Friday, 3 February 2006

MENINGGAL DALAM KEADAAN MENGAIBKAN. KEPADA PASANGAN MUDA-MUDI AMBIL PENGAJARAN DARI KISAH INI


Dipetik dari Harian Metro

SHAH ALAM 3 FEB : Polis sedang menyiasat punca seorang lelaki dan teman wanitanya ditemui mati dalam sebuah Perodua Kancil berhampiran pusat mencuci kenderaan di Seksyen 17, di sini, awal pagi kelmarin.

Lelaki berusia awal 20-an yang berasal dari Pahang itu, ditemui tanpa pakaian bersama teman wanitanya, juga awal 20-an, oleh pekerja pusat mencuci kenderaan berkenaan sejurus sebelum memulakan perniagaan kira-kira jam 9 pagi.

Menurut sumber, pekerja terbabit mungkin mengenali seorang daripada mangsa berkenaan tetapi tidak mengetahui kereta itu diletakkan berhampiran premis terbabit.

“Berdasarkan siasatan awal, pasangan itu dipercayai tiba di situ selepas tengah malam,” katanya.

Sumber itu bagaimanapun enggan mengulas sama ada pasangan terbabit melakukan asmara dalam kereta berkenaan tanpa mematikan enjin kenderaan serta pendingin hawanya.

“Setakat ini polis menolak kemungkinan berlaku perbuatan khianat yang menyebabkan kematian pasangan berkenaan,” katanya.

Berdasarkan kenyataan itu, kemungkinan besar pasangan terbabit menemui ajal secara tidak sengaja akibat terhidu gas beracun yang dilepaskan melalui ekzos atau pendingin hawa Perodua Kancil berkenaan.

Jika faktor itu disahkan, kejadian berkenaan adalah yang terbaru membabitkan kematian dalam kenderaan secara tidak disengajakan.

Pada awal September 2001, tiga beradik terbunuh selepas ditinggalkan bapa mereka dalam kereta selama kira-kira dua jam di Jalan Meldrum, Johor Bahru.

Bedah siasat yang dijalankan kemudian mendapati semua mangsa meninggal dunia selepas terhidu gas karbon monoksida yang dilepaskan melalui ekzos kereta terbabit. Gas itu boleh meresap ke dalam kenderaan melalui celahan komponen kereta.

Gas beracun itu juga boleh masuk ke tempat duduk penumpang melalui kebocoran pada paip pendingin hawa, ekzos atau karburator.

Pencemaran karbon monoksida melalui ekzos kenderaan yang dihidu boleh menyebabkan seseorang mengantuk sebelum tertidur. Dalam kuantiti yang tinggi, gas beracun itu akhirnya boleh membawa kematian akibat lemas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Abdul Wahab Embong, mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut.

“Setakat ini polis menolak kemungkinan berlaku sebarang perbuatan khianat yang menyebabkan kematian mereka,” katanya.

Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Dr Yahya Baba, yang dihubungi Harian Metro petang semalam, pula mengesahkan pasangan terbabit meninggal dunia akibat terhidu karbon monoksida.

“Bagaimanapun kami tidak dapat mengetahui bagaimana mereka terhidu gas beracun itu,” katanya.


AWAS KITAB SONGSANG, MENGANDUNGI CAMPURAN AL-QUR'AN DAN INJIL DIEDAR PERCUMA


BUKIT KATIL 3 FEB : Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman menyeru seluruh umat Islam di Malaysia supaya berhati-hati dengan perancangan musuh-musuh Islam yang sekarang bergerak secara aktif untuk memesongkan akidah umat Islam.

"Sekarang sudah jelas kepada kita pihak-pihak ini sedang berusaha dari segenap segi untuk mengelirukan umat Islam. Ada yang bergerak atas nama NGO, Hak Asasi Manusia, kebebasan agama dan sebagainya" tegas Hj Salamat.

"Pemuda PAS tidak akan bertolak ansur dengan golongan ini yang dilihat mendapatkan dokongan dan sokongan dari pihak-pihak yang berpengaruh di dalam negara ini" kata Hj Salamat yang juga Bendahari DPP PAS Negeri Melaka.

