Monday, 27 February 2006

SELANGOR MAJU : IBU NEGERI PUN TERUK DILANDA BANJIR, KHIR TOYO MUKA TAK MALU


SHAH ALAM 27 FEB : Menonton gelagat MB Selangor dalam siaran Berita TV malam tadi yang langsung tidak menunjukkan rasa malu meyakinkan kita bahawa pemimpin Umno memang mempunyai 'muka tembok' yang tidak tahu malu.

Manakan tidak beberapa bulan lepas beliau mengisytiharkan Selangor sebagai negeri maju, tetapi sejak akhir-akhir ini PBT di bawah jajahan takluk negeri Selangor teruk 'ditelanjangi' oleh media terutama TV3. Kelemahan demi kelemahan dibongkar oleh TV3 yang jelas menunjukkan bahawa Khir Toyo memang tidak tahu memerintah.

Lebih parah dari itu Ibunegeri Selangor iaitu Shah Alam yang menjadi pusat pentadbiran negeri dilanda banjir yang memalukan sehari dua ini. Di mana kredibiliti Khir Toyo sebagai MB sebuah negeri maju yang gagal menangani masalah ini.

Tidak hairanlah bagaimana aduan demi aduan tentang kelemahan dan penyelewengan yang dibuat oleh Khir Toyo telah dibuat oleh beberapa orang pengadu seperti Lutfi Othman dan lain-lain. Tetapi semuanya tidak disiasat.

Tetapi akhirnya satu demi satu kelemahan dan penyelewengan terserlah.

Media hari ini melaporkan bahawa ribuan penduduk Shah Alam hari ini panik dan kelam kabut apabila beberapa kawasan di bandar raya terancang itu dilanda banjir yang dianggap paling buruk dalam tempoh 10 tahun.

Banjir berkenaan yang bermula kira-kira pukul 5 pagi itu menenggelamkan lebih 4,000 rumah dan menyebabkan beberapa laluan lebuh raya terpaksa ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Seramai 1,240 penduduk dari 260 keluarga telah dipindahkan ke tempat selamat.

Kawasan yang paling teruk ialah Kampung Kebun Bunga di Batu Tiga apabila lebih 50 buah rumah di perkampungan tersebut ditenggelami air setinggi enam meter.

Selain itu, kawasan taman perumahan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya juga terjejas teruk apabila semua rumah di kawasan itu ditenggelami air setinggi kira-kira 1.6 meter.

Banjir berkenaan turut melanda kawasan Seksyen 13 Shah Alam yang menempatkan kawasan perumahan, pasar raya Giant, Makro serta menenggelami kawasan tempat letak kereta Stadium Shah Alam dan kawasan padang bola sepaknya.

Antara kawasan yang terbabit ialah Kampung Landasan di Kampung Melayu Subang dan landasan komuter Batu Tiga, Jalan Batu Tiga Lama menuju ke Glenmarie.

Beberapa laluan di lebuh raya utama juga terpaksa ditutup untuk semua kenderaan mulai pukul 6 pagi.

Laluan terbabit ialah kawasan Batu Tiga di Lebuh Raya Persekutuan, persimpangan Bukit Jelutong di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuh Raya Elite berhampiran kilang gula juga di Batu Tiga serta laluan di sekitar pasar raya Giant dan persimpangan utama TTDI Jaya.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk selain banyak kenderaan tersadai di bahu jalan.

Pada masa yang sama, bekalan elektrik di kawasan sekitar Bukit Jelutong dan Shah Alam turut terputus selama beberapa jam dan hanya kembali pulih secara berperingkat kira-kira pukul 3 petang.


INILAH PRODUK YANG DITINGGALKAN SHAFEI SALLEH


KUALA LUMPUR 27 FEB: Berita yang dilaporkan oleh media hari ini mengesahkan segala penafian yang dibuat oleh kerajaan bahawa masalah keruntuhan akhlaq di kalangan mahasiswa tidak meruncing.

Setiap kali pembangkang membuat tuduhan bahawa gejala maksiat di kalangan mahasiswa semakin parah, setiap kali itulah juga kerajaan menafikannya.

Tetapi hari ini media melaporkan bahawa keghairahan 77 pelajar institut pengajian tinggi awam mengadakan ‘parti liar’ ketika menyambut hari jadi seorang rakan dengan ‘goyang kepala’ dipercayai akibat mengambil minuman keras dan pil Ecstasy di sebuah apartmen bertaraf lima bintang di Jalan P Ramlee, awal pagi semalam, mengejutkan polis.

