Thursday, 9 March 2006

KERAJAAN PERLU SERIUS TANGANI MASALAH SOSIAL!


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melihat laporan kes rogol ‘abang-adik’ yang berpunca daripada pengaruh VCD lucah sebagai suatu tragedi yang perlu ditangani secara serius oleh kerajaan dan semua pihak yang terlibat. Tragedi ini juga perlu dilihat oleh semua pihak sebagai suatu indikator kepada usaha kerajaan dalam menangani permasalahan sosial yang berpunca daripada lambakan bahan-bahan porno dipasaran. Sewajarnya isu ini menjadi pengajaran berguna kepada semua pihak yang terlibat khususnya kerajaan agar tidak sekadar melepaskan batuk di tangga didalam usaha bagi menangani permasalahan ini.

DPPP melihat isu kegagalan ini berpunca daripada beberapa faktor seperti yang dinyatakan di bawah :

1. Kegagalan instrumen kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDN & HEP ) dalam menangani lambakan VCD lucah di pasaran. Perlaksanaan penguatkuasaan yang seringkali dibayangi dengan unsur-unsur rasuah dilihat sebagai punca utama kepada kegagalan usaha untuk membenteras pengedaran VCD lucah dipasaran. Penguatkuasaan dilihat hanya menumpukan kepada usaha untuk membenteras operasi penjualan dan pengedaran sedangkan faktor utama yang perlu difokuskan iaitu faktor pengeluaran bahan mentah CD diabaikan. Jelas sekali di dalam hal ini kaedah pemantauan pihak kementerian terhadap operasi pengeluaran CD tidak berkesan bagi mengekang penyalahgunaannya.
2. Antara faktor yang sering digembar gemburkan berlakunya lambakan VCD lucah dipasaran ialah kerana wujudnya permintaan daripada orang ramai. Dengan menggunakan logik mudah, kerajaan bertanggapan usaha pembenterasan dapat dijayakan dengan mengurangkan permintaan. Logik ini sememangnya ada kebenaran tetapi persoalannya adakah usaha untuk mengurangkan permintaan dengan memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa buruknya kesan VCD lucah seiring dengan usaha-usaha kerajaan yang lain. Jelas sekali jawabannya tidak. Bagaimana mungkin kesedaran dapat dipupuk dikalangan rakyat sekiranya di dalam masa yang sama faktor-faktor yang mendorong orang ramai untuk ‘mendekati’ VCD lucah masih lagi berleluasa, antaranya ialah penyiaran secara tidak terkawal filem, drama dan iklan komersil yang mempunyai unsur-unsur lucah secara melampau. Kerajaan melalui Kementerian Penerangan dilihat gagal dalam mengawal perkara ini.

3. Begitu juga kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dilihat gagal dalam mengawal penerbitan buku,majalah dan akhbar yang memaparkan cerita, berita dan grafik yang mengandungi unsur-unsur kelucahan melampau. Dengan begitu banyaknya bahan-bahan seperti ini ianya mendorong kepada permintaan VCD lucah. Peliknya kerajaan dilihat begitu tegas di dalam menangani penerbitan-penerbitan berunsur politik tetapi di dalam hal ‘penerbitan lucah’ kerajaan dilihat menutup mata sebelah.

Penegasan, Saranan dan Pandangan
Maka dengan itu DPPP menegaskan agar satu usaha yang proaktif, sistematik dan telus perlu dilakukan bagi memastikan permasalahan ini dapat ditangani dengan kadar segera. Berikut dibawah adalah antara saranan dan pandangan DPPP :

