malam pula, Tuan Guru akan berceramah di Pasti Jelatang, Alor Gajah.

Semua rakyat negeri Melaka di jemput hadir.


MALAYSIA TIDAK MENGALAH TETAPI TAKUT


M’sia tidak mengalah kepada Singapura, kata Najib

Malaysia menafikan yang ia telah ‘mengalah’ kepada Singapura apabila kerajaan membuat keputusan mengejut membatalkan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipetik oleh akhbar New Straits Times sebagai berkata, ia dibuat berikutan kegagalan rundingan (dengan Singapura).

"Lebih baik kita mengambil pendirian sekarang, daripada terbabit dengan pertikaian perundangan dengan Singapura kemudian,” katanya sambil menambah, keputusan itu dibuat selepas ia dikaji semasak-masaknya.

Malaysia membatalkan rancangannya untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor kerana tidak dapat menerima syarat-syarat Singapura yang mahu dibenarkan menggunakan ruang udara Malaysia dan mendapatkan bekalan pasir untuk penambakan laut di republik itu.

Kita ingin bertanya kepada Najib.

Mengapa baru sekarang sedar bahawa Singapura tidak menerima cadangan Malaysia.?

Mengapa pembinaan dibuat sedang Singapura belum bersetuju?

Tidakkah ini menunjukkan kelemahan perancangan dan kepimpinan kerajaan Islam Hadhari?

Tidakkah ini menggambarkan kita takut dan mengalah kepada Singapura?

Tidakkah selama inipun kita sentiasa berada di pihak yang rugi dalam isu Pulau Batu Putih, isu air dan lain-lain?


Kalau beginilah cara Islam Hadhari memerintah tidak mustahil suatu hari nanti negara tergadai.


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini berkata, rakyat mahu kerajaan menolak permintaan Singapura itu sebagai syarat persetujuan pembinaan jambatan berkenaan.

Baru sekarang sedar rakyat tidak bersetuju atau ini hanyalah alasan untuk menutup kelemahan pemimpin?


HENDAK JADI PEMIMPIN SAMPAI MATI


Seperti yang kita sedia maklum antara perkara yang sangat disayangi oleh manusia ialah pangkat, harta dan kedudukan. Atas dasar inilah manusia sememangnya hendak menjadi ketua atau raja sampai mati kerana dengan kekuasaan mereka menggunakan kedudukan itu untuk mengaut seberapa banyak harta dunia tanpa mengira halal atau haram.

Ianya berlainan sekali dengan Rasulullah dan Sahabat baginda yang terbukti tidak menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan diri.

Di Malaysia ini memang ramai yang degil dan berharap sangat dapat menjadi ketua sehingga 'mati berdiri di dalam pejabat'.

Antaranya Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah mengesahkan bahawa akan kekal bertanding di kerusi Balingian dalam pilihanraya negeri akan datang, untuk meneruskan khidmatnya kepada rakyat. Itulah dakwaannya iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat. (Tetapi cuba lihat empayar perniagaan keluarganya.)

Perkara itu disahkan sendiri oleh Taib ketika ditemuramah secara langsung oleh RTM Sarawak dari Tapak Pesta Kaul di Mukah hari ini.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata selagi rakyat di kawasan Balingian masih menerimanya, beliau akan terus memberikan khidmat kepada rakyat di situ.

"Kalau orang masih sudi terima saya, saya akan kekal di sini," katanya.

Abdul Taib berpindah daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya (sebelum ini dikenali Sebandi) ke Balingian pada tahun 2001 setelah mewakili DUN Asajaya sejak 1981.

"Saya sudah terlalu tua untuk berpindah-pindah kerusi dan biarlah saya terus kekal di Balingian," katanya.

Walapun telah sedar bahawa beliau tua namun untuk berundur dan memberikan laluan kepada orang lain jauh sekali. Inilah manusia.

Alahai, Adenan Satem nampaknya gigit jarilah, angan-angan nak jadi Ketua Menteri tinggal mimpilah nampaknya. Lepas ini kemungkinan besar anak Taib, Sulaiman juga akan bertanding, sepenggal dua sudah tentu Sulaiman akan ganti Taib, bermula Dinasti Taib di Sarawak.


APA DAH JADI DENGAN 'NEGERI MAJU' RAKYAT NAK MINUM AIR PUN TAKUT


Selepas beberapa bulan sahaja pengisytiharan bahawa Selangor adalah negeri maju, satu demi satu kelemahan dan kepincangan pentadbiran 'Negeri Maju' Selangor terungkai di hadapan mata rakyat.

Sejak 'penelanjangan' yang dibuat oleh Lutfi Othman terhadap Khir Toyo, sudah berpuluh malah mungkin beratus-ratus kepincangan dan salah laku dilaporkan oleh media samada dilakukan oleh kerajaan tempatan atau agensi lain.

Antara penggondolan tanah, premis maksiat yang tidak mematuhi undang-undang, isu air dan sebagainya.

Sehari dua ini Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bertindak segera menghentikan bekalan air ke empat daerah di Selangor pagi ini apabila mengesan kandungan amonia yang tinggi dalam Sungai Semenyih yang membekalkan air ke loji rawatan air Semenyih dan Putrajaya.

Loji tersebut terpaksa ditutup mulai 8.30 pagi disebabkan kandungan amonia yang tinggi berikutan limpahan air kotor mengandungi amonia daripada pusat pelupusan sampah Sungai Chembong yang dimiliki oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Menurut Pengerusi Syabas, Tan Sri Rozali Ismail berkata kawasan yang terlibat ialah Kuala Langat, Hulu Langat, Petaling dan Sepang.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Berikutan kejadian itu, Syabas menasihatkan pengguna agar menggunakan air secara berhemah bagi membantu menjimatkan air di tangki simpanan yang terlibat sehingga masalah itu dapat diselesaikan, katanya.

Menurut laporan Bernama, Rozali berkata pengguna terlibat diminta menghubungi PUSPEL di talian 1 800 88 5252 atau SMS ke 39222 untuk pertanyaan.

Kejadian kedua di Selangor

Syabas juga akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai masalah itu dari semasa ke semasa.

Ini merupakan kejadian kali kedua selepas Sungai Selangor dicemari kandungan amonia yang tinggi, menjadikan punca bau busuk air paip yang dibekalkan ke rumah di Lembah Klang baru-baru ini.

Tahap amonia di Sungai Selangor pada ketika itu dilaporkan mencapai tahap bahaya 9.2mg seliter berbanding kadar yang selamat 1.5mg seliter.

Dalam laporan akhbar bulan lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) meminta syarikat bekalan air supaya memberhentikan pengambilan air sungai jika kualiti bekalan air tidak mencapai standard yang ditetapkan bagi keperluan pengguna.

Ini kerana syarikat bekalan air bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan air sungai yang diambil untuk tujuan bekalan air, dirawat bagi mematuhi standard kualiti air minuman yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Khir Toyo patut menarik balik pengisytiharan Selangor Negeri Maju kerana terbukti sekarang ianya hanyalah omongan kosong.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59