Thursday, 2 March 2006

PAS MELAKA LANCARKAN MAJLIS TINDAKAN DUN SELURUH NEGERI 19 MAC INI


BUKIT KATIL 2 MAC : Jabatan Pilihanraya PAS (JPN) Negeri Melaka akan mengadakan program pelancaran Majlis Tindakan DUN (MTD) seluruh negeri Melaka pada 19 Mac ini bertempat di Dataran Hamas, Simpang Kemendor dekat Jasin.

Program tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat (JPP), Dato' Haji Wan Abdul Rahim Abdullah yang juga merupakan Speaker DUN Kelantan.

Menurut Ahli Jawatankuasa JPN, Haji Bakrin Sidek, semua AJK MTD-MTD seluruh negeri diwajibkan hadir. Turut menyerikan program tersebut nanti ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Zulkifli Ahmad;Pesuruhjaya PAS Negeri, Us. Abdul Ghani Abdul Rahman dan Pengarah JPN Melaka Hj Minghat Mamut.

Program tersebut akan bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada 1.00 petang.


RAKYAT THAILAND DAN FILIPHINA BANGKIT MENENTANG PEMIMPIN MEREKA : RAKYAT MALAYSIA BAGAIMANA?


Oleh : Pentadbir Weblog.

Rakyat di negara-negara jiran kita iaitu Thailand dan Filiphina sehari dua ini bangkit menentang pemimpin negara mereka yang dikatakan menyalahgunakan kuasa dan korup.

Perdana Menteri Thailand, Thaksin Sinatwatra dituduh dengan tuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mengkayakan keluarga dan kroninya. Manakala Presiden Filiphina Gloria Arroyo Macapagal pula sedang bermasalah dengan cubaan rampasan kuasa oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan mereka.

Di Malaysia pula sejak Perdana Menteri, Abdullah Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia rakyat negara ini semakin susah dengan keputusan kerajaan menaikkan harga minyak beberapa kali sehingga harga minyak petrol sekarang ini mencecah RM1.92 dan harga diesel lebih dari RM1.50 seliter.

Bukan itu sahaja kerajaan Abdullah dilihat gagal menangani isu Permit Import kereta (AP), kes MRR2 yang retak, pencabulan demokrasi dalam pilihanraya umum dan kecil, dakwaan keatas menantunya Khairy Jamaluddin, kezaliman ISA, pencabulan keatas pilihanraya kampus, salahguna kuasa Polis dan banyak lagi.

Bagi parti pembangkang di Malaysia, ini adalah masa terbaik bagi mereka untuk mendapatkan pengaruh dari rakyat jika sekiranya mereka dapat menggunakan isu-isu untuk menyedarkan rakyat.

Tetapi apa yang penting rakyat Malaysia mestilah sedar tentang kelemahan kerajaan yang ada pada hari ini. Mereka juga harus berani meninggalkan pegangan 'khurafat' bahawa hanya BN yang sahaja yang boleh dan pandai memerintah.

Seharusnya rakyat Malaysia sudah mempunyai cukup bukti dan sebab untuk menolak Abdullah dalam pilihanraya akan datang. Di Malaysia kita tidak mahu rakyat bertindak ganas dan tidak waras dalam menangani isu seperti ini. Apa yang penting kita gunakan saluran demokrasi untuk menumbangkan kerajaan yang lemah ini.

Pilihanraya tahun 2007 atau 2008 akan datang kita sama-sama menolak kerajaan BN dan gantikan dengan kerajaan baru yang lebih bertanggungjawab dan berhemah.


NAJIB SARAN RAKYAT UBAH GAYA HIDUP. BAGAIMANA DENGAN PEMIMPIN YANG BERMEWAH-MEWAH?


KUALA LUMPUR 2 Mac - Dalam rancangan Isu Semasa Khas Bersama TPM di stesen RTM TV1 malam tadi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, rakyat perlu membuat perubahan kepada gaya hidup berikutan kenaikan harga runcit minyak sebanyak 30 sen seliter bermula semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat perlu berbelanja secara berhemah, berjimat cermat, tidak membazir serta mengutamakan perbelanjaan penting.

Saranan itu sebenarnya menggelikan hati bagai Ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ini kerana kita tahu dikalangan pemimpin kerajaan yang ada hari ini hampir semuanya mengamalkan gaya hidup bermewah-mewah.

Pernahkah kita mendengar pemimpin-pemimpin ini 'memulangkan' peruntukan keraian mereka sebagaimana yang dilakukan oleh MB Kelantan. Pernahkan kita mendengar menteri-menteri mendermakan sebahagian gaji mereka kepada perbendaharaan. Jawabnya tidak. Malah kalau ada peluang mereka mahu lagi banyak elaun diujudkan.

Tetapi bila keadaan kewangan negara tersepit rakyatlah yang menanggung beban dan rakyatlah yang diminta supaya berjimat cermat dan tidak membazir.

Inilah rupa sebenar dan tembelang pemimpin BN hari ini yang langsung tidak memikirkan kesusahan rakyat.


Dalam program selama 40 minit itu, Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Harga dan Bekalan Diesel, ditemu bual oleh Ketua Pengarang Bernama, Datuk Azman Ujang dan pengantara, Imran Imtiaz Yaacob.

Harga runcit baru petrol premium RON97 di Semenanjung Malaysia naik kepada RM1.92 seliter, petrol RON92 RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram.

Najib memberitahu, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga minyak kerana harga minyak mentah di pasaran dunia melambung tinggi sejak tahun lepas dan sekarang berada pada paras AS$61 hingga AS$62 setong.

Mana mungkin kerajaan tidak mempunyai pilihan jika sekiranya pemimpin sekarang pandai dan bijak menguruskan kewangan negara. LKe mana perginya keuntungan Petronas yang mencecah hampir RM50 billion. Tidakkah cukai hasil dari pertoleum ini besar jumlahnya.

Rakyat sekarang ini bukan sahaja terpaksa menanggung kesan kenaikan harga minyak ini, mereka juga baru sahaja dibebankan dengan kenaikan cukai tanah dan akan datang terpaksa menghadapi kenaikan harga barang dan tarif elektrik.


Najib berkata, negara-negara lain telah menamatkan subsidi minyak seperti Indonesia, Thailand dan negara-negara maju lain di mana harga di pam mengikut harga pasaran.

Kalau Najib ingin mengambil contoh negara-negara lain mengapa beliau tidak mengatakan negara-negara lain tidak mengenakan cukai jalan dan sebagainya. Mengapa hanya mengambil contoh harga minyak sahaja.

Kesimpulan yang boleh kita buat ialah kerajaan sekarang sudah tidak mampun untuk menguruskan kewangan negara yang mengakibatkan wang negara semakin kecil jumlahnya. Mahu tidak mahu rakyat dipaksa menanggung beban.

ADAKAH KERAJAAN INI KERAJAAN YANG BERTANGGUNGJAWAB ATAU KERAJAAN YANG LEMAH DAN TIDAK PANDAI MENTADBIR?


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59