1. Penstrukturan semula KPDN & HEP perlu dilakukan agar fungsi dan peranannya dapat dimaksimumkan. Orientasinya juga perlu lebih kepada penguatkuasaan. Di dalam hal ini DPPP bertegas agar usaha penyusunan semula ini juga perlu juga diiringkan dengan usaha pembersihan KPDN&HEP daripada gejala rasuah dan campur tangan politik. Hanya dengan melalui proses ini sahaja fungsi dan peranan KPDN&HEP dapat dikembalikan kepada visi dan misinya.
2. Kegagalan Kementerian Penerangan dalam mengawal bahan-bahan siaran samada di stesen penyiar kerajaan mahupun swasta perlu ditangani secara telus. Hak penapisan kandungan bahan siaran yang diberikan kepada sesetengah stesen penyiar perlu ditarik balik. Permasalahan ini yang pernah dibangkitkan di Dewan Negara perlu dipandang serius oleh Kementerian Penerangan. Kewujudan garis panduan dan Lembaga Penapisan Filem yang dilihat gagal memainkan peranan dan fungsinya perlu dinilai semula.

3. Peningkatan penguatkuasaan hukuman perlu dilakukan. Hukuman berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada pengedar VCD lucah. Sewajarnya kerajaan mempertimbangkan hukuman yang lebih keras.

4. Dasar langit terbuka yang menjadi amalan kerajaan perlu ditangani dengan bijak. Kewujudan laman-laman lucah perlu disekat dengan segala cara yang mungkin. Usaha ini tidak sekadar kepada kewujudan pelbagai undang-undang tetapi juga perlu diseiringkan dengan tindakan yang proaktif dengan penggunaan teknologi terkini bagi menyekat capaian ke laman web tersebut.

DPPP secara tegasnya mendesak kerajaan untuk lebih prihatin dan telus terhadap usaha untuk menangani permasalahan ini. Tragedi rogol sebagaimana yang dilaporkan sewajarnya menginsafkan kerajaan kepada realiti betapa keruntuhan moral yang berlaku di dalam negara ini berada ditahap kritikal dan kronik. Institusi kekeluargaan yang menjadi aset kepada pembinaan masyarakat madani dilihat kini sedang melalui detik-detik kehancuran yang memilukan. DPPP juga amat yakin rentetan beberapa kejadian rogol dan bunuh yang berlaku sebelum ini sedikit sebanyak berpunca daripada permasalahan lambakan bahan-bahan lucah dipasaran. Maka dengan itu DPPP memperingatkan dengan tegas agar kerajaan tidka melihat rentetan kejadian yang berlaku sebagai suatu kes terpencil. Ianya adalah suatu tragedi yang akan menyumbang kepada musibah yang lebih dahsyat.

MAZLAN BIN ALIMAN
NAIB KETUA PEMUDA PAS PUSAT
8 SAFAR 1427 / 8 MAC 2006


DUA BUAH BAS DI MELAKA NAIKKAN KADAR TAMBANG 10 %


MELAKA 9 MAC -- Walaupun kerajaan memberi amaran supaya kadar tambang tidak dinaikkan, dua buah syarikat bas pengangkutan awam di sini menaikkan kadar tambang masing-masing sebanyak 10 sen dan 20 sen hari Rabu.

Sebuah bas perkhidmatan henti-henti di antara Melaka Raya ke Terminal bas di Melaka Sentral di pusat bandar menaikkan tambangnya daripada 90 sen kepada RM1.

Tiada notis ditampalkan di bas berkenaan mengenai kenaikan tambang itu.

Tinjauan Bernama juga mendapati sebuah lagi syarikat bas yang melakukan perkhidmatan angkut di antara Melaka Sentral ke Pengkalan Kempas di Negeri Sembilan juga menaikkan kadar tambang mereka.

Tambang di antara Melaka Sental ke Kem Terendak dinaikkan kepada RM2.30 sen daripada RM2.10 sen.

"Kami hanya mengikut arahan daripada pihak pengurusan syarikat untuk menaikkan kadar tambang sebanyak 10 peratus bermula hari ini," kata seorang pemandu ketika ditanya mengenainya.

