Thursday, 30 March 2006

SEMUA MENTERI BERSIH. SUATU KENYATAAN YANG BOLEH DIPERTIKAIKAN


KUALA LUMPUR 30 MAC : Semua menteri kabinet didapati bersih dan perisytiharan harta mereka telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi demikian kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Suliman di dalam parlimen semalam.

Dewan Rakyat semalam diberitahu, anggota kabinet berkenaan telah mematuhi arahan perisytiharan wajib harta mereka untuk dinilai oleh Perdana Menteri.

Abdullah telah menilai aset-aset yang diisytiharkan itu bagi menentukan samaada ia diperolehi secara sah atau secara melanggar undang-undang.

“Alhamdulillah, saya diberitahu setakat ini tiada mana-mana menteri dipertikaikan harta mereka,” kata Abdul Rahman semasa menjawab soalan M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Abdul Rahman menambah, menteri-menteri yang baru dilantik dalam rombakan kabinet baru-baru ini telah juga diarahkan mengisytiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri, sebagaimana dikehendaki di bawah kod etika ahli Parlimen Barisan Nasional.

Selepas mendengar penjelasan Timbalan Menteri itu, Kula Segaran yang masih tidak berpuas hati telah bertanya siapa pula yang menilai dan memeriksa harta-harta milik Perdana Menteri.

Abdul Rahman bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan Kula Segarn itu. Perisytiharan harta para menteri kepada Perdana Menteri tidak dikehendaki didedahkan kepada awam.

Dalam soalan tambahannya Kula Segaran turut bertanya bagaimana kerajaan dan orang awam dapat memantau aset yang dimiliki oleh penjawat awam.

Dalam jawapannya, Abdul Rahman berkata, terpulang kepada ketua agensi kerajaan berkenaan untuk menilai harta kakitangan bawahannya dan kemampuannya memiliki harta-harta tersebut.

Sebelum itu beliau yang menjawab soalan Richard Ak Jaem (BN-Serian) telah memberitahu bahawa sehingga 31 Desember 2005, seramai 2,080 kakitangan kerajaan belum mengisytiharkan harta mereka.

Kakitangan awam dikehendaki mengisytiharkan harta masing-masing setiap lima tahun sekali.

Nampaknya jawapan Abdul Rahman di atas boleh dipertikaikan kerana ada antara menteri yang boleh kereta sampai hampir RM1 juta harganya seperti yang didedahkan oleh Ezam Mohd Nor. Banyak lagi dakwaan dan tuduhan pembangkang dan individu-individu tertentu yang tidak disiasat dan kalaupun disiasat keputusannya tidak didedahkan kepada umum.

Harta Dollah dan Najib sendiri bagaimana?


ISLAM HADHARI TIDAK GALAKKAN WANITA ISLAM MEMAKAI TUDUNG


MELAKA 30 Mac - Ajaran Islam Hadhari yang diasaskan oleh As-Syeikh Al-Badawi tidak menggalakkan wanita Islam memakai tudung. Maka oleh sebab itu sebahagian besar pemimpin wanita parti Islam Hadhari tidak memakai tuduh, malah yang memakain tudung pun masih menayangkan jambul mereka.

Oleh kerana itulah kerajaan Islam Hadhari juga tidak menggalakkan pelajar-pelajar wanita di sekolah-sekolah memakai tudung kerana ianya sejajar dengan ajaran Islam Hadhari yang diamalkan mereka. Lihat sahaja bagaimana gelagat penyanyi wanita yang menyanyikan lagu Islam Hadhari sebelum berita perdana jam 8 malam di RTM1. Kedua-dua penyanyi tersebut tidak memakai tudung sebagaimana yang diajar oleh Islam sebenar.

Dari pengamatan kita jelas Islam Hadhari tidak mewajibkan pemakaian tudung dan kalau pakaipun hanyalah melepaskan batuk ditangga samada menayangkan jambul, tunjuk leher, tayang dada dan sebagainya. Sebahagian besar pemimpin wanitanya pula hanya menyangkutkan tudung di bahu-bahu mereka.

Dalam parlimen semalam, pemimpin mereka menjelaskan pendirian Islam Hadhari dalam hal pemakaian tudung ini.Pihak sekolah tidak boleh memaksa mana-mana pelajar perempuan untuk memakai tudung kerana ia bukan merupakan pakaian atau uniform yang wajib.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, bagaimanapun, ini tidak bermakna kerajaan tidak menyokong pelajar perempuan beragama Islam yang memakai tudung di sekolah. Cakap pun berbelit-belit.

``Kita hanya menggalakkan pelajar perempuan Islam memakai tudung, tetapi tidak ada sesiapa termasuk pihak sekolah boleh memaksa mereka yang enggan berbuat demikian,'' katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wan Adnan Wan Mamat (BN-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Justeru, Noh meminta ibu bapa yang mendapati anak mereka dipaksa memakai tudung oleh pihak sekolah, supaya menghubungi Kementerian Pelajaran.

