Thursday, 9 February 2006

APA DAH JADI DENGAN TENTERA KITA : 'SPARE PART' KENDERAAN PENGGEMPUR PUN TAK ADA


Media hari ini melaporkan bahawa Tentera telah tewas sebelum 'berperang'. Kira-kira 30 peratus daripada kereta penggempur keluaran negara bernama "Adnan" milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini tersadai akibat kerosakan lapisan brek dan ketiadaan alat ganti.

Sungguh sedih mendengar berita ini. Kalaulah apa-apa terjadi kepada negara sudah pasti kita akan tewas sebelum berperang. Manakan tidak kenderaan penggempur yang amat penting tidak dapat digunakan kerana kecuaian pihak terbabit penyelenggarakan kenderaan tersebut.

Ketiadaan alat ganti merupakan suatu yang tidak boleh diterima akal. Sepatutnya alat ganti yang 'regular' seperti itu mestilah sentiasa ada di mana pihak yang bertanggungjawab kepadanya mesti menyediakan stok setiap masa.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin berkata alat gantinya tidak dapat diperolehi daripada pembekal kerana ATM belum mendapat kebenaran membelinya.

Apakah kebenaran untuk membelinya memerlukan masa yang lama untuk di'approve'kan. Sehingga memaksa kenderaan tersebut tersadai tidak dapat digunakan.

"Kalau tank ada, tapi brake pad tak ada, maka tak jalanlah. Kalau jalan, rempuh kawan-kawan pula," katanya kepada pemberita selepas melawat syarikat pembekal kereta penggempur itu, DRB-Hicom Defence Technology (Deftech), di Pekan, Pahang.

Menurut laporan Bernama, Zainal Abidin berkata perkara itu dijangka menjadi lebih serius selepas semua kereta penggempur yang dibekalkan itu akan tamat tempoh jaminan selama dua tahun tidak lama lagi.

Beliau berkata perjanjian antara syarikat itu dan pihak kerajaan dalam membekalkan kereta penggempur itu tidak menyatakan mengenai pembekalan barang-barang alat ganti selepas tamat tempoh jaminan.

Siapakah yang bertanggungjawab dalam men'draft'kan perjanjian antara pengeluar kenderaan dan kerajaan.? Bagaimana pegawai yang bertanggungjawab ini tidak memasukkan klausa ini atau apakah mereka ini cuai dalam menjalankan tugas yang penting ini.

Zainal juga berkata keadaan akan menjadi buruk sekiranya tindakan tidak diambil segera.

Dalam hal ini DPP Kawasan Bukit Katil menggesa kerajaan menyiasat perkara ini dengan teliti dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pegawai yang cuai dalam menjalankan tugas.


KAKITANGAN CUAI JALANKAN TUGAS PATUT DIHUKUM. BAGAIMANA PULA KALAU MENTERI CUAI?


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata (iaitu pada hari ini dalam tahun 2002) bahawa kakitangan kerajaan yang cuai ketika bertugas wajar dihukum bagi memastikan perkara itu tidak melemahkan jentera pemerintah di samping mencemar imej negara di mata dunia.

Beliau berkata demikian pada hari ini dalam tahun 2002 (9 Feb 2002)ketika mengulas tindakan ditahan kerja terhadap tiga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk seorang Asisten Komisioner Polis (ACP) yang didapati cuai hingga menyebabkan 153 warga Afrika melarikan diri ketika dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Kemayan, Pahang, minggu lalu, sepatutnya dihukum.

Tetapi Pak Lah tidak sedar bahawa kata beliau 4 tahun lalu itu tidak dikotakan oleh beliau sendiri, apabila sehingga hari ini beliau tidak mengambil tindakan yang sewajarnya kepada anggota kabinet yang cuai dan gagal melaksanakan tugas sebagai menteri. Antara isu terbaru ialah isu kebiadapan 9 orang menteri bukan Islam menghantar memo tentang perkara 121 (1A) juga melibatkan kecuaian Menteri Kerja Raya. Begitu juga dengan kes AP yang gagal ditangani oleh Rafidah Aziz.