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dilaporkan dua hari lepas, akan mengenakan denda maksimum RM300 dan menggantung lesen pengusaha pengangkutan awam yang berdegil menaikkan caj tambahan kerana kerajaan sudah meluluskan kenaikan 20 peratus Mei tahun lepas.

Harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) masing-masing naik 30 sen seliter dan sekilogram berkuat kuasa 28 Feb lepas.

Bernama.


Samy Vellu bohong berjaya pertahankan harga tol


Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu, jelas silap dan berbohong apabila dia berkata yang kementeriannya tidak tunduk kepada tekanan daripada syarikat konsesi tol yang mendesak dinaikkan tol kerana kenaikan tol sebenarnya tertakluk kepada perjanjian yang berat sebelah bukan kepada kementeriannya. Perjanjian berat sebelah tersebut, terang-terang merugikan rakyat dan kerajaan. Pengumuman Samy yang kosong dan tidak bermakna itu dibuat apabila dia berkata kerajaan tidak akan membenarkan apa-apa kenaikan tol pada tahun ini dan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada syarikat-syarikat tol. Perkara tersebut didedahkan oleh Setiausaha Agung DAP Sdra Lim Guan Eng di Petaling Jaya.

Menurut Guan Eng, terdapat 2 sebab mengapa Samy cuba mendapat publisiti murahan dengan pengumumannya bahawa kononnya dia tidak akan benarkan kenaikan tol membebankan pengguna selepas kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Pertama, sebab Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berjanji pada 7 Sept 2005, bagi menyekat inflasi, kerajaan akan menghentikan kenaikan minyak bagi 2005.Samy hanya mengulangi semula janji Perdana Menteri tetapi membuatkan seolah-olah dia yang bertahan memastikan tol tidak naik.

Kedua, pembekuan harga tol selama dua tahun tidak akan mempunyai impak ke atas semua syarikat konsesi kerana mereka telah jadualkan kenaikan bukan dalam tahun 2005 dan 2006 seperti PLUS, Penang Bridge Sdn Bhd, Besraya (M) Sdn Bhd, Elite,Grand Saga Sdn Bhd, Kesas Sdn Bhd, Litrak, New Pantai Expressway Sdn Bhd(NPE), Konsortium Lebuhraya Butterworth-Kulim Sdn Bhd, Sistem LingkaranLebuhraya Kajang Sdn Bhd (SILK), MTD Prime Sdn Bhd dan Sistem PenyuraianKL Barat Sdn Bhd (Sprint).

Konsesi yang dijadualkan mendapat kenaikan adalah Jambatan Pulau Pinang. Kerajaan telah dipaksa dengan perjanjian konsesi yang berat sebelah, membayar pampasan sebanyak RM19 juta selepas menafikan kenaikan pada tahun lepas. Bagi Perdana Menteri atau Samy mengatakan tiada kenaikan dalam tahun 2006 tiada makna.

Guan Eng mencabar Samy Vellu mengumumkan tiada kenaikan dalam tahun 2007. Pengumuman itu akan benar-benar relevan dan bermakna kepada rakyat. Mungkin Samy kini diserang sindrom menang selepas dia berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai presiden MIC untuk penggal kesepuluh baru-baru ini.

Malaysia Today


RAKYAT TOLAK PUJUKAN KERAJAAN "TUKAR GAYA HIDUP", "BERKORBAN"


Perdana Menteri Abdullah Al-Badawi jelas tidak berwibawa dan lemah. Kegagalan demi kegagalan tertonjol dengan sediri.Beliau gagal menunaikan janji-janji dalam 28 bulan lalu untuk membanteras rasuah dan menjadi contoh pentadbiran yang amanah dan jujur.

Rakyat mulai sedar tembelang sebenar beliau apabila satu demi satu isu besar yang melandan pentadbiran beliau gagal ditangani dengan berkesan dan meyakinkan.

Isu terbaru iaitu kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen benar-benar menguji kesabaran rakyat.

