Friday, 31 March 2006

Harga bahan petroleum akan terus meningkat



KUALA LUMPUR 31 MAC : Bersedialah untuk berdepan dengan kenaikan harga sumber tenaga atau bahan api sepanjang tempoh lima tahun akan datang. Inilah isyarat yang diberikan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RM9).

Sepanjang tempoh rancangan pembangunan jangka panjang ini, kerajaan akan secara berperingkat-peringkat mengurangkan subsidi dalam harga minyak, sekaligus akan menaikkan harga bahan tersebut.

Pada 28 Februari lalu, harga minyak petrol, diesel dan LPG dinaikan 30 sen selepas kerajaan mengurangkan jumlah subsidi minyak bagi tahun ini.

Menurut laporan RM9, langkah-langkah akan diambil untuk mengkaji semula struktur harga sumber tenaga supaya ia menggambarkan harga pasaran sebenar.

Langkah ini juga bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penggunan bahan api dan mengelakkan pembaziran.

Kerajaan juga mahu memastikan pihak yang menguruskan sumber tenaga yang semakin pupus menggunakan dengan optimum dan berkesan sumber tenaga berekenaan.

Ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk memastikan sepanjang tempoh lima tahun ini sektor tenaga dapat tumbuh dengan sihat bagi menyokong pembangunan ekonomi negara.

Tingkat produktiviti

Strategi lain yang akan dilaksanakan ialah meningkatkan produktiviti dan keberkesanan bekalan dan pengunaannya.

Kerajaan juga mahu mengurangkan pergantungan pada bahan petroleum dengan membangunkan sumber tenaga alternatif serta mempromosi penggunaan sumber tenaga yang boleh dikitar semula.

Tumpuan juga akan diberikan pada penggunaan sumber tenaga secara berkesan di sektor pengangkutan, perindustrian dan di bangunan-bangunan kerajaan.

Untuk kepentingan rakyat luar bandar, kerajaan juga bercadang memperluaskan bekalan tenaga eletrik ke Sabah dan Sarawak.

Menyentuh tentang bekalan tenaga sepanjang tempoh RM9 pula, keseluruhan permintaan untuk bahan api dijangka meningkat 6.3 peratus setahun selari dengan pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada sepanjang tempoh berkenaan.

Sektor pengangkutan dan industri dijangka terus menjadi pengguna utama tenaga merangkumi 41.1 dan 38.8 peratus daripada keseluruhan penggunaan tenaga pada tahun 2010.
Peningkatan permintaan dari sektor pengangkutan disebabkan oleh kenaikan penggunaan pengangkutan dalam industri pelancongan, pertanian dan pembuatan.

Untuk mengimbangi permintaan yang semakin meningkat, kerajaan akan memastikan sumber bekalan yang berterusan. Operasi mencarigali minyak mentah dan gas asli akan digiatkan terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Operasi Petronas

Langkah berterusan akan dilakukan untuk menarik lebih banyak syarikat minyak antarabangsa melabur dalam operasi mencarigali minyak terutamnya di kawasan laut dalam.

Kerjasama dan perkongsian dalam operasi mencarigali antara Petronas dengan syarikat minyak akan digalakkan.

Sepanjang tempoh RM9 ini pengeluaran minyak mentah negara dijangka mencapai 695,000 tong sehari. Pada RM8 pengeluaran minyak mentah negara ialah 681,000 tong sehari pada tahun 2000 dan mencapai 727,000 tong sehari pada 2005.

Eksport minyak mentah negara pula 369,00 tong sehari
pada tahun lalu bernilai RM8.5 bilion.

Di samping itu Petronas akan terus mengkaji semula operasi hiliran dan huluannya diluar negara bagi memenuhi cabaran pasaran minyak global.

Usaha juga akan dilakukan untuk meningkatkan rezab dan pengeluaran dari pelaburan huluan Petronas selain mengembangkan aktiviti hiliran yang sedia ada.

Sebanyak RM43.8 bilion dijangka dibelanjakan oleh Petronas sepanjang tempoh ini dengan 30 peratus atau RM13.1 bilion untuk operasi mencari gali minyak dan gas serta kerja pembangunan dan penyelidikan (R&D).

Sebanyak RM30.7 bilion lagi akan digunakan untuk membaiki infrastruktur bekalan minyak dan gas termasuk menambah stesen minyak dan memajukan sektor petrokimia.

Penggunaan arang batu

Permintaan tenaga eletrik pula dijangka meningkat pada kadar 7.8 peratus setahun kepada 20,087 MW pada 2010 manakala kapasiti bekalan meningkat kepada 25,258 MW pada akhir tempoh RM9.

Penggunaan arang batu sebagai sumber tenaga di stesen penjana eletrik dan sektor industri dijangka meningkat kepada 19 juta tan dan 22 juta tan dengan beroperasinya dua stesen penjana eletrik berkuasa arang di Semenanjung pada tempoh ini.

Kerajaan juga akan mengambil langkah membangun dan menggalakkan penggunan sumber tenaga boleh dikitar semula seperti tenaga solar dan hydrogen di stesen-stesen penjana eletrik dan menggalakkan penggunaan tenaga bio dalam sektor pengangkutan.

Secara umumnya tumpuan pada sektor tenaga dalam RM9 ialah meningkatkan keberkesanan penggunaan sumber tenaga yang sedia ada dan mencari sumber tenaga baru. Dan kerajan mahu rakyat berkongsi kosnya dengan cara mengurangkan subsidi minyak.

