Tuesday, 7 March 2006

Akhbar diarah jangan perbesarkan berita bantahan harga minyak


Seorang pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) dikatakan telah mengarahkan editor akhbar-akhbar utama supaya jangan memperbesar-besarkan berita bantahan orang ramai terhadap kenaikan terbaru harga minyak, termasuk bantahan besar-besar Jumaat lalu di Kuala Lumpur.

“Malah, sebelum demonstrasi itu diadakan, kami telah diarahkan supaya jangan memperbesarkan berita tersebut dengan alasan ia akan menyemarakkan lagi kemarahan orang ramai,” kata seorang pengarang berita kepada malaysiakini, merujuk kepada perhimpunan bantahan berhampiran Menara Berkembar yang menempatkan Ibupejabat Petronas.

“Pegawai tersebut memberitahu kami, walaupun (kami) boleh menyiarkan berita reaksi terhadap kenaikan harga minyak, tetapi tidak boleh diperbesar-besarkan dan gambarnya juga tidak boleh disiarkan. Bagaimanapun, beliau mengakui orang ramai akan lebih marah, jika berita bantahan tersebut tidak siarkan langsung,” katanya.

Seorang lagi editor berkata, pihak akhbar juga tidak digalak meninjau pendapat orang ramai kerana mereka pada umumnya tidak gembira dengan kenaikan mendadak harga minyak pada 28 Februari lalu.

Kira-kira 2,000 orang, sebahagian besarnya penyokong parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), mengadakan perhimpunan besar-besaran membantah kenaikan harga minyak di Menara Berkembar Petronas.

Mereka membantah kenaikan terbesar harga minyak dalam tempoh dua tahun ini – antara 18.5 hingga 23 peratus. Berikutan itu, harga petrol dan diesel masing-masing naik 40 dan 102 peratus.

Bagaimana berita disiarkan

Kesemua akhbar utama tempatan hanya memberi laporan minima atau tidak menyiarkan langsung berita mengenai demonstrasi di Menara Berkembar Petronas Jumaat lalu.

Akhbar berbahasa Inggeris milik Umno, News Straits Times tidak menyiarkan langsung berita tersebut, manakala akhbar milik MCA – The Star – menyiarkan komen Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai bantahan tersebut.

Laporan di muka 14 akhbar The Star memetik Najib sebagai berkata, parti-parti politik mengambil kesempatan daripada kenaikan terbaru harga minyak itu untuk meraih sokongan rakyat.

Berita mengenai banthan tersebut tidak disiarkan langsung dalam dua akhbar bahasa Melayu milik Umno – Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Bagaimanapun, Utusan memetik Najib dalam berita bertajuk ‘Guna Kuasa Pengguna: Najib’ sebagai berkata beliau sudah menjangka bantahan tersebut akan dianjurkan oleh parti-parti pembangkang yang didakwanya tidak pernah memberi sumbangan membina kepada negara.
Berita Harian juga memetik Najib menasihatkan pengguna supaya menggunakan hak mereka untuk menuntut para peniaga supaya jangan mengambil kesempatan daripada kenaikan harga minyak.

Akhbar harian bahasa Cina menyiarkan berita mengenai bantahan tersebut tanpa memperbesarkan liputannya.

Akhbar terbesar bahasa Cina – Sin Chew Daily – yang menyiarkan laporan lima perenggan di muka 11 bersama gambar demonstrasi tersebut – merupakan satu-satunya yang berbuat demikian.

Akhbar China Press milik MCA menyiarkan berita tersebut di muka tujuh, bersama komen Najib mengenai perkara tersebut.

Sebuah lagi akhbar milik MCA – Nanyang Siang Pau – hanya menyiarkan reaksi Najib terhadap demonstrasi bantahan tersbut.

Oriental Daily News pula menyiarkannya sebagai berita ringkas di muka page 19, tetapi menyiarkan komen Najib itu di muka enam.

Dipetik dari Malaysiakini


INGAT LAGIKAH KITA KEPADA KES BUANG SEKOLAH PELAJAR PAKAI SERBAN.


Rayuan murid dibuang kerana pakai serban Rabu ini

Tahun lepas seorang murid sikh dibenarkan menyimpan misai dan janggut atas dasar kebebasan beragama. Tetapi ingatkan kita kepada kes 3 orang pelajar Islam yang memakai serban dibuang sekolah pada tahun 1997.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar Rabu ini, rayuan tiga bekas murid Sekolah Rendah Kebangsaan Felda Serting di Jempol, Negeri Sembilan terhadap tindakan pihak sekolah membuang mereka pada 1997 kerana enggan membuka serban yang dipakai mereka ke sekolah.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abdul Malek Ahmad, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Hamid Mohamad membenarkan penangguhan yang dipohon oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin yang meminta diberi masa untuk menyediakan penghujahannya.

Mohamed Hanipa yang mewakili ketiga-tiga murid itu memohon penangguhan kes kerana beliau hanya diberitahu yang rayuan itu akan didengar, pada Jumaat lalu.

Pada 6 Ogos 1999, Mahkamah Tinggi Seremban membatalkan perintah pembuangan sekolah ketiga-tiga murid itu yang dibuat oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Fatimah Sihi pada 10 November 1997, dengan memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai bidangkuasa untuk berbuat demikian.

Bernama melaporkan, bagaimanapun, keputusan itu diketepikan dengan kos oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 22 November 2004.

Masalah disiplin

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram dalam keputusannya berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamed Noor Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) tidak sepatutnya campurtangan dalam perkara itu kerana peraturan pakaian seragam biasanya ditentukan oleh pihak sekolah.

Sri Ram berkata, kes itu tiada kaitan dengan kebebasan asas untuk mengamalkan agama Islam, dan sebaliknya hanya berkaitan dengan masalah disiplin kerana murid-murid berkenaan enggan mematuhi peraturan sekolah.

Ketiga-tiga murid itu -- Meor Atiqulrahman Ishak, Syed Abdullah Khaliq Aslamy dan adik lelakinya Syed Ahmad Syakur Dihya -- memfailkan saman terhadap Guru Besar berkenaan menerusi penjaga dan bapa mereka, Syed Ahmad Johari Syed Mohd.

Mereka juga menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran dan kerajaan sebagai responden.

Pada masa itu, Meor Atiqulrahman berusia 10 tahun, Syed Abdullah Khaliq Aslamy, 9, dan Syed Ahmad Syakur Dihya, 8.

Dalam saman itu, ketiga-tiganya mendakwa mereka diarahkan menanggalkan serban mereka oleh guru penyelia pada 8 Julai 1997.

Mereka juga mendakwa bahawa pada 13 Ogos 1997, Fatimah mengarahkan ketiga-tiganya membuka serban mereka dan hanya memakai songkok, dan ini diikuti dengan pembuangan mereka daripada sekolah berkuatkuasa pada 10 November 1997.

Dipetik dari Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59