Oleh kerana tertekan dengan bantahan rakyat, Al-Badawi telah melancarkan kempen penerangan berkaitan sebab kenaikan minyak dan menuduh pembangkang telah mengambil kesempatan kurangnya maklumat berkaitan kenaikan minyak, untuk tujuan politik pembangkang. Perdana Menteri telah mengerahkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan 4.5 juta ahli-ahli BN untuk menjelaskan sebab kenaikan minyak kepada rakyat.

Dalam kempen ini beliau sekali lagi cuba memperbodohkan rakyat dan mengajak rakyat berkorban dan menukar gaya hidup. Sedangkan beliau dan pimpinan BN lain tidak sedikitpun menunjukkan perubahan dalam gaya hidup masing-masing.

Pimpinan PAS dan parti pembangkang lain menyatakan rasa amat kecewanya dengan tindakan Al-Badawi ini. Selepas seminggu pengumuman kenaikan harga minyak, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Nasional gagal memahami dan menangani kemarahan dan rasa tidak puashati rakyat terhadap kenaikan petrol, diesel dan LPG.

Lebih serius lagi, 4,000 pemimpin-pemimpin BN yang menghadiri taklimat khas di Pusat Dagangan Dunia Putra mengenai kenaikan harga minyak juga gagal memahami punca kemarahan rakyat atau berani menanganinya. Hal itu jelas daripada dialog tiga jam bersama Perdana Menteri.

Rakyat jelata amat marah dan naik darah dengan kenaikan mengejut minyak dan ditambah dengan kenaikan yang tinggi berbanding sebelum ini. Begitu juga rakyat sudah tidak percaya dengan panggilan oleh pemimpin untuk menukar gaya hidup, berjimat cermat dan berkorban.

Kegagalan pentadbiran Abdullah untuk membawa pembaharuan yang sangat diharapkan selepas menang besar dalam pilihan raya 2004, telah mengikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan seruan yang di sebelah pihak saja untuk “mengubah cara hidup” dan “melakukan pengorbanan”.

Selagi Abdullah tidak bersedia untuk bertindak tegas dan menunaikan segala ikrar beliau sebelum ini, ia akan dilihat sebagai “cakap tak serupa bikin”, walaupun dengan kerahan 4,000 ahli BN untuk menjelaskan situasi, tidak akan memberi apa-apa kesan, demikian pandangan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang yang disiarkan oleh Malaysia Today.

Sudah sampai masanya rakyat bangkit dengan serius menentang kenaikan harga minyak ini. Penubuhan badan yanhg dinamakan PROTES yang menangani isu ini oleh PAS, parti pembangkang lain seharusnya disokong oleh semua rakyat dikira agama, bangsa dan fahaman politik.

Sumber : Malaysia Today


SELANGOR MAJU:TAPI MASIH ADA RAKYATNYA YANG TIDAK MAKAN NASI SELAMA 2 MINGGU KERANA MISKIN


HULU LANGAT 9 MAC: Di saat pemimpin negeri hidup mewah dan mendakwa negeri Selangor adalah negeri maju, masih ada lagi rakyatnya yang melarat tidak mampu membeli beras.

Media hari ini melaporkan bahawa salah seorang rakyat 'Negeri Maju' ini menceritakan perihat keluarga beliau.

“Saya tidak boleh melupakan kata-kata anak saya yang teringin sangat hendak makan nasi. Dia cakap sudah dua minggu tidak makan nasi, tetapi apakan daya saya tidak mampu membeli beras kerana tiada duit.

“Saya sangat sedih ketika itu sampai beberapa kali memegang bekas menyimpan beras sambil menunjukkan kepada anak saya. Beras tak ada yang ada cuma tepung gandum tetapi terpaksa dibahagi dua untuk dijadikan makanan seharian,” kata Shahrul Hisham Ishak, 33, yang hidup daif bersama keluarganya di Kampung Sungai Lui, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Menurut Shahrul, ada kalanya dia terpaksa mencuri pisang di kawasan kebun milik penduduk kampung berhampiran dengan pondok buruknya bagi dijadikan pengalas perut.

