Tuesday, 21 February 2006

3 MAC DIISYTIHAR SEBAGAI HARI PROTES


KUALA LUMPUR 21 FEB - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa mengumumkan bahawa 3 Mac merupakan 2006 sebagai hari protes antarabangsa terhadap kartun yang menghina Rasulullah yang disiarkan oleh sebuah akhbar Jerman dan diikuti oleh media lain.

Us Nasarudin menyatakan bahawa PAS bersama-sama dengan gerakan Islam seluruh dunia akan mengadakan perhimpunan yang akan akan dilancar di seluruh negara sebaik sahaja selesai solat Jumaat pada hari tersebut.

Kenyataan beliau ini dipetik dari Harakahdaily hari ini. Ustaz Nasarudin memberitahu bahawa beliau telah dihubungi oleh Qadhi Hussein, Amir Jamiat Islami Pakistan bagi memaklumkan perkara itu dimana cadangan ini telah dibuat oleh Jamiat Islami dan ianya di sokong oleh PAS.

"PAS akan bersama dengan umat Islam seluruh dunia akan menjadikan hari tersebut sebagai hari protes dan perhimpunan ," katanya.

Sehubungan itu, PAS akan mengeluarkan arahan bertulis kepada Perhubungan PAS negeri-negeri untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.

Perhimpunan itu, kata Nasharudin, hendaklah dibuat di sebuah masjid sahaja untuk setiap negeri bagi memastikan keberkesanannya.

Semua ahli, penyokong dan orang ramai yang prihatin dengan penghinaan terhadap Rasulullah ini dijemput hadir beramai-ramai, katanya lagi.

"Kempen memboikot barangan keluaran negara yang terbabit dengan penyiaran kartun itu akan dilancarkan pada hari itu juga," katanya.

Sumber Harakahdaily.


TAHNIAH KEPADA DATO' KAMARUDDIN ATAS PERLANTIKAN BELIAU SEBAGAI PENGARAH URUSAN HARAKAH YANG BARU



KUALA LUMPUR, 21 Feb - DPP Kawasan Bukit Katil mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar di atas perlantikan beliau sebagai Pengarah Urusan Harakah yang baru bagi menggantikan Dato' Hishamudin Yahaya.

Menurut memo yang ditandatangani oleh Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, yang diedarkan kepada semua kakitangan Harakah dan anak-anak syarikatnya hari ini, perlantikan itu berkuatkuasa serta merta (hari ini 21 Februari).

Perlantikan itu, kata Mustafa dalam memonya, adalah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang telah bersidang pada hari ini (21 Februari 2006).

DPP Kawasan mengharapkan Harakah akan lebih maju dan berdaya saing pada masa akan datang demi untuk memberikan maklumat dan berita alternatif kepada rakyat Malaysia.

"Sesungguhnya perlantikan Dato' Kamaruddin ini amat dialu-alukan oleh DPP Kawasan" demikian kenyataan ringkas yang dibuat oleh Ketua DPP Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman di sini petang tadi.


DPP BUKIT KATIL ANJURKAN KEM REMAJA CEMERLANG MAC INI


BUKIT KATIL 21 FEB : DPP Kawasan Bukit Katil akan menganjurkan program Kem Remaja Cemerlang (KRC) pada 11 hingga 13 Mac 2006 di Madrasah Ar-Rahmah, Solok Gaung.

Menurut Setiausaha Porgram KRC, Ghazali Othman kem ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kecemerlangan akademik, mewujudkan sifat positif dan motivasi tinggi, pendedahan terhadap pengurusan masa dan meningkatkan silaturrahim di kalangan pelajar.

Semua pelajar-pelajar yang berumur antara 14 hingga 18 tahun lelaki dan perempuan adalah layak untuk menyertai program ini. Para moderator dan fasililator adalah terdiri dari mereka yang berpengalaman luas dalam pendidikan dan pengajaran. Mereka terdiri dari pakar-pakar motivasi yang berkelulusan Master dan Ijazah.

