Wednesday, 15 March 2006

PEKERJA MAJLIS PERBANDARAN KUALA TERENGGANU BANTAH KENAIKAN HARGA MINYAK. PEKERJA MBMB BILA LAGI?



LANGKAH BERANI PEKERJA MPKT INI WAJAR DICONTOHI OLEH SEMUA KERANA SESIAPA JUGA SEDANG MENGHADAPI TEKANAN AKIBAT KENAIKAN HARGA MINYAK


Rakyat tidak akan faham


Menurut Kerajaan yang sedia ada kenaikan minyak ini dapat menjadikan Rakyat berhemah dan tidak membazir dalam perbelanjaan mereka. Ini adalah salah satu alasan yang paling dungu yang pernah diberikan kepada rakyat. Jika kita menilai dari segi perbelanjaan rakyat yang puratanya bergaji kurang dari RM1500. Apakah perbelanjaan berhemah yang boleh lagi dilakukan. Sila lihat contoh berikut:

Gaji Sebulan 1500

Perbelanjaan Sebulan
Sewa/Bayar Rumah - 400
Perbelanjaan Dapur - 400
Belanja Barang Basah - 300
Motor - 150
Minyak - 100
Bas Sekolah Anak - 100
Belanja Anak Sekolah - 100
Jumlah Perbelanjaan - 1550
Defisit - 50

Perbelanjaan di atas adalah untuk rakyat hidup sahaja iaitu makan, minum dan perbelanjaan anak-anak dan tidak termasuk lagi pakaian, insuran kenderaan (cuma pakai motor aje, kalau pakai kereta kerana anak ramai, maka insuran akan bertambah), tol kereta, buku anak-anak, susu anak-anak, dan pelbagai lagi perbelanjaan untuk hidup sebagai manusia yang mempunyai rumah dan boleh menanggung anak-anak.

Oleh itu saya rasa Kerajaan lebih banyak membazir daripada rakyat. Projek-projek yang dibangunkan oleh kerajaan banyak yang tidak mengikut piawaian dan perlu dibaiki untuk kali kedua kerana kualiti yang rendah disebabkan rasuah dan projek diberikan kepada mereka yang tidak pernah berniaga atau tidak mempunyai pengalaman, projek hanya diberikan kerana mereka adalah saudara-mara dan sahabat handai pemimpin.

Selama ini rakyat tidak ambil peduli dengan kekayaan pemimpin-pemimpin kerajaan dari hasil rasuah kerana rakyat masih boleh lagi boleh makan, tetapi sekarang bagi mereka yang gaji dibawah RM1500 pun baru lepas untuk makan, pakai dan rumah, cuba bayangkan mereka yang bergaji bawah RM1000 - makan pun susah. Jadi rakyat memang tidak akan faham kenapa Kerajaan harus menaikan harga minyak kerana rakyat semakin susah dan payah. Jika Kerajaan masih tidak menghaspuskan rasuah, saya berpendapat Malaysia akan menjadi negara dunia keempat yang mana negaranya telah porak peranda dan bankrup seperti kebanyakan negara-negara Asia yang rasuahnya berleluasa.

Rakyat tidak akan faham, jika makan pun susah. Rakyat tidak akan faham, jika rakyat sahaja yang kena berhemah dalam perbelanjaan mereka, memang rakyat tidak akan faham jika kerajaan yang sedia ada tidak tahu cara mengendali ekonomi negara dengan baik, rakyat tidak akan faham jika kerajaan terpaksa membayar pengendali tol kerugian jika Kerajaan tidak mengikut kenaikan yang telah dirancang, memang rakyat tidak akan faham jika Tenaga Nasional membeli harga elektrik dari Syarikat Pembekal Elektrik dengan harga mahal tapi dijual dengan harga murah kepada rakyat, Rakyat tidak akan faham jika air yang dibeli oleh Singapura lebih murah jika dibandingkan dengan harga yang dibayar oleh rakyat. Memang rakyat tidak akan faham dari mana datangnya kekayaan Menteri-Menteri, Adun, Ketua Bahagian UMNO dan sesiapa yang mempunyai kuasa sehingga melebihi dari gaji mereka dan rakyat memang tidak mahu faham sebab harta dan hasil negara telah dibalun oleh Kerajaan atas nama pembangunan yang tidak menguntungkan rakyat.

Oleh Rakyat Cerdik Bukan Dungu dipetik dari Malaysia Today


SEKALI LAGI MAHATHIR 'AJAR' ABDULLAH AL-BADAWI


Dr M: Kenaikan harga minyak boleh dielakkan

KUALA LUMPUR 15 MAC : Hari ini media sekali lagi melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah mahu mengajar Pak Lah tentang menangani masalah kenaikan harga minyak di Malaysia. Mahathir percaya bahawa kenaikan tersebut boleh dielak atau dikurangkan jika kerajaan mengukuhkan nilai ringgit.

"Saya rasa kenaikan harga minyak di Malaysia tidaklah terlalu banyak tetapi kita boleh mengelakkan kenaikan itu dengan beberapa cara," katanya hari ini.

