Saturday, 4 February 2006

HUKUM SYARAK LEBIH TINGGI DARI PERLEMBAGAAN NEGARA - MUHAMAD BUROK


MELAKA 4 FEB : Presiden Persatuan Peguam-Peguam Syarie Malaysia, Tuan Haji Muhamad Burok menyatakan bahawa Hukum Syarak sepatutnya diletakkan lebih tinggi dari Perlembagaan Negara.

"Ini tidak, perlembagaan negara menyatakan bahawa sebarang undang-undang bertulis yang dibuat selepas merdeka yang bertentangan dengan perlembagaan adalah terbatal sekiranya ia bercanggah dengan perlembagaan negara" kata beliau yang juga merupakan peguam syarie terkenal di Malaysia.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan memperkasakan Mahkamah Syariah agar ianya setanding dengan Mahkamah Sivil.

"Apa yang kita lihat pada hari ini mahkamah sivil lebih diutamakan dari mahkamah syariah. Sedangkan sepatutnya semua kesalahan orang islam sepatutnya di bicarakan di Mahkamah Syariah" jelas Hj Muhamad Burok ketika menyampaikan taklimat tentang Perkara 121 (1A) Perlembagaan negara di Pejabat Perhubungan PAS Melaka di Semabok malam tadi.

Dalam kes Allahyarham Mohamad Abdullah pula beliau melahirkan kesyukuran dengan keputusan yang dibuat oleh hakim. Namun demikian beliau kesal dengan usaha yang dibuat oleh pihak keluarga Allahyarham yang tidak menghormati keputusan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi yang telah dibuat, apabila pihak terbabit telah menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Sepatutnya mereka hendaklah menghormati keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa Allahyarham adalah beragama Islam. Kita bimbang jika sekiranya keluarga beliau ini dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi" jelas beliau bersungguh-sungguh.

"Keluarga Allaryarham sepatutnya menyertakan afidavit dan hujah-hujah mereka jika sekiranya benar Allahyarham bukan beragama Islam dan mereka sepatutnya mengemukakannya di Mahkamah Syariah tempohari." jelas beliau lagi.

Haji Muhamad juga kesal dengan pengakuan isteri Allahyarham Mohamad, Kaliammal yang menyatakan bahawa beliau tidak pernah diberitahu oleh mana-mana pihak bahawa Allahyarham telah memeluk Islam.

"Mana mungkin isterinya tidak tahu sedangkan pihak Kementerian Pertahanan telah memaklumkan kepada beliau ketika Allahyarham koma, iaitu sebelum Allahyarham meninggal dunia lagi" jelas Hj Muhamad Burok.

Beliau juga menjelaskan bahawa orang-orang bukan Islam sebenarnya dibenarkan untuk menjadi saksi dan boleh mengemukakan afidavit di Mahkamah Syariah. Ini dibuktikan di dalam kes Nyonya Tahir di mana anak-anak Nyonya Tahir dijemput untuk memberikan keterangan dan mereka juga mengemukakan afidavit yang menyatakan Nyonya Tahir telah murtad.

"Siapa kata orang bukan Islam tak boleh hadir di Mahkamah Syariah" tanya Hj Muhamad dengan tegas.

Sementara itu anak Nonya Tahir Kwai Ying gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban yang memutuskan mendiang Nyonya seorang bukan Islam dan mayatnya diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut upacara Buddha.

Suri rumah itu berkata, ahli keluarganya lega kerana isu status agama ibunya selesai selepas empat hari keluarganya hidup dalam kerisauan berikutan tidak dapat menuntut mayat Nyonya di Hospital Tampin.

Katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jains) juga banyak membantu dengan memberi nasihat kepada ahli keluarganya ketika menghadapi kesukaran untuk menuntut mayat ibunya.

“Kami syukur dan berterima kasih pada mahkamah. Jabatan agama (Jains) juga banyak tolong selesaikan masalah ini dengan baik dan harmoni,” katanya.

Kwai Ying adalah antara lapan anak mendiang Nyonya yang hadir pada sesi permohonan ex-parte (sebelah pihak) perisytiharan Islam yang dibuat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Jains dan Pengarah Jains, Datuk Zaharuddin Mohd Sharif.

Permohonan itu dibuat bagi mengesahkan status agama Nyonya, 89, yang berasal dari keturunan Melayu Islam dan menggunakan nama Melayu mengikut kad pengenalannya tetapi mengamalkan cara hidup dan beragama Buddha selama lebih 80 tahun.