Dia yang mempunyai dua cahaya mata Siti Aishah, 8, dan Mohd Shahrul Rizwan, 6, berkata detik suram keluarganya bermula apabila dia diberhentikan kerja tiga tahun lalu berikutan sering mengambil cuti kerana mengalami sakit pinggang berpanjangan.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Hulu Langat dengan pendapatan RM550 sebulan. Malangnya apabila sudah selalu ambil cuti, majikan tidak boleh berkompromi lagi.

“Bukan disengajakan tapi terpaksa kerana kesakitan dialami cukup menyeksakan. Itu mata pencarian keluarga tetapi keadaan memaksa saya terima ketentuan ini,” katanya.

Demi menyara keluarga, isterinya, Rashidah Ismail, 26, terpaksa bekerja sebagai pencuci bangunan di Bukit Aman dengan pendapatan RM400 sebulan.

Selepas diberhentikan kerja, Shahrul sekeluarga tiada tempat perlindungan kerana tuan rumah mengarahkan mereka mengosongkan rumah kerana tidak mampu untuk membayar sewa.

“Hidup kami tidak menentu selepas itu sehingga bapa saya yang bekerja sebagai penjaga kebun terpaksa membina bangsal beratapkan buluh di Kampung Sungai Lui sebagai tempat kami berlindung anak beranak.

“Saya terpaksa menjual sayur-sayuran dari rumah ke rumah atau kedai berhampiran serta menangkap katak untuk dijual kepada peniaga Cina bagi menyara kami sekeluarga,” katanya.

Bagaimanapun, penderitaan empat beranak itu akhirnya mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas menerima aduan daripada penduduk kampung.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat LZS, Akhtar Sahari, berkata pihaknya menyediakan rumah kos rendah di Taman Saujana Impian, Kajang, sebagai rumah sementara keluarga itu.

“LZS juga membiayai yuran persekolahan kedua-dua anak pasangan berkenaan sehingga mereka ke sekolah menengah. Kami akan menguruskan perpindahan ke sekolah baru tidak lama lagi.

“Kami akan membantu Shahrul mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan fizikalnya memandangkan beliau menghidap sakit pinggang,” katanya yang ditemui di pondok buruk keluarga berkenaan, semalam.

Turut hadir pegawai JKM Daerah Hulu Langat, Mohamad Razuki Sibi.

Inilah negeri Maju Selangor di bawah pemerintahan Khir Toyo yang sedang menghadapi pelbagai masalah akibat pemerintahannya yang lemah dan bermasalah.

Sumber : Harian Metro


SEMUA LADANG BABI DI MELAKA DIARAH TUTUP:PENTERNAK RESAH


MELAKA 9 MAC : Kerajaan Negeri Melaka telah mengarahkan kesemua 82 ladang ternakan babi di negeri itu supaya ditutup dalam tempoh 14 hari dari tarikh mereka menerima surat arahan tersebut.

Mereka juga diarahkan supaya mengambil tindakan menjual, memindah atau apa-apa cara yang difikirkan sesuai dalam tempoh berkenaan.

Arahan tersebut terkandung dalam surat yang dihantar oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka, kepada semua penternak terbabit, yang bertarikh 1 Mac lalu.

Dalam surat itu, jabatan berkenaan berkata, penutupan ladang babi serta pemberhentian semua aktiviti ternakan di ladang berkenaan, dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Exco negeri itu pada 10 April 1999 mengenai penutupan ladang khinzir di Melaka.

Sehubungan itu, para penternak terbabit diberi amaran, jika gagal mematuhi arahan tersebut, ladang ternakan mereka akan disita.