Bersedialah menghadapi harga bahan petroleum yang lebih tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sumber : Malaysiakini


AWASI ANAK-ANAK GADIS ANDA. ADA SYARIKAT TAWARKAN GAJI LUMAYAN UNTUK BEKERJA DI SPA


JASIN 31 MAC: Media hari melaporkan bahawa ada sebuah spa bertaraf antarabangsa di negeri ini dikesan memperdaya sebilangan besar gadis kampung di daerah ini untuk bekerja sebagai tukang urut dengan menjanjikan gaji lumayan.

Selain itu, gadis itu juga ditawarkan tempat tinggal selesa dan sempurna di samping berpeluang menyertai latihan urut daripada mereka yang berpengalaman.

Seorang gadis yang nyaris menjadi mangsa pengusaha syarikat itu, mendedahkan beberapa pekerja spa itu termasuk wanita berambut perang masuk ke kawasan kampung sambil mengedarkan sekeping kad perniagaan kepada anak gadis yang ditemui.

Beliau yang enggan dikenali, berkata wanita berkenaan menyerahkan kad terbabit kepadanya ketika sedang menunggu bas untuk ke bandar Melaka, minggu lalu sambil menjanjikan pelbagai keistimewaan sekiranya memenuhi tawaran itu.

“Saya terkejut apabila sebuah kereta tiba-tiba berhenti di depan saya ketika menunggu bas. Serentak itu, seorang wanita berpakaian seksi turun dari kereta dan menyerahkan kad perniagaan kepada saya.

“Wanita itu menyatakan sekiranya saya mahu gaji lumayan setiap bulan, boleh hubungi nombor telefon bimbit tertera pada kad itu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Gadis berusia 23 tahun yang juga pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Shah Alam itu khuatir ada gadis desa terpedaya dengan tawaran spa terbabit.

“Kebanyakan gadis kampung bekerja kilang dengan gaji antara RM800 hingga RM1,000 saja. Tetapi, bimbang mereka terpedaya apabila melihat tawaran gaji RM4,000 sebulan,” katanya.

Kad perniagaan itu tertulis, ‘Jawatan kosong, tukang urut diperlukan. Gaji antara RM3,000 dan RM4,000. Tempat tinggal disediakan dan latihan diberi. Hubungi Nita 012-635xxxx dan Chan 016-382xxxx.

Akhir bulan lalu, akhbar ini mendedahkan seorang pelajar yang menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di Klang dipercayai menipu keluarga untuk bekerja di sebuah rumah urut di Taman Desawan, di sini, dengan pendapatan mencecah ratusan ringgit sehari.

Pelajar berusia 18 tahun itu dikatakan gelap mata dengan komisen lumayan ditawarkan tauke rumah urut terbabit selain mahu hidup mewah seperti kenalan lain.

Tauke rumah urut terbabit turut memperdaya gadis berkenaan bahawa pekerjaan itu selamat kerana tidak melanggar undang-undang selain berlesen.

Harian Metro sebelum ini turut membongkar kegiatan seorang gadis di Kuala Lumpur yang juga bekas tukang urut, mendakwa menjadi mangsa tipu helah licik pengusaha rumah urut tradisional yang memaksanya melakukan tugas tidak senonoh dengan memuaskan nafsu pelanggan melalui `urutan jari berahi’ bagi mendapatkan lebih keuntungan.

Gadis itu mendakwa gagal melarikan diri daripada majikannya kerana kad pengenalannya dirampas dan dia dikurung seperti pelacur bagi menghalangnya meninggalkan tempat itu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali Zarina, 21, berkata dia mulanya tertarik memohon pekerjaan sebagai ‘tukang urut tradisional’ selepas ditawarkan gaji pokok tinggi, tempat tinggal dan latihan percuma melalui iklan di akhbar.

Beliau yang juga seorang janda beranak satu berasal dari Negeri Sembilan, mendakwa terdesak mendapatkan pekerjaan berikutan masalah kewangan. Dia menghadiri temu duga di syarikat itu di ibu negara sebelum mendapat tahu syarikat itu memiliki 10 cawangan rumah urut di sekitar Lembah Klang.

Beliau hanya diberikan latihan sehari oleh seorang guru yang dikenali sebagai Emily.

Sumber : Metro


AS hentikan bantuan kepada Palestin


Gambar PM Palestin Ismail Haniyeh berjabat tangan dengan Presidennya Mahmoud Abbas ketika majlis angkat sumpah kabinet Palestin Rabu lalu.

BANDAR GAZA 31 Mac
- Setelah Kanada mengesahkan untuk memberhentikan bantuan kepada Palestine, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush pula menyatakan beliau tidak akan memberikan bantuan kepada kerajaan Palestin yang diketuai oleh pergerakan Hamas.

Beliau berkata demikian pada 29 Mac lalu sebagai mengulas majlis mengangkat sumpah barisan Kabinet Hamas di Tebing Barat dan Gaza Rabu lalu.

``Saya bersedih mengenangkan penderitaan penduduk Palestin. Mereka telah diperintah selama bertahun-tahun oleh sebuah kerajaan yang mengecewakan tetapi kami tidak boleh membiayai sebuah negara yang mahu memusnahkan jirannya,'' kata Bush dalam satu ucapan di Washington.

Awal semalam, sejurus selepas Hamas mengambil alih kuasa secara rasmi, Kanada menjadi negara Barat pertama mengumumkan pembekuan bantuan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Langkah itu dijangka disusuli oleh negara Barat lain.

Dengan diterajui oleh Hamas, PA menghadapi boikot ekonomi antarabangsa yang boleh melumpuhkannya dan dijangka mula mengalami kesulitan minggu depan apabila gaji bulan ini perlu dibayar kepada kira-kira 140,000 kakitangan kerajaan.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59