Lihat bagaimana mereka menangani permasalahan imi. Bukannya hendak mendidik pelajar-pelajar Islam kearah mengamalkan ajaran Islam, malah tidak menyokong pihak sekolah untuk mewajibkan pelajar-pelajar mereka memakai tudung.


KISAH JURUKAMERA BARAT MASUK ISLAM


TIDAK ada muka artis ternama pada era 1970-an yang tidak terlepas daripada rakaman lensa kameranya. Artis-artis terkemuka ketika itu seperti Bob Dylan, Jimi Hendrix, The Doors, The Who dan kumpulan Rolling Stones puas menjadi subjek rakamannya.

Setelah puas bergelumang dengan dunia hiburan yang dianggap begitu indah berkerdipan, jurugambar terkenal Peter Sanders, 50, mula dihujani kebosanan.

Bukan bosan dek kerenah artis-artis tersebut tetapi Peter hanya mahu beralih pada subjek yang lebih memberikan ketenangan pada jiwa. Baginya hati yang terhibur dan ketenangan jiwa adalah dua perkara yang berbeza!

Lantaran itu, Peter menghalakan lensa kameranya ke arah negara India. Benua itu menjanjikan seribu satu misteri beragama, budaya dan perjalanan rohani bagi kebanyakan jiwa yang kosong seperti Peter.

Bagi Peter, soal kepercayaan terhadap agama dan dunia fotografi merupakan dua perkara penting yang dapat melengkapkan pencarian rohani dalam dirinya. Peter tidak sekadar mahu menukarkan fokus pada lensa kameranya tetapi rakaman-rakaman daripada pelbagai sudut itu mampu memberikannya cerita yang paling terkesan pada jiwanya.

“Tempoh enam bulan sahaja di India sudah cukup memberikan saya satu pengertian baru dan menjumpai apa yang dicari selama ini. Saya pulang semula ke England dan ditakdirkan ramai rakan-rakan saya juga telah memeluk Islam. Tetapi tidak kurang juga ramai yang menjadikan dadah dan alkohol sebagai pemberi ‘ketenangan’.

“Tidak dinafikan gejala itu cukup memberikan saya satu perasaan dilema, arah mana yang harus menjadi pilihan?” ujarnya.

Peter kemudian tidak lagi teragak-agak malah meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya sumber untuk memberikan ketenangan buat dirinya walaupun dia mengakui mempunyai pengetahuan yang masih dangkal tentang Islam. Pada 1971, pada usia 24 tahun beliau secara rasmi melafazkan dua kalimah syahadah dan mahu dikenali dengan nama barunya Abdul Adheem.

Walaupun mempunyai pengetahuan cetek mengenai Islam, namun Peter turut mendakwa memperoleh hidayah dan alamat atau petanda menerusi mimpi-mimpi. Semua ini sedikit sebanyak menjadikan hatinya disinari cahaya Ilahi.

Keinginan

“Dalam tempoh tiga bulan selepas memeluk Islam, hati saya membuak-buak untuk mengerjakan haji di Mekah. Saya tidak mempunyai wang pada masa itu tetapi keinginan saya begitu mendesak untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.

“Malah saya ingin sekali merakamkan suasana di sana terutamanya Rumah Allah, Kaabah, bagi memberikan lagi kepuasan pada jiwa yang selama ini begitu kosong,” katanya.

Niat beliau itu telah mendapat perhatian seorang hamba Allah yang hanya mampu menanggung pemergian Peter ke sana. Kehidupan seterusnya di sana perlu diusahakannya sendiri.

“Alhamdulillah, saya dapat menjejakkan kaki di Mekah dan inilah peluang untuk mengenali Islam menerusi lensa kamera saya.

“Saya tidak bermaksud hendak menjadi orang pertama berjaya merakam gambar Rumah Allah itu demi nama dan kerjaya dalam bidang fotografi. Ini semua tidak akan kesampaian jika tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.

Pada masa itu mengambil gambar di sekitar Mekah terutama Kaabah jarang dilakukan apatah lagi oleh kalangan orang Barat. Akhirnya Peter mendapat kebenaran untuk merakamkan gambar kota suci itu. Ia bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.

“Saya tahu ia bukan sekadar untuk mengambil gambar tetapi ia penuh dengan tanggungjawab untuk memelihara kesucian Islam itu sendiri,” katanya yang mempunyai koleksi-koleksi rakaman gambar yang begitu prolifik dan bermutu tinggi iaitu hampir 210,000 keping dalam bentuk slaid filem.

