Thursday, 23 March 2006

7,000 PEKERJA MAS MUNGKIN HILANG PEKERJAAN


Empat Kesatuan Sekerja Penerbangan Malaysia (MAS) bimbang 7,000 kakitangan syarikat penerbangan kebangsaan itu akan hilang pekerjaan jika kerajaan menyerahkan laluan domestik tertentu kepada AirAsia.

Berikutan itu, mereka meminta kerajaan supaya menarik balik keputusan menyerahkan laluan domestik tertentu kepada AirAsia.

Empat kesatuan berkenaan adalah Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu), Persatuan Kakitangan Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia (Mesa), Kesatuan Sekerja Penerbangan Sarawak (AWUS) dan Kesatuan Sekerja Pengangkutan Penerbangan Sabah (ATWUS).

Kesatuan itu berkata, mereka telah diberitahu secara lisan oleh pihak pengurusan MAS minggu lalu bahawa sekiranya rancangan itu dilaksanakan sepenuhnya, 7,000 kakitangan akan diberhentikan.

"Kita tidak mahu kerajaan bagi laluan kepada AirAsia. Apa akan berlaku kepada kakitangan MAS," kata Presiden Maseu Alias Aziz kepada pemberita di pejabat kesatuan itu di Subang Jaya semalam.

Adakan bantahan

Beliau berkata, kesemua kesatuan sekerja itu bercadang mengadakan beberapa tindakan bagi mendesak kerajaan menarik balik pelan itu.

Menurut laporan Bernama, Alias berkata, tindakan tersebut termasuklah berpiket, memakai pelekat bantahan serta menghadap raja-raja bagi mendapatkan sokongan.

"Kita dah hantar memorandum kepada Perdana Menteri menyatakan kekesalan kita," kata Alias.

Setiausaha Agung Maseu, Ab Malek Ariff pula mendakwa kakitangan MAS sekarang gelisah dan tidak bersemangat melakukan tugas kerana bimbang mengenai masa depan mereka.

Kerajaan telah membuat keputusan baru-baru ini supaya MAS mengendalikan laluan utama domestik dan menyerahkan laluan dalam negeri yang lain kepada AirAsia.

Langkah itu adalah antara beberapa tindakan untuk membantu MAS mengurangkan kerugiannya.

SUMBER : MALAYSIAKINI


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59