Sehubungan dengan itu Ghazali menyeru seluruh ahli-ahli PAS dalam Kawasan Bukit Katil agar menghantar anak-anak mereka ke program ini. Di samping itu beliau juga mengharapkan agar mereka juga mempelawa anak-anak kawan-kawan mereka yang bukan ahli PAS supaya turut serta dalam program ini.

Yuran program dikenakan dengan kadar RM20.00 sahaja.

Bagi peserta yang mempunyai kesulitan untuk datang ke program ini pihak penganjur menyediakan pengangkutan untuk para peserta.

Segala maklumat lanjut boleh diperolehi melalui talian 019-4167737 atau 019-3978488 atau email : mstcmal@miosh.net


OIC TIDAK PERLU TIMBANG-TIMBANG LAGI. SEGERAKAN BANTUAN KEPADA PALESTIN


BUKIT KATIL 21 FEB : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menggesa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya membantu rakyat Palestin dengan memberikan bantuan kewangan kepada kerajaan baru Palestin yang diketuai oleh Hamas.

"Tidak perlu timbang-timbang lagi mereka mesti dibantu segera. Sudah jelas sekarang kerajaan dan rakyat Palestin sedang ditekan oleh Amerika dan Israel kerana kemenangan Hamas" tegas Ketua DPP Kawasan Hj Salamat Aman.

"Ini bukan masanya untuk timbang-timbang lagi lagi. Ini bukan dacing Barisan Nasional, ini adalah untuk menentukan nasib rakyat Palestin" kata Hj Salamat dengan nada sinis.

Media hari ini melaporkan bahwa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sedang menimbang untuk memberikan bantuan kewangan kepada Palestin yang menghadapi kemungkinan dikenakan sekatan wang ekoran kemenangan Hamas dalam pilihan raya parlimen negara itu baru-baru ini.

"Saya sudahpun bercakap dengan beberapa pemimpin mengenainya. Kita mahu membantu rakyat Palestin," kata Perdana Menteri dalam satu temu bual dengan Associated Press (AP) di Putrajaya.

Abdullah, yang juga Pengerusi OIC, menyeru mereka yang telah membantu rakyat Palestin sebelum ini supaya terus berbuat demikian walaupun terdapat perubahan kepimpinan di negara itu.

Kabinet Israel dilaporkan menghentikan pembayaran US$50 juta sebulan kepada Pihak Berkuasa Palestin yang merupakan wang daripada cukai yang dikutip bagi pihak Palestin.

Menurut laporan Bernama, Amerika Syarikat juga telah meminta supaya wang berjumlah US$50 juta bagi tujuan pembinaan projek infrastruktur di Gaza dikembalikan kerana ia tidak mahu wang itu digunakan oleh sebuah kerajaan yang diterajui oleh Hamas.

Mengenai Hamas yang kini menjadi parti menguasai parlimen Palestin , Abdullah berkata rakyat Palestin mempunyai alasan mereka sendiri untuk memilih sebuah kerajaan yang diterajui Hamas.

Perdana Menteri berkata beliau berpendapat Hamas akan menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak ingin melihat rakyat Palestin terus hidup dengan diancam keganasan.

Beliau berkata Hamas telah banyak menjalankan kerja kebajikan dan ini diiktiraf oleh rakyat Palestin.

Ketika ditanya sama ada beliau akan cuba memujuk Hamas supaya saling hidup dalam keadaan aman dengan Israel, Abdullah berkata : "Saya telah menulis kepada mereka dan meminta mereka mengambil peluang daripada keadaan sekarang dan berusaha ke arah proses kedamaian."

Perdana Menteri berkata beliau yakin Hamas akan melihat kebaikan daripada saranan yang ditujukan kepada mereka.

Abdullah berkata rakyat Palestin mahukan keamanan kerana mereka telah lama menderita.