Acapkali mengambil gambar-gambar di situ, Peter teringatkan satu kata-kata hikmah yang diterjemah daripada bahasa Urdu: “Bagi menyaksikan realiti mengenai kota suci Mekah dan Madinah itu, anda perlukan lebih daripada pandangan mata.”

Setelah beroleh sudut, Peter merakamkannya dan hasilnya bukan sahaja indah tetapi ia sarat dengan pelbagai pengajaran. “Tidak sekadar cantik tetapi ia memberikan kepuasan untuk orang lain berkongsi sama” katanya.

Begitulah yang dilakukan dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini – merakam imej Islam pada lensa kamera untuk tatapan dan santapan jiwa seluruh umat manusia.

Pada tahun 2003, misalnya, 12 gambar-gambarnya yang terbaik menghiasi kalendar 2003 yang diterbitkan di London. Ia begitu memukau seluruh umat manusia. Tidak sahaja Peter bermain dengan kepelbagaian sudut, mainan warna dan cahaya tetapi kesemuanya penuh dengan mesej-mesej yang tidak terluah. Pelbagai mesej boleh tersirat di sebalik yang tersurat.

Menara dan kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, misalnya, memaparkan paduan warna biru dan putih yang dirakam dengan penuh seni. Betapa ia melambangkan ketenangan dan kesucian yang bersatu untuk melahirkan jiwa yang sangat harmoni.

Walaupun Taj Mahal sering dirakamkan dengan penuh seni oleh kebanyakan jurugambar namun Peter mampu melahirkan kesayuan apabila detik-detik keemasan warna lembayung senja yang menyelubungi Taj Mahal itu menyuntikkan kembali kegemilangan tamadun Islam dalam seni bina sehingga mampu diiktiraf sebagai salah satu benda ajaib dunia.

“Semakin banyak realiti yang dapat dirakam, betapa saya saksikan Allah dan segala kekuasaan-Nya itu ada di mana sahaja.

“Islam benar-benar merentasi semua sempadan waktu dan budaya. Merakam dan menyebarkannya dalam bentuk kepingan gambar ini satu medium dakwah dan ia memberikan lebih daripada kepuasan jiwa,” katanya.

Namun sesetengah daripada kita mungkin sudah mengenali Peter. Beliau pernah mengadakan pameran solonya di ibu kota Kuala Lumpur hasil jemputan Islamic Outreach-ABIM pada Oktober 2003.

“Kadangkala kita tidak perlukan fakta untuk berubah tetapi cukuplah dengan sekeping gambar yang memainkan peranan unik serta tersendiri bagi membolehkan kita akhirnya mampu melihat kebenaran.” katanya.

In The Shade of the Tree adalah bukunya yang terlaris dan begitu juga buku-buku yang dalam proses penerbitan seperti Seek Knowledge Even in China, A Visit to A Prophet dan Meetings with Mountains yang menceritakan seribu satu lagi sudut dan wajah-wajah Islam dari segenap pelosok dunia tanpa ada satu pun yang terlepas daripada rakaman dan pancaran lensa kamera Peter.

Sumber : Utusan Malaysia


ISU JAMBATAN BENGKOK : SEBAHAGIAN AHLI PARLIMEN GESA MALAYSIA JANGAN TUNDUK KEPADA SINGAPURA


KUALA LUMPUR 30 Mac - Satu dari isu yang hangat diperdebatkan di dalam Parlimen semasa perbahasan menjunjung kasih keatas Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung semalam ialah isu hubungan dengan Singapura.

Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian, YB Salahuddin Ayub mempertikaikan kelemahan dan 'kelembikan' kerajaan Malaysia apabila sentiasa tunduk dengan kemahuan Singapura dalam apa juga rundingan pada masa lalu.

Beliau berkata isu Pulau Batu Putih, isu air dan lain-lain semuanya berpihak kepada Singapura. Sekarang mereka mengenakan syarat supaya Malaysia membuka ruang udara untuk penerbangan pesawat tentera dan juga membekalkan pasir kepada mereka.

Sementara itu sebahagian besar Ahli Parlimen supaya Malaysia tidak tunduk kepada Singapura dalam hal pembinaan jambatan baru ini.

Antara Ahli Parlimen yang membahaskan isu ini ialah Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan), Razali Ibrahim (Muar), Badrudin Amiruddin (Yan) dan lain-lain.

Menteri Luar, Syed Hamid Albar ketika menjawab persoalan berkaitan isu ini menjelaskan segala keputusan berkenaan isu jambatan ini akan dibuat oleh kerajaan. Kementeriannya hanya menjalankan polisi dan tindakan yang telah diputuskan oleh kerajaan.Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) mengesa kerajaan supaya jangan bertolak ansur terhadap permintaan Singapura yang mahukan bekalan pasir dan pengunaan ruang udara negeri Johor sebagai balasan untuk persetujuan pembinaan jambatan lurus.

