Friday, 3 March 2006

KEZALIMAN DITERUSKAN


Kezaliman kerajaan Islam hadhari ke atas tahanan ISA yang belum terbukti kesalahan mereka diteruskan lagi dengan perlanjutan tempoh tahanan mereka.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri semalam telah melanjutkan tempoh tahanan lima orang yang disyaki militan Islam selama dua tahun lagi di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA), walaupun mereka telah ditahan sejak empat tahun lalu.

“Keluarga orang tahanan berkenaan mengesahkan kelima-lima tahanan ISA yang tamat tempoh tahanan mereka pada Selasa lepas telah dilanjutkan penahanannya,”kata jurucakap Gerakan Hapuskan ISA (AIM), Chang Lih Kang.

Menurut beliau, perintah lanjutan penahanan yang ditandatangani oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu tidak menyatakan sebarang alasan

Selaku menteri berkenaan, Abdullah mempunyai kuasa untuk melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun lagi mengikut budi bicaranya.

Kelima-lima orang tahanan itu ialah Syahrial Sirin, Mohd Faiq Hafidh, Dr Abdullah Daud, Shahril Hat dan Muhammad Kadar.

Mereka ditahan empat tahun lalu atas tuduhan terbabit dengan kumpulan Jemaah Islamiah (JI).

Dengan perlanjutan tempoh tahanan mereka, jumlah orang tahanan ISA yang dilanjutkan penahanan mereka dalam dua bulan pertama tahun ini sebanyak 10 orang. Ini juga menambah bilangan orang tahanan ISA yang ditahan untuk tahun kelimanya meningkat kepada 16 orang.

Pada September tahun lalu kerajaan melanjutkan penahanan enam orang yang disyaki anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia termasuk anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz.

Chang mengecam keputusan melanjutkan tempoh penahanan itu dengan menyifatkann sebagai “ luar biasa” sejak Operasi Lalang tahun 1987. Beliau menyeru semua orang tahanan ISA itu dibicarakan di mahkamah terbuka.


Tuduhan tidak berasasa

“Sedangkan tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap mereka semasa mula-mula ditahan empat tahun lalu masih belum dibuktikan di makhamah terbuka, kini kerajaan melanjutkan tempoh penahanan selama dua tahun lagi dengan berdasarkan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas, ini tidak boleh diterima sama sekali,”katanya lagi.

Menurut Chang, jelas sekali tiada perubahan dibuat di bawah pentadbiran Abdullah setelah dua tahun setengah memerintah negara ini, kerana masih meneruskan amalam menahan orang tanpa bicara yang merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan tindakan yang tidak bertamaddun.

Menurutnya lagi, oleh itu Perdana Menteri tidak layak menggesa Amerika Syarikat menutup kem tahanan Guantanamo Bay selagi kerajaan Malaysia tidak menutup kem tahanan Kamunting yang kini dihuni oleh lebih 100 orang tahanan.

Chang juga bertanya tentang nasib dua lagi orang tahanan iaitu Mohd Sha Sarijan dan Shukri Omar Talib yang tamat tempoh tahanannya bulan lalu.

“Mungkinkah mereka berdua juga dilanjutkan tempoh penahanan masing-masing?”
Sementara itu terdapat lima orang lagi orang tahanan akan tamat tempoh penahanan mereka pada hujung bulan ini.

Jurucakap AIM itu juga mendakwa dua orang tahanan warga Singapura telah dihantar balik ke negara asal mereka awal minggu ini.

Mereka dikatakan telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura sebaik sahaja tiba di republik itu.

Orang tahanan berkenaan ialah Muhammad Ismail Anuwarul dan Abdul Rashid Anuwarul yang turut didakwa mempunyai kaitan dengan JI.

Sudah jelaslah bahawa Islam Hadhari yang dilaung-laungkan hanyalah omongan kosong kerana ianya tidak diamalkan oleh penganutnya sendiri. Keadilan dan kemerdekaan rakyat yang menjadi salah satu 'rukun' Islam Hadhari dilanggar oleh 'Mursyidul Am' Islam Hadhari sendiri.

Dipetik dari Malaysiakini


MANA MUNGKIN PENIAGA TIDAK NAIKKAN HARGA BARANGAN


BUKIT KATIL 3 MAC : Media hari ini melaporkan bahawa lesen premis perniagaan yang pemiliknya terus berdegil selepas diberi amaran dan dikompaun kerana menaikkan harga barangan tanpa alasan munasabah, akan ditarik balik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membolehkan tindakan itu diambil.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertanggungjawab terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terbabit mengeluarkan lesen untuk premis perniagaan beroperasi di kawasan mereka.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya, kononnya kerana terpaksa menanggung kenaikan kos harga minyak.

Mana mungkin peniaga tidak akan menaikkan harga barangan berikutan kos pengangkutan yang sudah tentu meningkat. Kalau harga minyak petrol dan diesel dengan mendadak dalam jumlah yang besar sudah tentulah kos pengangkutan akan meningkat dengan mendadak juga.