"Berilah peluang kepada mereka untuk hidup dalam keadaan aman, dan apabila mereka aman, mereka akan tahu bagaimana untuk hidup dengan aman dengan pihak lain juga,"
katanya.

Gambar kecil ialah salah seorang pemimpin Hamas.


KEMENTERIAN KESIHATAN MESTI BERSEDIA DARI SEKARANG


BUKIT KATIL 21 FEB : Berita bahawa sebanyak 40 ekor ayam kampung di Batu 4½, Jalan Genting-Kelang mati minggu lalu kerana virus avian influenza tidak boleh dipandang enteng oleh pihak yang berwajib. Ianya mestilah dikaji dan disiasat dengan teliti supaya langkah-langkah pencegahan (preventive action) yang berkesan dapat di ambil.

"Jangan nanti dah ramai yang mati baru nak bertindak" tegas Setiausaha DPP PAS Kawasan Bukit Katil, Khairuddin Ismail ketika diminta mengulas laporan media hari ini.

"Kenyataan akhbar yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas, Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkannya yang mengatakan bahawa ianya sebagai kes terpencil mestilah dibuat dengan penuh tanggungjawab supaya tidak ada orang yang memandang ringan akan hal ini" tambah Khairuddin lagi.

"Kita tidak mahu agensi-agensi kerajaan yang terbabit berpeluk tubuh menanti perkembangan seterusnya tanpa apa-apa tindakan segera di ambil" kata Khairul yang juga merupakan AJK PAS Kawasan Bukit Katil.

Media melaporkan bahawa Muhyiddin juga berkata ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Petaling Jaya dan Institut Penyelidikan Haiwan, Ipoh mengesahkan bahawa kematian ayam kampung tersebut disebabkan virus avian influenza H5N1.

Muhyiddin, yang ketika ini dalam lawatan ke Dubai untuk mengetuai misi pelaburan dalam pertanian dan asas tani, berkata kesemua 110 ekor ayam kampung yang terdapat di kawasan tersebut iaitu di empat kawasan penempatan Kampung Pasir Wardieburn, Taman Danau Kota, Pekan Danau Kota dan Kampung Belakang JPJ telah dimusnahkan.

Kenyataan itu sebagai respons kepada laporan online Singapore Straits Times bahawa republik berkenaan menggantung serta-merta pengimportan ayam itik dan telur dari Selangor selepas virus selesema burung H5N1 ditemui pada ayam dalam sebuah kampung di negeri berkenaan.


AKIBAT MAJORITI TINGGAL SATU ADUN PAS KELANTAN KENA 'BERKORBAN'


Oleh kerana PAS hanya tinggal satu kerusi majoriti di DUN Kelantan maka Kerajaan PAS Kelantan mesti memastikan kesemua ADUNnya hadir pada setiap sessi perbahasan terutama jika sekiranya terdapat pembentangan rang undang-undang pada sesuatu persidangan.

Semalam PAS mengeluarkan arahan ke atas semua 21 ahli dewan undangan negeri (Adun) supaya berkampung di kediaman rasmi MB di JKR 10 menjelang persidangan dewan undangan negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Persidangan DUN selama dua hari itu adalah yang pertama sejak pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu.

PAS kini hanya mempunyai majoriti satu kerusi sahaja selepas tewas dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir 6 Disember lalu. PAS mempunyai 23 kerusi dan Umno 21 kerusi.

Ahli Exco kerajaan negeri, YB Hj Takiyuddin Hassan memberitahu media bahawa arahan itu dikeluarkan bagi memastikan semua Adun PAS menghadiri sidang dua kali ini.

Kali terakhir PAS berbuat demikian ialah pada malam pengiraan undi pilihanraya umum 2004 di mana pada ketika itu PAS dan Barisan Nasional (BN) masing-masing memenangi 20 dari 45 kerusi yang dipertandingkan.

Takiyuddin berkata, kehadiran penuh wakil rakyat PAS amat penting bagi memastikan dua daripada empat rang undang-undang penting yang dibentang esok diluluskan.