Kes terbaru melibatkan gesaan pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Negara juga merupakan salah satu usaha golongan ini yang mungkin mempunyai rangkaian yang besar di seluruh dunia.

Terbaru sebuah akhbar harian melaporkan bahawa sebuah kitab diterbitkan oleh golongan tersebut yang mengandungi pelbagai surah dipetik daripada Injil dan mencampuradukkannya dengan ayat suci al-Quran. Malah ia dilaporkan diedarkan secara percuma kepada orangramai.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa potongan ayat suci al-Quran itu diterjemahkan ke bahasa Inggeris di mana antara kandungannya menunjukkan Nabi Isa sebagai rasul dan nabi kepada umat Islam dan perlu diikuti serta ditaati.

Antara tajuk kecil yang terkandung dalam kitab mini terbabit ialah ‘The Guidances In The Al-Quran And Al-Hadiths That Enable Mankind To Enter Heaven’ (panduan dalam al-Quran dan hadis yang membolehkan manusia memasuki syurga).

Menurut akhbar tersebut seorang pembacanya menerima kitab itu daripada seorang lelaki berpakaian kemas yang menyerahkannya ketika dia sedang berjalan kaki di Johor Bahru, baru-baru ini. Beliau juga melihat lelaki terbabit turut menyerahkan kitab itu kepada beberapa orang lain yang lalu berhampiran.

“Kitab berwarna hijau itu bertulis ‘Al Siratul Mustaqiim’ dalam bahasa Malaysia selain bertulisan jawi dengan perkataan `Bismillahhi Rahmannir Rahim’ di atasnya.

“Pengarang kitab turut mengatakan Nabi Isa sayangkan umatnya dan menurunkan al-Quran dan hadis seperti dalam kandungan kitab terbabit bagi dijadikan panduan ke syurga,” kata pembaca akhbar tersebut yang dikenali sebagai Hussin Rahman.

Tajuk terjemahan surah songsang itu pula termasuk ‘Jesus Alaihi Salam (a.s) pembawa sinar yang perlu diikuti dan ditaati’, ‘Jesus A.S nabi dan rasul serta membawa mesej Tuhan kepada manusia’ serta ‘Jesus a.s adalah jiwa Tuhan serta ajarannya’.

Sehubungan itu, Hussin meminta pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan kerana bimbang ia adalah taktik pihak tertentu memesongkan akidah umat Islam secara halus, iaitu menggunakan ayat Al-Quran sebagai penarik.

“Apa akan terjadi jika kitab terbabit diberikan kepada golongan yang kurang mantap imannya atau kepada pihak yang mudah terpedaya dengan perkara yang dianggap betul tanpa merujuk kepada pihak yang lebih arif,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan kitab terbabit setakat ini.

“Bagaimanapun, penyebarannya menunjukkan ada pihak cuba memesongkan akidah umat Islam secara terang-terangan walaupun dalam skala kecil.

“Tidak mustahil ia dilakukan pihak yang mahu melihat umat Islam khasnya generasi muda terpedaya dengan kandungan kitab sesat terbabit,” katanya.

Menurut Noor Nirwandy, pihak tidak bertanggungjawab itu pandai bermain kata-kata dalam setiap potongan ayat sehingga boleh menyebabkan berlaku pertembungan akidah di kalangan pembaca jika tidak mempunyai keyakinan dan iman yang kukuh.

Katanya, berdasarkan kandungan kitab sesat itu, pihak terbabit mahu umat Islam percaya dan yakin bahawa Nabi Isa adalah rasul serta nabi terakhir dan bukannya junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

“Nabi Muhammad adalah rasul dan nabi terakhir diturunkan untuk mengembangkan syiar Islam. Bagaimanapun, menurut kandungan kitab terbabit, umat Islam perlu mentaati Nabi Isa.

“Selain itu, kandungan kitab memesongkan fakta dengan meminta umat Islam mematuhi Nabi Isa dan mengikut segala ajaran selain arahan jika mahu ke syurga,” katanya.

Justeru, katanya PPIM meminta agensi penguat kuasa agama dan agensi kerajaan lain mengambil tindakan tegas terhadap penyebar selain menghentikan penyebaran kitab percuma sebelum ia menjadi barah di kalangan umat Islam.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59