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Melaka, Ketua Pengarah Perkhidmatan Haiwan Malaysia di Putrajaya dan Pengarah Penguatkuasa di Putrajaya.

Berikutan itu, sebuah iklan (foto) dibuat oleh penternak terbabit, disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily semalam, meminta sokongan dan perhatian orang ramai supaya tindakan tersebut ditarik balik.

Karikatur

Dalam iklan tersebut juga, mereka mengatakan, jika tindakan itu boleh berlaku di Melaka, perkara yang sama juga boleh dilakukan di negeri-negeri lain.

Iklan tersebut disertakan dengan satu karikatur yang menunjukkan empat penternak babi Melaka sedang menunggu giliran untuk digantung (foto).

Presiden Persatuan Penternak Melaka, Chin Nam Yee berkata, iklan itu disiarkan berikutan kegagalan usaha mencari penyelesaian terhadap isu tersebut, walaupun ahli exco negeri dari MCA dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) MCA pernah memberi jaminan untuk membantu mereka mencari penyelesaiannya.

Namun begitu, katanya, pihak majlis perbandaran dan pejabat tanah telah banyak kali memberi surat kepada para penternak terbabit mengarahkan mereka menghentikan operasi ternakan.

Bagaimanapun, katanya, iklan tersebut hanya dapat disiarkan dalam akhbar Oriental Daily kerana empat lagi akhbar berbahasa Cina enggan menyiarkannya atas alasan isu itu sangat sensitif.

Perkara tersebut telah dibangkitkan pada 31 Disember lalu dan atas usaha Adun MCA dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (foto) telah berjanji secara lisan untuk tidak memindahkan mereka untuk sementara waktu.

Bagaimanapun, para penternak terbabit terperanjat apabila menerima surat dari Jabatan Veterinar Melaka itu, yang bertarikh 1 Mac lalu, yang mengarahkan mereka supaya menutup operasi ladang masing-masing.

Pusatkan ternakan

Dan semua pemilik 82 ladang terbabit mulai menerima surat arahan tersebut secara berperingkat mulai 1 Mac.

Menurut Chin lagi, pihak berkuasa negeri mahu memusatkan ladang ternakan babi di negeri itu ke kawasan yang belum ditetapkan lagi.

Sebelum ini, perjumpaan dan perbincangan antara pemilik ladang dan pihak berkuasa negeri telah diadakan, tetapi gagal mencapai sebarang keputusan.

Sebaliknya, pihak penternak telah meminta kerajaan negeri supaya mengenalpasti terlebih dahulu kawasan yang akan dijadikan pusat ternakan babi di negeri itu.

Bagaimanapun, difahamkan, pihak kerajaan negeri pula meminta para penternak supaya mencapai kata sepakat dan selepas itu baru kerajaan negeri mencari tapak pusat ternakan tersebut.

Dipetik dari Malaysiakini


SIDANG PARLIMEN DIJANGKA HANGAT BUKAN HANYA ISU KARIKATUR SAHAJA TAPI BANYAK LAGI ISU LAIN


KUALA LUMPUR 9 Mac - Akhbar arus perdana sekali lagi cuba menutup isu kenaikan minyak dalam laporannya berkenaan sidang parlimen.

Dalam laporan media hari ini dinyatakan bahawa Isu keretakan Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2) dan karikatur Nabi Muhammad s.a.w adalah antara persoalan utama yang bakal dibangkitkan semasa sesi soal jawab dan pembentangan usul pada Persidangan Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Kesebelas yang akan bermula Isnin ini. tetapi isu kenaikan harga minyak tidak dinyatakan.

laporan itu menyebut bahawa Pegawai Perhubungan Awam Parlimen, Ahmad Asri Zakaria berkata, turut menjadi tumpuan kali ini ialah pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pukul 4 petang 31 Mac ini.

Nampaknya agenda kerajaan untuk menutup isu harga minyak ini mendapat dokongan penuh akhbar pengampu dan pengecut ini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59