Dengan mengukuhkan nilai ringgit, katanya, kesan harga minyak dunia yang tinggi dalam mata wang dolar Amerika (AS) ke atas harga bahan bakar tempatan, adalah sedikit.

"Saya juga rasa yang wang kita kurang nilai. Jika kita mengukuhkan mata wang kita, kita sebenarnya tidak perlu menaikkan harga minyak.

"Kerana dengan mengukuhkan mata wang kita, harga minyak sebenarnya tidak akan menjadi terlalu tinggi," tambahnya.

Menurut laporan Bernama, harga minyak mentah meningkat di AS, kenaikan daripada AS$30 (AS$1=RM3.70) kepada AS$70 telah menolak naik harga-harga minyak di pasaran tempatan.
Jimat subsidi minyak

Harga petrol dan diesel telah naik 30 sen seliter mulai 1 Mac ekoran hasrat kerajaan menjimatkan sebahagian daripada subsidi minyak yang diberikan kepada pembangunan-pembangunan lain di dalam negara.

Dr Mahathir berkata sebarang kenaikan besar harga minyak mentah di Amerika akan secara langsung memberi kesan kepada harga bahan bakar tempatan, kerana ringgit masih bergantung kepada matawang dolar meskipun unit tempatan ini telahpun diapungkan berbanding sekumpulan mata wang sejak 21 Julai 2005.

"Jadi, bila harga minyak dalam mata wang AS tiba-tiba melonjak, harga di Malaysia turut melonjak.

"Tetapi, jika kita mengukuhkan matawang kita, kesan harga-harga di AS tidak akan menyebabkan kenaikan besar harga-harga minyak di Malaysia," tambahnya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, kenaikan 30 sen harga bahan bakar tidak perlu dibimbangkan oleh semua rakyat Malaysia walaupun ramai yang masih belum biasa dengan sebarang kenaikan harga.

Tidak biasa

"Saya kira di Malaysia, kita tidak biasa dengan sebarang kenaikan dalam harga. Jadi, kita tidak ambilnya sebagai satu kebiasaan," kata beliau.

"Tetapi di kebanyakan negara lain, harga sentiasa naik," tambahnya.

Ditanya mengenai sesi dialog beliau dengan para pelajar Universiti Malaya, Dr Mahathir berkata beliau telah menasihati mereka supaya belajar bersungguh-sungguh.

"Mereka bertanya pelbagai subjek dari pendidikan, perubahan, kepimpinan, wawasan dan banyak lagi," kata Dr Mahathir.

Selain belajar, katanya, beliau memberitahu mereka supaya merebut peluang untuk belajar nilai-nilai baik yang kemudiannya mungkin boleh digunakan untuk membantu kehidupan mereka dan juga negara.

Sumber : Malaysiakini.


ILMU EKONOMI MANA YANG Umno BELAJAR


KUALA LUMPUR 15 Mac - Sebagaimana lumrah alam apabila kos modal sesuatu barangan itu naik, maka sudah tentu harga jualnya akan naik dan ianya memberikan kesan besar kepada pengguna.

Itulah yang berlaku kepada pengusaha bas yang terpaksa menaikkan tambang bas akibat kenaikan harga minyak baru-baru ini. Jika tambang tidak dinaikkan sudah pasti keuntungan mereka semakin menguncup. Itu sifir ekonomi yang sangat asas yang semua orang tahu tidak perlu belajar tinggi-tinggi sampai PhD.

Tetapi sifir ekonomi asas inipun tidak difahami oleh Pemuda UMNO yang menyokong tindakan tegas dikenakan terhadap pengusaha bas yang ingkar dengan arahan kerajaan supaya tidak menaikkan kadar tambang disebabkan kenaikan harga minyak.

Pengerusi Biro Ekonomi pergerakan itu, Reezal Merican Naina Merican berkata, kenaikan kadar tambang yang dikenakan sama ada menggunakan terma `Yuran Pentadbiran Sementara' atau apa juga terminologi, tidak memberikan justifikasi kepada mana-mana pihak untuk menaikkan kadar tambang.

Apakah peningkatan 18 peratus kenaikan harga minyak ini tidak memberikan justifikasi yang konkrit kepada untuk menaikkan tambang bas walaupun ianya menyiksakan pengguna namun ianya terpaksa dilakukan.

Reezal berkata, tindakan menaikkan kadar tambang seperti itu boleh disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan mampu mensabotaj usaha kerajaan memperkasakan sistem pengangkutan awam.

"Sabotaj atau tidak tidak berbangkit kerana takkanlah kami berniaga pulang modal je, nak juga dapat untung" jelas salah seorang peniaga yang tidak mahu namanya disiarkan ketika diminta mengulas kenyataan Reezal di atas.

"Memanglah kami kasihan kepada pengguna tetapi, kami kena kasihan juga kepada diri sendiri. Dari mana Pemuda Umno ni belajar ekonomi ni" tambah beliau lagi.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59