Pada sidang mahkamah semalam, semua anak mendiang Nyonya ditemani empat cucunya hadir di mana Kwai Ying dan adiknya, Chiang Ah Fatt, 40, memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Selesai urusan di mahkamah, ahli keluarga mendiang Nyonya pergi ke Hospital Tampin bagi menuntut mayat yang ditahan di hospital berkenaan apabila Jains mendapatkan perintah Mahkamah Syariah, Jumaat lalu, bagi menahannya pengkebumiannya sehingga status agamanya disahkan.

Zaharuddin yang turut ke Hospital Tampin, menyerahkan surat perintah mahkamah kepada anak bongsu Nyonya, Ah Fatt kira-kira jam 5.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron turut menyerahkan surat kematian dan surat kebenaran pengebumian kepada Ah Fatt.

Mendiang Nyonya dibawa ke Tanah Perkuburan Cina Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan mengikut adat dan upacara Buddha.

Sementara itu, peguam syarie pemerhati bagi keluarga Nyonya, Koo Chin Nam yang ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Syariah enggan mengulas lanjut keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi Syariah sudah memutuskan Nyonya bukan tergolong sebagai orang Islam, menganuti agama Buddha dan tidak boleh dikebumikan mengikut cara Islam.

“Saya tidak mahu ulas panjang kerana suasana politik sekarang tidak begitu sesuai, nanti boleh mencetuskan kontroversi sekali lagi,” kata Pengerusi MCA Putrajaya merangkap Timbalan Pengerusi Biro Agama MCA Pusat itu.


MEDIA MALAYSIA TIDAK SIARKAN BERITA TUNJUK PERASAAN PEMUDA PAS DI KEDUTAAN DENMAK.





MELAKA 4 Feb. - Disaat seluruh umat Islam di dunia menunjukkan kemarahan berhubung penyiaran kartun oleh akhbar Denmark, Jyllands-Posten yang menghina Islam dan Nabi Muhammad media Malaysia nampaknya tidak berminat untuk menyiarkan berita bahawa umat Islam di Malaysia juga turut sama berbuat demikian.

Sebahagian besar media samada media cetak atau elektronik tidak berminat menyiarkan berita bahawa Dewan Pemuda PAS telah menganjurkan demonstrasi di hadapan kedutaan Denmak semalam. Apakah motifnya? Sebaliknya media Malaysia lebih berminat menyiarkan berita bantahan umat Islam di negara-negara lain.

Mungkin perkara ini dilakukan untuk menutup sensitiviti umat Islam atau sengaja dilakukan untuk memadamkan keujudan Dewan Pemuda PAS yang sentiasa prihatin terhadap isu kedaulatan Islam berbanding Pemuda Umno yang pengecut dan tidak sensitif terhadap isu-isu sebegini.

Buletin Utama TV3 jam 8 malam tadi langsung tidak menyiarkan gambar demonstrasi yang dianjurkan DPP PAS tersebut sebaliknya mereka menyiarkan berita bergambat demonstrasi di Indonesia. Akhbar The Star pula hari ini hanya menyiarkan gambar demonstrasi tersebut dengan menyatakan hanya 60 orang sahaja yang hadir. Ini suatu yang mustahil kerana setiap kali demonstrasi diadakan sudah tentu ratusan malah ribuan yang hadir.

Sementara itu umat Islam dan pemimpin negara umat Islam terus menyatakan bantahan mereka terhadap isu ini.

Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad turut menyelar kartun yang pertama kali disiarkan pada September lalu sehingga mencetuskan bantahan dan boikot ke atas barang-barang Denmark.

Pasar Raya Carrefour di Qatar misalnya telah menghentikan penjualan produk dari Denmark.

``Umat Islam perlu menunjukkan reaksi tegas terhadap perbuatan yang mengaibkan itu,'' sebuah televisyen memetik Mahmoud sebagai berkata semasa menghubungi Raja Abdullah dari Arab Saudi melalui telefon.

Hosni pula menyatakan kebebasan media yang diagungkan oleh Eropah tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menghina agama.

Raja Abdullah dari Jordan semasa berucap di depan Kongres Amerika Syarikat, diplomat dan ulama turut mengkritik tindakan menyiarkan kartun itu yang disifatkannya sebagai pencabulan terhadap kebebasan bersuara.