Rang undang-undang berkenaan ialah rang undang-undang pembangunan bandar baru dan rang undang-undang ladang rakyat. PAS menjangkakan anggota pembangkang (BN) akan menentang cadangan meluluskan rang undang-undang tersebut.

Takiyuddin berkata, semua Adun PAS diarahkan duduk bersama untuk menghadiri mesyuarat sebelum persidangan yang lazimnya diadakan sebelum persidangan sebenarnya bermula.

Mesyuarat sebelum persidangan itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaacob.

Kita yakin semua YB PAS akan tetap istiqamah dalam perjuangan dan tidak akan terpedaya dengan hasutan dan tipu daya Umno yang sentiasa menanti peluang untuk 'membeli' ADUN-ADUN PAS agar hasrat mereka untuk merampas Kelantan tercapai walaupun dengan cara kotor dan tidak demokratik.

Cubaan untuk membeli ADUN-ADUN PAS ini bukanlah perkara baru malah beberapa orang ADUN PAS pernah membuat pendedahan bahawa mereka telah dihubungi oleh 'broker-broker' Umno beberapa kali. Ianya berlaku sebelum Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir lagi.


DR MAHATHIR KECEWA TIADA PERUBAHAN DALAM DASAR AP


PULAU PINANG 21 FEB : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa kerana tiada sebarang perubahan dibuat dalam dasar pemberian Permit Import (AP) kenderaan walaupun beliau telah mendedahkan beberapa penyalahgunaan mengenainya.

"Saya kecewa, itulah yang boleh dikatakanpun, apa lagi nak kata sebab dasar masih macam tu juga," katanya selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk "Membangun Negara" anjuran Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang semalam.

Dr Mahathir, yang juga Penasihat Proton berkata, beliau difahamkan setakat ini masih terdapat "dua orang" yang memegang AP dengan jumlah yang banyak dan mana-mana pihak yang mahu mengimport kenderaan, terpaksa merujuk kepada "dua orang" itu kerana mereka telah mempunyai perjanjian sebagai pembekal kereta import.

"Kenapa hampir 80 peratus AP masih diberi kepada orang yang sama, orang yang kita dah tegur itu, sedangkan telah berlaku penipuan mengenai AP apabila harga kenderaan yang dibawa masuk itu telah direndahkan bagi tujuan pengurangan cukai," katanya.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata jika dasar pemberian AP seumpama itu diteruskan, Proton akan kehilangan agihan pasaran dan mungkin cuma menguasai antara 10 peratus dan 20 peratus di negara sendiri.

Isu AP mencetuskan kontroversi tahun lepas selepas sesetengah pihak mempertikaikan kaedah pelaksanaan pemberiannya.

Mengenai pengurusan Proton yang baru, Dr Mahathir berkata sebenarnya pengurusan syarikat pengeluar kereta nasional itu tidak pernah meminta nasihat daripada beliau walaupun beliau dilantik sebagai penasihat.

Beliau juga kesal dengan tindakan Proton menamatkan kontrak bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sedangkan Proton mencapai kejayaan yang baik semasa di bawah pengurusan Tengku Mahaleel.

"Saya cuma dimaklumkan sahaja selepas mereka membuat keputusan termasuklah keputusan menjual saham pengeluar motosikal MV Agusta dan menamatkan kontrak Tengku Mahaleel," katanya.

Ditanya kenapa pengurusan Proton tidak meminta nasihat beliau sebelum membuat sebarang keputusan, Dr Mahathir berkata: "Saya pun pelik. Sebagai penasihat, saya yang dinasihat, dan mungkin mereka beranggapan untuk memaklumkan kepada saya mengenai sesuatu keputusan itu adalah dimaksudkan meminta nasihat."

Kepada soalan kenapa beliau masih memegang jawatan sebagai penasihat jika beliau tidak diminta memberi sebarang nasihat, Dr Mahathir berkata: "Saya ini mudah...orang lantik kita terimalah."

Dipetik dari Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59