Pak Lah sendiri dilihat cuai dan lemah dalam menjalankan tugas sebagai menteri kewangan apabila syarikat-syarikat besar yang dikaitkan dengan dengan kerajaan (GLC) seperti MAS, PROTON, BIMB dan lain-lain mengalami kerugian yang cukup memalukan.

Kita ingin bertanya beberapa soalan kepada Pak Lah.

Apakah tindakan dan hukuman hanya boleh dikenakan kepada pegawai sahaja sedangkan menteri-menteri terlepas.?

Apakah menteri-menteri 'maksum' tidak melakukan kesalahan?

Apakah menteri-menteri tidak tertakluk kepada undang-undang?


TULISAN JAWI: RAIS BARU SEDAR WARISAN BANGSA BERKUBUR


PULAU PINANG 9 Feb. - Media hari ini melaporkan bahawa Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kesal dengan berkuburnya akhbar Utusan Melayu.

Beliau berkata, penutupan penerbitan akhbar Utusan Melayu Mingguan seharusnya dipandang sebagai satu kematian kepada warisan bangsa kerana tulisan jawi adalah satu pusaka warisan bangsa yang telah menjadi skrip rasmi dan lidah Melayu selama lebih 600 tahun.

Katanya lagi, masyarakat Melayu tidak seharusnya cuma berpeluk tubuh melihat tulisan jawi menghilang dari ufuk budaya dan persoalan berat ini menuntut penyelesaian daripada orang Melayu sendiri.

Beliau berkata, apabila penerbitan akhbar tulisan jawi dihentikan pada 29 Januari lepas, adalah jelas orang Melayu tidak mempedulikannya sedangkan pada hakikatnya ia bererti kematian kepada sebahagian jasad budaya warisan Melayu itu sendiri.

``Tidak ada orang yang mendengus, tidak ada orang yang mempolemikkan kematian ini dan minat terhadap tulisan jawi telah menurun,'' katanya pada ucaptama bertajuk Unsur-unsur dan Cabaran Perpaduan Ke Arah Membina Negarabangsa Malaysia sempena majlis Perhimpunan Perdana Perpaduan Awam anjuran Majlis Perundingan Muhibah di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Ketua DPP Kawasan Hj Salamat Aman ketika mengulas isu berkata mengapa baru sekarang Rais kesal dan kecewa setelah tulisan itu berkubur, mengapa sebelum ini beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk menyelamatkan tulisan jawi.

Sepatutnya beliau sebagai anggota kabinet telah lama menggesa kerajaan mengambil langkah drastik untuk menyelamatkan tulisan jawi ini. Kementerian beliau, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan sepatutnya dari dahulu lagi telah mengambil langkah mendesak kerajaan menggubal semula dasar pendidikan dan belia demi untuk mendaulatkan tulisan ini.

"Ini tidak setelah mati barulah kesal. Ini samalah dengan cerita, si anak yang kesal dan bertaubat setelah kematian ibu" kata Hj Salamat.

Kekesalan Rais ini diucapkan oleh beliau dalam Teks ucapannya yang disampaikan oleh Naib Cancelor USM, Datuk Prof. Dzulkifli Abdul Razak.

Rais berkata, apabila akhbar Utusan Melayu yang mengoborkan politik dan perjuangan Melayu berdekad-dekad lamanya mati kerana tidak dibeli lagi oleh orang Melayu dan dalam masa yang sama populariti bahasa Inggeris berterusan seperti apa yang berlaku sekarang, suatu ketika kelak akhbar-akhbar bahasa Melayu juga akan mengalami nasib yang sama.

Katanya, jika peredaran zaman menjadi alasan sehingga bangsa Melayu tidak lagi berminat dengan tulisan jawi, bukan sahaja budaya Melayu akan terjejas malah perpaduan Melayu juga tidak akan tercapai.

Sedarkah Rais bahawa Umno/BN yang menyebabkan tulisan ini mati. 'Kempen'menguburkan tulisan ini bermula pada zaman Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran lagi.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59