``Pada ketika kami menghormati kebebasan bersuara, kami mengutuk tindakan yang melukakan sensiviti perasaan umat Islam seperti kartun yang disiarkan baru-baru ini kerana ia membawa tafsiran yang salah dan mencerca leluhur saya,'' kata Raja Abdullah yang disambut tepukan gemuruh.

Sementara itu Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen terus berusaha merapatkan jurang yang terjadi akibat penyiaran kartun itu semasa ditemu ramah oleh televisyen Al-Arabiya.

Bantahan akibat penyiaran kartun itu membawa kepada pemboikotan barang-barang Denmark, selain daripada penutupan Kedutaan Libya dan penarikan balik duta Arab Saudi.

``Saya mahu menyatakan secara jelas bahawa saya amat sedih apabila umat Islam melihat lukisan dalam akhbar Denmark sebagai penghinaan kepada Nabi Muhammad,'' kata Rasmussen.

Kemarahan semakin merebak berikutan beberapa penerbitan di Eropah seperti Perancis dan Norway menerbitkan semula kartun tersebut atas nama kebebasan bersuara.

Selain di negara-negara Arab dan Asia Barat, nada kemarahan yang sama turut dirasai di negara-negara Islam di Asia.

Di Jakarta kira-kira 100 orang telah menyerbu sebuah bangunan yang menempatkan Kedutaan Denmark sambil melaungkan ``Kami sedia berjihad!''

Beberapa orang penunjuk perasaan yang turut membaling pejabat kedutaan dengan telur dan sebuah poster ditulis dengan perkataan ``Mari sembelih Duta Denmark!''

Di Pakistan parti-parti politik Islam turut melancarkan bantahan untuk hari kedua sementara para pelajar mengadakan tunjuk perasaan dengan melaungkan kata-kata ``Mati untuk Denmark'' di Lahore dan Multan selain membakar bendera Perancis dan Denmark.


SYARIKAT PENERBANGAN SINGAPURA UNTUNG RM800 JUTA. MAS BAGAIMANA?


SIA untung bersih RM800 juta dalam suku ketiga

MELAKA 4 FEB : Kerugian MAS sungguh memalukan kita sebagai rakyat Malaysia. Sehingga kini MAS masih terkial-kial mencari jalan untuk memulihkan syarikat tersebut. Pelbagai langkah yang memalukan telah diambil oleh pihak pengurusan MAS yang baru sehinggalah kepada langkah menjual aset-aset MAS terpaksa dilakukan. Langkah penjualan aset ini bukanlah langkah 'orang cerdik' kerana orang kampung pun pandai kalau setakat nak jual harta sebegini.

Disaat MAS mengalami kerugian yang memalukan, Singapore Airlines (SIA) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak S$397 juta (kira-kira RM794 juta) pada suku ketiga yang berakhir pada 31 Disember 2005. Tidakkah kerajaan kita malu kepada Singapura?

Untung bersih itu diperolehi hasil pendapatan sebanyak S$3.55 bilion (RM7 bilion) – S$355 juta (RM700 juta) atau 11.1 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama sebelumnya.

Menurut SIA, ini berikutan peningkatan dalam jumlah pengangkutan dan hasil bagi operasi penumpang dan kargo.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan, keuntungan bersih menurun sebanyak S$68 juta (RM136 juta) atau 14.6 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan kos minyak yang tinggi.

Keuntungan operasi kumpulan adalah sebanyak S$375 juta (RM794 juta) dalam suku tersebut, kurang S$38 juta (RM76 juta) atau 9.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, berikutan peningkatan dalam perbelanjaan yang mengatasi peningkatan pendapatan.

"Perbelanjaan kumpulan bagi minyak meningkat 49.2 peratus kepada S$1.18 bilion (RM2.36 bilion)," kata SIA dalam satu kenyataan.

Minyak melibatkan sehingga 37.2 peratus daripada perbelanjaan kumpulan itu – meningkat sehingga 28.4 peratus dari suku yang sama pada tahun sebelumnya di mana peningkatan harga minyak sendiri telah menyebabkan pertambahan S$243 juta (RM486 juta) kepada perbelanjaan kumpulan.

Bilangan penumpang yang dibawa dalam suku ketiga adalah 4,364 juta, naik 3.9 peratus berbanding setahun lalu – rekod tertinggi bagi mana-mana suku manakala SIA Cargo membawa 9.7 peratus lebih muatan (dalam kilometer tan) berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

SIA berkata, harapan bagi industri penerbangan pada tahun 2006 adalah menggalakkan berikutan ramalan ekonomi bagi pasaran-pasaran utama tetapi harga minyak terus menjadi perhatian kumpulan tersebut.