Ini yang dapat dikesan dan ditangkap. Bagaimana yang tidak berjaya di kesan dan ditangkap. Sudah tentu jumlahnya jauh lebih besar.

Inilah akibatnya apabila fokus kementerian telah tersasar jauh iaitu hanya mementingkan kemenangan 'Umno' pada setiap kali pilihanraya kampus dan memastikan pelajar tidak terpengaruh dengan Islam. Akhirnya akhlaq dan perangai mahasiswa tidak dipentingkan. Mereka diasuh dan digalakkan supaya berseronok dan membiarkan mereka tanpa haluan dan didikan.

Laporan itu juga menyebut bahawa sepasukan polis yang melakukan serbuan di apartmen tiga bilik itu mendapati kebanyakan pelajar asyik menari dengan botol minuman keras dan pil Ecstasy bertaburan di lantai dan di tandas.

Ada di antara pelajar itu cuba melarikan diri dan ada juga mencari pakaian luar yang ditanggal berikutan keadaan sesak dan panas.

Menurut sumber, mereka dikatakan membayar RM150 seorang bagi membolehkan menyertai parti yang diadakan kali keempat sejak awal tahun lalu itu.

Katanya, parti itu dipercayai dianjurkan seorang pelajar senior yang sanggup membayar RM700 semalam bagi menyewa apartmen itu semata-mata untuk mengadakan parti hari jadi itu.

“Parti yang dihadiri pelajar dari dua IPTA itu dikatakan bermula jam 12 tengah malam.

“Bagaimanapun, menjelang awal pagi, sambutan hari jadi itu menjadi semakin ‘panas’ apabila kebanyakan mereka mengambil pil ecstasy dan minuman keras jenis yang mahal sambil menari dalam keadaan sesak dengan iringan muzik ala disko,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Kamal Pasha Jamal, berkata bertindak daripada aduan orang ramai, sepasukan anggota polis dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dihantar ke tempat kejadian, jam 2 pagi.

“Selepas mengetuk pintu dan memperkenalkan diri sebagai polis, mereka hanya membuka pintu selepas 15 minit.

“Polis kemudian mendapati terdapat pelajar yang mabuk dan dalam keadaan khayal,” katanya.

Beliau berkata, banyak botol minuman keras dan pil Ecstasy ditemui di lantai dan di tandas yang dibuang mereka.

Semua 74 pelajar berusia awal 20-an itu dibawa ke IPD Dang Wangi untuk ujian air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian mendapati sembilan lelaki dan enam wanita positif menggunakan dadah dan ditahan untuk tindakan lanjut.

“Selebihnya dibebaskan selepas keterangan diambil selain menyemak rekod jenayah mereka,” katanya.

Beliau juga mengatakan pihak polis akan menghantar surat kepada IPTA masing-masing untuk memaklumkan kejadian berkenaan bagi tindakan susulan pihak berkaitan.

“Pihak hotel turut tidak bersetuju dengan tindakan mereka yang menganjurkan parti berkenaan kerana mengganggu orang ramai,” katanya.

Semua yang ditahan itu akan ditahan direman bagi membantu siasatan.


ISU TUDUNG ISU REMEH BAGI Umno


MELAKA 27 Feb. - Isu tudung yang melibatkan Habsah Jaafar yang dipaksa meletakkan jawatan oleh Hotel Reinassance merupakan isu remeh bagi kerajaan Islam Hadhari.

Ini terbukti apabila penjelasan pihak pengurusan hotel tersebut diterima hanya dengan satu panggilan telefon tanpa surat rasmi atau bersemuka.

Perkara ini didedahkan oleh Biro Kebajikan dan Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO yang kecewa dendan Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor mengendalikan isu yang melibatkan bekas Pengarah Akaun Hotel Renaissance itu.

Menurut laporan berita tersebut Kementerian Pelancongan hanya mendapatkan penjelasan daripada pihak hotel terbabit melalui telefon tanpa memanggil Habsah yang menjadi mangsa kepada masalah ini.

DPP Bukit Katil kesal dengan cara menteri berkenaan menangani isu ini dengan tidak berlaku adil dengan memanggil kedua-dua pihak bagi mendengar penjelasan mereka.