Mohd Shafie berkata, kementeriannya kini mengambil langkah proaktif dengan membuat pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pengusaha yang menaikkan harga tanpa perlu menunggu laporan mengenainya.

Apakah Shafei boleh memastikan semua kedai dan premis perniagaan yang berjumlah ratusan ribu malah mungkin jutaan boleh dipantau oleh pegawainya setiap hari. Kalau ini boleh dilakukan barulah kita yakin bahawa kenaikan harga barangan ini dapat dikawal. Kalau tidak jangan bercakap mengikut 'sedap mulut' sahaja.


PEMUDA Umno UMPAMA KERBAU DICUCUK HIDUNG


PUTRAJAYA 3 Mac - Membaca ulasan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO tentang kenaikan harga minyak hari ini cukup menyakitkan hati. Apa tidaknya semua yang 'boss' mereka kata semuanya betul dan benar.

Dalam kenyataan Hishamuddin kepada media yang disiarkan hari ini, Ketua Pergerakan Pemuda Umno tersebut menganggap keputusan kerajaan menaikkan harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebagai tindakan berani yang terpaksa dilakukan berikutan lonjakan harga minyak dunia.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kenaikan sebanyak 30 sen itu masih rendah di rantau ini selepas Brunei.

Inilah sebenarnya 'standard' kepala otak pemimpin pemuda Umno yang langsung tidak memikirkan kesusahan rakyat terbanyak.

Bagi mereka kalaunya tidak membebankan mereka maka dianggap bahawa semua rakyat pun tidak akan terbeban dengan kesan kenaikan harga minyak ini.

Cuba teliti kenyataan Hishamuddin dibawah ini, katanya :

``Impak kenaikan harga pasaran minyak dunia menyaksikan seluruh dunia melakukan `pengubahsuaian' harga dengan menaikkan harga minyak masing-masing dan Malaysia sendiri tidak dapat mengelak daripada membuat keputusan tidak popular itu.

``Kita berharap rakyat akan memahami tindakan kerajaan dan bersedia sama-sama menampung kenaikan harga minyak yang di luar kawalan kita,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, tindakan kerajaan mengurangkan subsidi secara langsung dapat membantu generasi akan datang tidak lagi terbeban dengan tanggungan subsidi yang mungkin jauh lebih besar.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin mengingatkan para peniaga di negara ini supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati berikutan perkembangan baru tersebut.

``Kita telah menggerakkan Pemuda untuk turun padang bagi memberi penjelasan kepada rakyat di peringkat akar umbi dan memastikan mereka tidak keliru serta benar-benar memahami langkah kerajaan tersebut,'' tambah beliau.

Beliau langsung tidak menunjukkan kegusaran tentang betapa susahnya rakyat untuk meneruskan kehidupan kerana kesan kenaikan harga barang selepas ini.


USAHA PERKASA BAHASA MELAYU PADA MASA YANG SAMA JAHANAMKAN PULA


PUTRAJAYA 3 Mac - Setelah menjahanamkan Bahasa Melayu dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris kini pemimpin kerajaan berusaha pula untuk memperkasakannya. Mana satu yang betul. Seolah-olah umpamanya dua orang kawan, seorang berusaha mencegah maksiat dan kawannya pula menggalakkan maksiat.

Inilah antara langkah-langkah yang cukup memeningkan kepala kita. Ini samalah juga dengan langkah kononnya untuk menghapuskan gejala sosial tetapi pada masa yang sama menggalakkan konsert dianjurkan, membiarkan pusat hiburan tumbuh bagai cendawan dan sebagainya.

Semalam Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan tidak akan teragak-agak meminda sebarang akta atau dasar berkaitan bahasa Melayu dalam usaha memperkasa dan memartabatkan bahasa tersebut.

Beliau juga menambah bahawa langkah tegas itu juga akan turut melibatkan tindakan undang-undang jika berlaku pengabaian terhadap penggunaan bahasa berkenaan termasuk di papan tanda.

Menurutnya, ketegasan itu bagi memastikan bahasa Melayu bukan sahaja boleh dipertahan serta dihargai tetapi juga diguna dalam pelbagai aspek kehidupan seharian.

Beliau berkata, ia juga sejajar usaha Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan untuk mencari kaedah, pendekatan, mekanisme penyelarasan dan program yang terbaik dalam usaha memperkasa bahasa itu.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Sehubungan itu, Hishammuddin memberitahu, satu gerakan bagi memperkasakan bahasa Melayu akan dilaksanakan dengan diberi suntikan, hala tuju dan nafas baru.

Bagi kita sebelum menggubal akta baru dan sebagainya, langkah yang paling penting ialah mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Dengan langkah ini sahaja Bahasa Melayu akan dapat didaulatkan kembali di samping akta-akta baru yang mungkin digubalkan nanti.

Kita pun hairan bagaimana perkara sebegini pun pemimpin Islam Hadhari ini tidak faham dan dungu.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59