"Dari segi persaingan, penerbangan baru dan yang telah wujud akan terus bersaing dalam pasaran. Singapore Airlines akan terus memberikan respon terhadap cabaran dan menjadi kompetitif," kata kenyataan tersebut.

SIA juga merancang untuk menjadi yang pertama terbang dengan pesawat Airbus A380-800 yang baru dan memperkenalkan pesawat Boeing B777-300ER hujung tahun ini.

SIA akan menerima dua Airbus A380-800 dan enam Boeing 777-300ER selain menempah enam B747-400s pada tahun 2006, sekaligus meningkatkan keupayaan operasi mereka kepada 92 pesawat penumpang tahun ini.

Pesawat Airbus A380-800 dan Boeing 777-300ER pertama dijangka diterima pada bulan November ini.


UTUSAN MELAYU MINGGUAN DITUTUP: SATU LAGI EPISOD MALANG TULISAN JAWI


MELAKA 4 FEB : Setelah penerbitan akhbar harian tulisan jawi, Utusan Melayu diberhentikan beberapa tahun lahu kini tiba giliran Utusan Melayu Mingguan pula ditutup. Dengan ini lenyaplah sudah akhbar jawi dari tanahair kita. Kita semua tahu penutupan akhbar jawi ini adalah disebabkan tiadanya pembaca dan pembeli kerana sebahagian besar anak muda sekarang sudah tidak tahu membaca dan menulis jawi lagi akibat dasar kerajaan Islam Hadhari yang tidak menjadikan tulisan jawi sebagai subjek wajib disekolah.

Kita semua juga sedar bahawa tulisan jawi telah dihapuskan pada zaman Khir Johari menjadi menteri pelajaran.

Satu-satunya akhbar tulisan Jawi di negara ini yang bertapak sejak 67 tahun lalu iaitu Utusan Melayu Mingguan telah diberhentikan penerbitannya Ahad lalu.

Perkara ini amat memalukan kerana sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya orang melayu dan Islam negara kita gagal memartabatkan tulisan jawi yang menjadi tulisan Al-Qur'an dan kitab-kitab agama. Siapa yang bersalah?

Akhbar itu mula diterbitkan pada 29 Mei 1939 secara harian dengan nama Utusan Melayu dan penerbitannya dihentikan dengan alasan mengalami kerugian.

Berikutan itu, beberapa pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) melahirkan rasa kecewa mereka dengan pemberhentian penerbitan akhbar berkenaan.

Mereka mencadangkan supaya Kumpulan Utusan mencari jalan terbaik untuk mengekalkan penerbitan akhbar itu mungkin dalam bentuk sisipan atau secara tajaan.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden (FKBM) UUM, Prof Madya Dr Che Su Mustaffa berkata, golongan belia dan pelajar di negara ini adalah golongan yang akan mengalami buta tulisan Jawi apabila penerbitan akhbar itu dihentikan.

Pensyarah wanita itu berharap pengurusan Kumpulan Utusan mencari jalan menghidupkan semula akhbar berkenaan, termasuk mendapatkan kerjasama penajaan badan-badan korporat.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan UUM Dr Ahmad Bashir Abdul Aziz berharap penerbit akhbar itu memikirkan masa depan tulisan Jawi di sebalik soal keuntungan.

"Dalam konteks Islam sekalipun keuntungan harus dikecapi namun pembangunan rohani dan agama juga perlu dititikberatkan," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau sedih dengan pengunduran akhbar itu kerana khazanah tulisan Jawi yang gagal mendapat sokongan pengiklan akhhirnya terpaksa ditutup.

Pengarah Pusat Islam UUM Prof Madya Dr Shukri Ahmad berharap pengurusan Kumpulan Utusan dapat memikirkan cara terbaik menerbitkan semula akhbar tulisan Jawi dalam bentuk sisipan walaupun jumlah halamannya terhad.

"Penerbit harus memikirkan secara serius kerana pembangunan tulisan Jawi akan mencambahkan idea lebih pantas kerana ia lebih pantas ditulis dan mudah difahami," katanya.

Dalam keluaran terakhirnya Ahad lalu, akhbar itu berkata walaupun benar akhbar Jawi mempunyai tempat dalam sejarah bangsa dan negara namun masa sudah beredar jauh, suasana sudah berlainan kerana manusia berubah dan terus berubah dan citarasa mereka juga turut bertukar.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59