Tindakan pihak kementerian yang hanya menelefon bagi mendapatkan kesahihan dakwaan Habsah dari pihak hotel menunjukkan bahawa isu ini seolah-olah sangat kecil dan remeh bagi pemimpin Umno. Sedangkan isu adalah isu yang sangat besar melibatkan pencabulan agama Islam itu sendiri.

"Malah jika beginilah cara kerajaan menanganinya sudah pasti pada masa akan datang ramai lagi akan dinafikan hak untuk mengamalkan ajaran agama Islam yang wajib ini" demikian kenyataan Ketua DPP Kawasan Hj Salamat Aman pagi ini.

"Adakah Umno tidak merasa apa-apa atas peristiwa ini. Tetapi sebaliknya bertindak cepat dan serius kalau sesuatu isu itu melibatkan kepentingan agama lain" tambah Hj Salamat.


Fokus sepanjang minggu: Kini giliran RTM pula


Kontroversi penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad dalam media negara ini menjadi tumpuan utama liputan berita sepanjang minggu ini. Ia berlarutan apabila RTM pula didakwa turut menyiarkan karikatur tersebut dalam berita Mandarin TV2 pada 3 Februari lalu.

Perkara itu didedahkan oleh akhbar NST dalam laporan pemohonan maafnya dalam edisi internetnya. Laporan pemohonan maaf dalam edisi cetaknya tidak menyentuh perkara tersebut. Malaysiakini turut melaporkan perkara tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan tiada tindakan yang akan diambil terhadap NST, maka tumpuan sekarang adalah kepada RTM dan media elektronik lain di negara ini yang mungkin turut menyiarkan karikatur tersebut.

NST telah memohon maaf di atas penyiaran kartun yang berkaitan dengan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad, melalui ruangan Life & Time Isnin lalu dan menyiarkan semula lakaran itu pada hari berikutnya bersama penjelasannya di di muka dua.

Berikutan itu, NST telah menerima surat tunjuk sebab daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) supaya memberi penjelasan mengenai penyiaran kartun tersebut.

Anwar disiasat polis

Turut mendapat perhatian minggu ini ialah laporan mengenai siasatan pihak polis terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa membuat kenyataan yang berunsur hasutan dalam ceramahnya sewaktu kempen pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tahun lalu.

Anwar telah diarah memberi keterangan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman tiga tahun penjara dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Menurut peguam beliau, Sankara Nair, bekas Timbalan Perdana Menteri itu diarah memberi keterangan, melalui sepucuk surat bertarikh 31 Januari 2006 yang ditandatangani oleh pegawai penyiasat ASP Fazlisyam Abd Majid dari ibupejabat balai polis Pasir Mas.

Katanya, surat tersebut tidak menyatakan siapa yang membuat laporan polis terhadap Anwar yang memberi ceramah di stadium mini Pasir PAS pada 27 November 2005. Ia juga tidak menyebut bila laporan polis itu dibuat.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada pihak polis bahawa Anwar akan bekerjasama dengan pihak polis dan bersedia memberi keterangan dalam bulan Mac apabila beliau balik bercuti dari Washington.

Pengarah Urusan Harakah dipecat

Manakala pada hari Selasa (21 Februari) PAS telah mengambil tindakan memecat Pengarah Urusan Harakah, Datuk Hishammuddin Yahya dan menggantikan beliau Datuk Kamaruddin Jaffar.

Perlantikan Kamaruddin yang juga Setiausaha Agung PAS, memegang jawatan tersebut, berkuatkuasa serta-merta.

Perkara tersebut terkandung dalam memo yang diedarkan kepada semua kakitangan Harakah yang ditandatangani oleh Pengerusi Harakah, Datuk Mustapha Ali.

Malaysiakini difahamkan, tindakan tersebut diambil terhadap Hishammuddin setelah beliau dikatakan enggan melepaskan jawatan tersebut walaupun sudah berkali-kali diarahkan berbuat demikian.

Soro sedia bertemu Dr Mahathir

Malaysiakini telah menyiarkan wawancara ekslusif dengan pelabur kewangan yang tidak asing lagi, George Soros yang menyuarakan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menggelarnya sebagai “penyangak matawang dunia”

Mahathir telah menuduh Soros menyerang matawang di rantau ini sehingga mengakibatkan berlakukan krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Ketika mempertahankan dirinya, Soro berkata sebagai seorang pengurus dana, beliau bertanggungjawab untuk membuat ramalan pergerakan pasaran.

