Friday, 17 March 2006

RAKYAT DERITA PEMIMPIN BERSERONOK-SERONOK


Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR 17 MAC : Di saat rakyat terpaksa menanggung beban dan penderitaan akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan pemimpin-pemimpin negara bebas berseronok dan membuang masa menonton konsert Lionel Rotchie malam tadi.

Media melaporkan bahawa lebih 3,000 peminat artis superstar Lionel Richie menghadiri konsert Spring Gala Dinner 2006 sempena penganjuran Petronas Malaysian Grand Prix, di Dewan Planeri, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), di sini, malam tadi.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

Inilah rupa sebenar pemimpin negara yang bebas membazirkan wang Petronas dan wang rakyat untuk program konsert yang jelas tidak mendatangkan sebarang faedah kepada negara dan rakyat malah ianya dilihat sebagai pembaziran wang petronas yang sepatutnya dibelanjakan untuk program yang lebih berfaedah.

Ketika pemimpin menyeru rakyat mengubah gaya hidup, pada ketika yang sama mereka membazirkan wang untuk program yang melalaikan ini. Mereka yang mendokong 'Mazhab' Islam Hadhari langsung tidak memikirkan halal atau haram.

Inilah rupa sebenar pemimpin Islam Hadhari yang bijak bermain kata-kata dan bebas melakukan apa sahaja mengikut kemahuan mereka.

Sebahagian besar rakyat sekarang ini terpaksa bersengkang mata dan membanting tulang empat kerat semata-mata untuk mencari sesuap nasi dan juga untuk menanggung anak bini. Tetapi pemimpin kerajaan seolah-olah langsung tidak bersimpati dengan rakyat.

Wang ratusan ribu yang dibelanjakan untuk program ini hangus sekelip mata tanpa memberikan sebarang faedah kepada rakyat.

Selepas konsert berakhir, tetamu kenamaan yang hadir menikmati hidangan makan malam bertemakan Taman Inggeris pada majlis makan malam Spring Gala Dinner 06.

Belanja makan malam ini sahaja dianggarkan menelan puluhan ribu ringgit. Sedangkan rakyat ada yang makan siput babi. Inilah negara kita Malaysia Islam Hadhari.

Abdullah Al-Badawi yang kononnya Islamik dari sehari ke sehari semakin terserlah tembelangnya. Sikap zalim kepada rakyat dengan menahan mereka di bawah ISA, menaikkan harga minyak, melacurkan demokrasi dan lain-lain sepatutnya menyedarkan rakyat supaya menolak pemimpin yang 'pepat di luar rencong di dalam' ini.


RAKYAT TERPAKSA TANGGUNG RISIKO, KORPORAT DIBIARKAN TERLEPAS


Berita hutang bil elektrik beberapa syarikat besar yang mencecah sampai ratusan juta ringgit jelas membayangkan bahawa TNB bersikap pilih kasih dalam operasinya.

Cuba bayangkan rakyat yang tertunggak bil elektrik lebih 3 bulan akan dikenakan tindakan pemotongan walaupun jumlah hutang mereka mungkin tidak sampai RM500.00. Maka terpaksalah mereka bergelap atau memasang pelita dan lilin untuk menerangi rumah waktu malam.

Tetapi cuba lihat hutang 3 syarikat di bawah ini :
Perwaja Steel Sdn. Bhd. RM254.33 juta
Nur Distribution Snd. Bhd. RM19 juta
Syarikat Stadium Shah Alam RM2.78 juta

Nampaknya dalam apa juga tindakan pihak korporat dan kerajaan, rakyatlah yang menjadi mangsa.

Begitu juga dalam hal kenaikan harga minyak, rakyatlah yang terpaksa menanggung beban dan bala. Pemimpin kerajaan dan hartawan serta individu yang bergaji besar tidak terasa apa-apa.

Bila rakyat bangkit membuat bantahan, mereka dikatakan tidak patriotik dan sebagainya.


HANYA RAKYAT DAN MAJIKAN YANG PERLU CARI JALAN HADAPI KENAIKAN MINYAK


BUKIT KATIL 17 MAC : Nampaknya hanya rakyat dan majikan yang dipertanggungjawab untuk memikirkan cara mengatasi kenaikan harga minyak dan barangan. Di pihak kerajaan sendiri belum jelas tindakan yang mereka ambil dapat membantu semua lapisan masyarakat. Kalau adapun mungkin tidak menyeluruh dan ianya masih jauh untuk dilaksanakan.

Menteri-menteri yang mempunyai pelbagai keistimewaan 'subsidi' seperti minyak, elaun keraian dan bermacam-macam lagi elaun tidak sanggup untuk berkorban untuk memotong elaun mereka bagi digunakan sebahagiannya untuk membantu rakyat.

Semalam Kerajaan dilaporkan mahu para majikan mencari jalan untuk membantu pekerja mereka menghadapi kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Ia termasuk menaikkan elaun pengangkutan atau melaksanakan pelarasan gaji, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun, katanya, permintaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya majikan membayar Elaun Kos Sara Hidup (Cola) sebanyak RM150 sebulan kepada semua pekerja mungkin sukar dilaksanakan.

Namun, katanya, majikan boleh membantu pekerja menghadapi kesannya dengan melaraskan gaji atau elaun pengangkutan bagi pekerja mereka di bawah Perjanjian Bersama (CA).

"Di pihak saya, saya bersedia berunding dengan syarikat-syarikat yang lain sekiranya Perjanjian Bersama telahpun ditandatangani (sebelum kenaikan harga minyak)," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani CA antara Guinness Anchor Berhad (GAB) dan Kesatuan Pekerja Industri Minuman Persekutuan Tanah Melayu.