Sementara itu Presiden MBNJ, Datuk Ramli Ismail mahu kerajaan bertegas dalam soal kedua-dua tuntutan ini kerana ia melibatkan maruah Negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini, beliau berkata, adalah amat mengaibkan jika terdapat individu-individu tertentu yang cuba membantu atau menyokong permintaan negara jiran itu semata-mata untuk membolehkan pembinaan jambatan lurus diteruskan.

``Kami tidak memaafkan pengkhianat bangsa ini yang merelakan diri mereka menjadi dalang kepada republik ini, ujarnya lagi.

Justeru, tegas beliau, kerajaan perlu bertegas untuk meneruskan pembinaan `Jambatan Indah' dan tidak perlu tunduk dengan tuntutan tersebut.

Kedua-dua permintaan Singapura itu dikatakan menjadi `halangan' kepada rundingan antara kedua negara sejak sekian lama dan tindak tanduk republik itu dianggap sebagai usaha melengah-lengahkan proses pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang mengakibatkan kerugian kepada Malaysia.

Sementara itu, Ramli berharap masyarakat dan para pemimpin belia berfikir dengan lebih matang terhadap perkembangan dunia hari ini agar mereka tidak dijadikan alat untuk kepentingan mana-mana pihak.


PILIHANRAYA ISRAEL : PARTI KADIMA PIMPINAN OLMERT MENANG 28 KERUSI SAHAJA


BAITULMAQDIS 29 Mac - Pemangku Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert perlu membentuk kerajaan campuran lebih meluas bagi melaksanakan rancangannya untuk me-netapkan sempadan terakhir Israel setelah mandat yang diperolehnya dalam pilihan raya umum semalam tidak sebesar yang diharapkan.

Dalam ucapan kemenangannya, Olmert menyatakan beliau akan berusaha untuk mengadakan rundingan dengan pihak Palestin tetapi akan bertindak sendirian jika perlu bagi menetapkan sempadan terakhir itu.

Parti Kadima pimpinan Olmert hanya meraih 28 kerusi, iaitu kurang daripada 38 kerusi yang dijangka sebelum ini, menurut tinjauan selepas pengundian yang dijalankan oleh televisyen Israel awal hari ini.

Walaupun majoriti ahli Parlimen akan menyokong pengunduran dari Tebing Barat yang diduduki oleh Israel selama hampir 40 tahun, tuntutan bakal parti-parti komponen boleh membataskan keupayaan Olmert untuk melaksanakan agenda domestiknya.

Namun rakyat Palestin tetap yakin bahawa dasar kerajaan Yahudi itu tidak akan berubah iaitu akan memerangi umat Islam habis-habisan walau sesiapapun yang menang. Ini kerana Allah telah menceritakan di dalam Al-Qur'an bahawa orang-orang Yahudi merupakan bangsa yang tidak boleh dipercayai dan tidak boleh dibuat kawan. Mereka akan sentiasa mencari jalan untuk melenyapkan Islam dari mukabumi ini.

``Rancangan pengunduran itu boleh mendapat sokongan hampir 80 anggota Parlimen, iaitu majoriti dua pertiga. Ini perkembangan paling dramatik yang pernah berlaku,'' dakwa bakal ahli Parlimen Kadima, Haim Ramon selepas televisyen menyiarkan tinjauan pengundian itu.

``Blok kiri (termasuk Kadima) kini menguasai dua pertiga Knesset (Parlimen). Jika Olmert berani, beliau boleh membubarkan kawasan penempatan Yahudi dan mencapai perdamaian serta berundur mengikut kehendaknya. Beliau mempunyai banyak kuasa di Knesset,'' kata seorang ahli Parlimen Arab Israel, Abdel Malek Dehamsheh.

Olmert bertekad untuk membubarkan puluhan kawasan penempatan dan mengundurkan puluhan ribu pendatang Yahudi dari Tebing Barat dalam rancangan besar-besaran bagi rakyat Israel sepenuhnya dari penduduk Palestin dan menggariskan sempadan terakhir negara Yahudi itu.

Bagaimanapun dengan Kadima diramalkan hanya menguasai 28 daripada 120 kerusi Parlimen, Olmert tidak memperoleh sokongan padu yang diharapkannya.

Parti Buruh yang dijangka memperoleh 20 kerusi sebagai blok kedua terbesar di Parlimen mengalu-alukan kemenangan besar mereka dan bakal mengenakan beberapa syarat ketat untuk menyertai kerajaan yang diketuai Kadima.

Bangsa Yahudi sentiasa berdolak-dalik dalam apa juga perjanjian dan perbincangan. Malah sejarah telah membuktikan bahawa mereka sentiasa melanggar apa juga perjanjian damai dan genjatan senjata.

Mereka juga sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan umat Islam samada dengan secara kekerasan maupun dengan cara halus.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59