Menurutnya, pihak berkuasalah yang mengawal dasar. Dan jika mereka mempunyai dasar yang tidak betul, maka merekalah yang bertanggungjawab terhadap krisis tersebut.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik respon yang diambil Dr Mahathir dalam menangani krisis tersebut.

Soros menempa namanya dalam dunia kewangan apabila beliau meramalkan pada tahun1992 yang Bank England tidak mampu menampung nilai antarabangsa matawang paun British. Apabila bank itu akhir membenarkan matawang itu diapung, Soros berjaya menguat keuntungan lebih satu bilion paun.

Soros bernilai AS$7.2 billion dan berada diranking 28 daripada 400 orang terkaya di Amerika dalam Senarai Forbes pada tahun 2005

Selesema burung dikesan di Malaysia

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan kematian 40 ekor ayam kampung di Batu 4½, Jalan Genting-Kelang mati minggu lalu kerana selesema burung.

Berikutan itu, 10 orang penduduk di kawasan terbabit telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemerhatian dan semuanya telah diisytiharkan bebas daripada jangkitan virus avian influenza H5N1 yang menyebabkan selesema burung.

Empat kawasan yang menjadi tumpuan gerakan membasmi penyakit selesema burung ialah Kampung Pasir Wardieburn, Taman Danau Kota, Pekan Danau Kota dan Kampung Belakang JPJ.

Tindakan segera secara bersepadu telah diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Kesihatan untuk mengawal penyakit tersebut daripada merebak.

Katanya tindakan sucihama ke atas semua reban ayam di kawasan kejadian juga dijalankan selain memantau kawasan terlibat dan menjalankan pemantauan terhadap penduduk di kawasan kejadian.

Tahanan Yazid Sufaat dilanjutkan

Kerajaan telah melanjutkan tempoh tahanan ISA, Yazid Sufaat, 42, yang disyaki membantu anggota al-Qaeda yang terbabit dalam rampas pesawat dalam serangan 11 September .

Menurut peguamnya, Yazid, seorang bekas pegawai tentara, didakwa membenarkan pangsapurinya digunakan anggota al-Qaeda pada awal tahun 2000, termasuk dia orang perampas kapalterbang yang merempuh Pentagon pada 11 September 2001.

Yazid, ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pada bulan Januari 2002, dan ditahan di bawah ISA yang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan.

Tahanan ke atas Yazid telah dilanjutkan selama dua tahun lalu mulai 31 Januari lalu.

Tempoh tahanan dua tahun ke atasnya telahpun dilanjut pada 2004. Menurut undang-undang tersebut, kerajaan boleh melanjutkan tempoah tahanan setiap tahun tanpa hadnya.

Yazid, yang merupakan lulusan bio-kimia dari universiti di Amerika Syarikat, pernah disoalsiasat oleh penyiasat kerajaan Amerika pada bulan November 2002 berhubung kaitannya dengan Zacarias Moussaoui, yang menghadapi tuduhan terbabit dalam serangan 11 September itu.

Tolak pengswastaan air

Lebih 250 wakil persatuan penduduk, persatuan agama dan pengguna, parti-parti politik, ahli akademik dan kesatuan sekerja dari seluruh negara, menolak rang undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Industri Perkhidmatan Air (WSIA).

Keputusan itu dibuat di satu majlis perbincangan yang diadakan di Kuala Lumpur. Kedua-dua rang undang-undang itu dijadual dibentangkan di sesi persidangan Parlimen Mac-April depan.

Penyelaras Gabungan Membantah Pengswastaan Air(CAWP) Charles Santiago berkata, dalam sesi sehari ini, mereka menolak pengswastaan air dalam apa bentuk sekalipun.

Suhakam: Henry bunuh diri

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menjalankan siasatan terbuka terhadap kes kematian seorang tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, S. Hendry, 18, merumuskan kemungkinan besar lelaki itu membunuh diri.

Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan (foto) berkata, suruhanjaya itu berpuashati dengan siasatan dan maklumat sahih yang diperoleh hasil soal-siasat dan lawatan ke sel Hendry ditempatkan.

Katanya, kemungkinan punca kematian disebabkan membunuh diri adalah sahih. Menurut forensik, kekurangan udara di bahagian tekak Hendry menunjukkan dia membunuh diri sendiri.

Bagaimanapun, bapa Hendry masih tidak berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan, tetapi kata Hamdan, Suhakam akan sedaya-upaya menjelaskan kepada beliau hasil siasatan yang sahih itu.

Dipetik dari Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59