Melalui perjanjian itu, kira-kira 300 pekerja GAB menikmati pelarasan gaji 9 peratus, kenaikan kadar perbatuan kepada 60 sen, julat maksimum gaji sebanyak 9 peratus dan skim bonus prestasi berubah bagi mereka yang menunjukkan prestasi yang baik.

Pasukan petugas

Dr Fong berkata, cadangan ini tidak bermakna permintaan MTUC untuk mendapatkan Cola itu tidak akan dipertimbangkan kerana kesatuan pekerja itu dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), telah menubuhkan pasukan petugas bersama bagi mengkaji cadangan tersebut.

Bernama melaporkan, pasukan petugas itu ditubuhkan dua hari lalu selepas perjumpaan antara MTUC, MEF dan Kementerian Sumber Manusia.

Bagaimanapun, Dr Fong mengingatkan, pelaksanaan Cola dalam sektor swasta akan menyumbang kepada kos ekonomi yang besar kerana terdapat kira-kira 10 juta pekerja di negara ini. Pelaksanaan Cola RM150 itu melibatkan kos sehingga berbilion ringgit.

"Banyak cara majikan boleh membantu. Sebagai contoh, memberi subsidi kepada elaun makanan mereka, elaun pengangkutan dan beberapa kesatuan sekerja malah telah mencadangkan supaya majikan membantu dalam pembelian insurans perlindungan," tambah beliau.

Beliau berharap kedua-dua pihak dapat bekerjasama untuk mencari alternatif berbanding menjadikan isu kenaikan harga minyak itu sebagai 'isu perdagangan', yang akan menyebabkan konfrontasi yang berterusan.

Dr Fong menyebut CA yang ditandatangani antara GAB dan kesatuan pekerjanya hari ini sebagai satu contoh baik bagaimana majikan dan pekerja boleh mencari jalan penyelesaian yang baik bagi menghadapi kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter baru-baru ini.

Sumber : Malaysiakini


KAJI AUKU : JAWAPAN STOPA MAMAT MACAM JKKK KAMPUNG


BUKIT KATIL 17 MAC : Jawapan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad ketika ditanya berkenaan pindaan AUKU seolah-olah sama seperti AJK JKKK Kampung. Semalam Mustapha berkata beliau memerlukan masa untuk meneliti dan mengkaji cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kerana hanya baru tiga minggu dilantik ke jawatan tersebut.

Sebagai menteri tidak perlulah Mustapha memberikan alasan sedemikian kerana menteri sepatutnya sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawabnya tidak kira baru atau lama.

Beliau berkata, kementeriannya sedang mendapatkan lebih banyak cadangan dan maklumat daripada pelbagai pihak sebelum membuat keputusan mengenai sebarang pindaan terhadap akta tersebut.

"Kalau kata beliau perlu banyak maklumat, tak payah tunggu lama, kerana 'berguni-guni' maklumat tentang ketidakadilan HEP, kezaliman AUKU, ketidakdilan dalam kenaikan pangkat telah dilaporkan kepada menteri yang lalu" jelas Khairuddin Ismail Setiuasaha DPP Kawasan Bukit Katil yang juga merupakan bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) salah sebuah IPTA.

"Takan beliau tak boleh rujuk kepada rekod dan maklumat-maklumat dahulu. Beliau bukan orang baru dalam arena pengajian tinggi, sebelum jadi ahli politik pun beliau adalah pensyarah universiti" tambah Khairuddin lagi.

Mustapha dilaporkan berkata kepada pemberita selepas menemui pengurusan kanan universiti-universiti awam tempatan di ibu negara hari ini semalam bahawa buat masa ini kementeriannya sedang mengumpul maklumat dari pihak universiti, pelajar dan sebagainya sebelum bentuk pindaan itu diumumkan.

Mustapa berkata, cadangan dan maklumat yang akan diperolehi kali ini mungkin berbeza dengan apa yang dilakukan oleh menteri terdahulu, Datuk Shafie Salleh yang digugurkan dalam rombakan kabinet baru-baru ini.

Mengenai pelajar warga negara Bangladesh yang dilaporkan telah menyalahgunakan pas pelajar mereka, Mustapha berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian dalam Negeri (KDN) untuk menangani masalah tersebut.

Beliau berkata, kementeriannya memandang serius perbuatan pelajar terbabit kerana ia juga boleh membahayakan keselamatan negara.

Dapatkan penjelasan

“Kementerian merancang memanggil pusat pengajian terbabit bagi mendapatkan penjelasan dari mereka,” katanya lagi.

Mengenai cadangan Menteri Besar Selangor yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Seri Mohd Khir Toyo supaya membenarkan mahasiswa memababitkan diri dengan kegiatan luar, Mustapha berkata: “Kami akan mengkaji perkara itu.”

Katanya, kajian itu meliputi sama ada ia memerlukan pindaan terhadap Auku atau undang-undang kecil universiti.

Mustapha memberitahu, dalam perjumpaan dengan pihak universiti hari ini, kerajaan memberi penerangan dan penjelasan mengenai pelbagai isu termasuk isu kenaikan harga minyak.

Beliau berkata, ada pelajar dan kakitangan universiti bertanya mengapa kerajaan menaikkan harga minyak sedangkan Sarawak dan Terengganu mengeluarkan minyak untuk keperluan negara.

“Mereka juga ingin tahu mengenai rancangan kerajaan untuk pengajian tinggi dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK 9),” katanya.

Sumber : Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59