Thursday, 13 April 2006

PEMBATALAN PEMBINAAN JAMBATAN : BUKTI BETAPA LEMAHNYA KERAJAAN ISLAM HADHARI


MELAKA 13 April - Kerajaan semalam membuat keputusan menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia-Singapura.

Serentak dengan keputusan itu, kerajaan turut memutuskan untuk memberhentikan semua rundingan bersabit pembinaan jambatan itu dengan republik tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan:

``Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.''

Mengapakah sebelum ini suara rakyat tidak didengari oleh kerajaan. Sebelum projek ini dimulakan pun rakyat telah memberikan pandangan yang sama. Apakah Pak Lah hanya mencari alasan untuk mengelakkan malu?

Keputusan itu turut meliputi pembinaan ``Jambatan Indah'' atau jambatan bengkok berharga RM620 juta di sebelah Malaysia, yang kerja-kerja awal telah pun dijalankan.

Jambatan Indah itu adalah sebahagian daripada Projek Bersepadu Gerbang Selatan berharga RM2.5 bilion yang akan menjadikan Johor pusat logistik serantau yang akan menghubungkan pelabuhan, lapangan terbang dan lebuh raya.

Mengulas lanjut perkara itu kepada Bernama petang ini, Abdullah berkata, Malaysia tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor kerana implikasi dan komplikasi undang-undang yang akan berbangkit kelak.


Bagaimanapun, Menteri Luar Kedua Singapura Raymond Lim memberitahu Parlimen republik itu awal bulan ini bahawa negara itu tidak dapat menerima bahawa Malaysia berhak membuat keputusan sendiri membina separuh daripada jambatan itu.

Dalam rundingan kedua-dua kerajaan, Singapura telah meminta antara lainnya supaya Malaysia membenarkan pesawat pejuangnya menggunakan ruang udara Malaysia dan ia dibekalkan pasir sebagai balasan.

Permintaan Singapura itu dikritik rakyat Malaysia, terutamanya penduduk Johor yang menganggapnya sebagai keterlaluan, yang jika dituruti boleh diibaratkan menggadaikan kedaulatan negara.

Natijah dari keputusan ini amat jelas di mana Malaysia sentiasa mengalah dengan Singapura dalam apa juga isu dua hala seperti isu Pulau Batu Putih, isu air dan lain-lain.

Pembatalan ini juga membuktikan bahawa kerajaan Islam Hadhari hari ini amat lemah dari segi perancangan. Bagaimana projek ini dimulakan sedangkan persetujuan dari Singapura belum diperolehi.

"Nampak sangat Pak Lah dan kuncu-kuncunya tidak tahu memerintah dan membuat perancangan" kata Hj Salamat Aman, Ketua DPP Kawasan Bukit Katil ketika diminta mengulas isu ini.

Antara pihak yang mendapat kesan besar dari keputusan ini adalah kontraktor yang sedang melaksanakan projek ini. Mereka mungkin mengalami kerugian besar dan kalaupun mendapat pampasan mungkin ianya tidak setimpal dengan perbelanjaan yang sudah digunakan.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59