
JAKARTA 16 FEB: Persatuan Pengimport Indonesia mula memboikot barangan Denmark 14 Feb lalu bagi membantah penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad di sebuah akhbar tempatan negara itu.
Sumber terdekat di Indonesia menyatakan bahawa pemulauan barangan import itu akan diteruskan sehingga kerajaan Denmark memohon maaf kepada masyarakat Islam.
Persatuan itu berkata, import barangan Denmark ke negara yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam itu bernilai AS$73.8 juta (RM274.8 juta) pada 2005, kira-kira satu peratus daripada import tahunan republik berkenaan.
Antara barangan yang dipulaukan itu adalah tenusu, formula bayi dan daging lembu.
Sementara itu Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil mengucapkan tahniah di atas pemulauan ini dan mengharapkan pengimport-pengimport dari Malaysia juga berbuat demikian walaupun kerajaan Al-Badawi tidak menggalakkannya.
Ketua DPP Kawasan, Hj Salamat Aman dalam satu kenyataannya pagi ini menggesa Al-Badawi supaya mengubah pendiriannya sebelum ini yang tidak bersetuju dengan pemboikotan ini.
'Adakah merasakan dia lebih bijak dan alim dari ulama'-ulama' seluruh yang menggesa semua umat Islam memboikot barangan Denmark' tegas Salamat mengakhiri kenyataannya.
