Friday, 27 January 2006

RATU MUSLIM TATARSTAN JAUH LEBIH CANTIK DARI MISS UNIVERSE


MOSCOW 27 JAN : Apabila disebut ratu cantik, pasti ramai terbayangkan liuk lentuk gadis berbaju mandi yang seksi, tetapi itu bukanlah ciri utama kemenangan ‘Miss Muslim’ atau Ratu Muslim di Tatarstan - sebuah negara di sebelah timur Eropah.

Sebaliknya, pertandingan ratu cantik itu menekankan kecerdikan, peri laku sopan, bertudung, pengetahuan agama Islam, kebolehan mengaji al-Quran, memasak dan menjahit di kalangan 56 peserta semuda 15 tahun yang menyaksikan Dilar Sadiqova (gambar), 17, muncul pemenang.

“Saya memutuskan menyertai pertandingan ini bagi menyampaikan pesanan wanita Islam juga mampu berdiri, biarpun di landasan pertandingan ratu cantik asalkan ia bermoral dan dihormati.

“Sehubungan itu, mereka yang bukan Islam boleh mendapat gambaran sebenar agama suci Islam ini,” kata pelajar sekolah menengah yang berhasrat menjadi guru, kepada media, selepas kemenangannya, kelmarin.

Lebih menarik, majlis itu diadakan di dewan khas Masjid Besar di Kazan, ibu negara Tatarstan dengan kesemua penontonnya adalah wanita.

Cendekiawan Muslim sebelum ini ada menggesa negara Islam menganjurkan pertandingan ‘Miss Morality’ bagi mematahkan minat umat Islam terhadap pertandingan ratu cantik ala Barat

Penganjur berkata, pertandingan itu tidak menetapkan pemakaian baju mandi seperti lazimnya, sebaliknya berpakaian sopan dan bertudung.

Malah, kecerdikan dan pengetahuan mendalam agama Islam adalah syarat utama pertandingan Ratu Cantik Muslim di Tatarstan yang mana 60 peratus daripada empat juta penduduknya, beragama Islam.

Ini termasuk ujian hafalan dan mengaji ayat suci al-Quran selain menjawab soalan mengenai kebudayaan.

Peserta turut menduduki ujian memasak dan menjahit bagi mendapatkan markah tambahan.

Hanya lapan gadis berusia 15 hingga 19 tahun berjaya ke peringkat akhir dalam pertandingan sukar itu.

Ketua juri, Saida Abukofa berkata, pertandingan itu bertujuan menggalakkan lebih ramai gadis Muslim mengikuti ajaran sebenar Islam, termasuk mengenakan tudung.

Dipetik dari Berita Hairan


SAMY TUNGGU MRR2 RUNTUH BARU NAK BERTINDAK


Pendedahan oleh Prowaris tentang keselamatan MRR2 sedikitpun tidak menakutkan Samy Vellu. Beliau sebaliknya sibuk dengan isu pindaan Perkara 121 (1A) perlembagaan negara.

Nampaknya menteri ini lebih suka kalau jejambat itu roboh barulah nak bertindak dengan lebih serius. Perkara seolah-olah menjadi tradisi kepada menteri-menteri kita bila sudah terkena barulah tergopoh-gapah mengambil tindakan. Ibarat pepatah 'bila terhantuk baru nak tergadah'.

Baru-baru ini Menteri Kerjaraya itu memberitahu beliau menerima laporan daripada juruperunding bebas kerajaan, Halcrow Group Limited (Halcrow) pagi Khamis yang mengesahkan jejambat itu berupaya menampung lalu lintas terhad dengan selamat.

Beliau juga berkata laporan itu tidak akan dirahsiakan dan akan dipamirkan di bangunan Kementerian Kerjaraya.

"Halcrow telah menilai keupayaan tiang penopang jejambat MRR2 dalam keadaannya sekarang, termasuk kesan retakan berikutan Delayed Ettringite Formation (DEF)," katanya kepada pemberita hari Khamis selepas menyampaikan anugerah penghargaan kepada 24 kontraktor yang menerima pensijilan ISO 9001:2000.

Sebelum ini, Presiden Prowaris Feriz Omar menggesa kerajaan supaya mendedah laporan penuh siasatan teknikal jejambat MRR2 yang dilaksanakan oleh Halcrow.

Feriz berkata rakyat perlu dimaklumkan mengenai hasil siasatan itu bagi mengelak sebarang keraguan terhadap keselamatan jejambat berkenaan.

Laporan berita TV3 baru-baru ini juga menayangkan bahawa jejambat tersebut jelas kelihatan bergegar dengan agak kuat setiap kali ianya dilalui oleh kenderaan. Gegaran itu jelas dilihat pada pembahagi jalan, kereta yang di'parking' dan tiang jejambat tersebut.

Jejambat yang panjnagnya 1.7km itu ditutup kepada semua kenderaan pada 6 Ogos 2004 selepas retakan ditemui pada 31 daripada 33 tiang yang menyokongnya ekoran kesan DEF akibat air hujan yang memasuki konkrit.

Tetapi ianya dibuka semula kepada kenderaan ringan pada 12 Nov 2004 dan semua lalu lintas pada 7 Disember tahun yang sama tetapi membabitkan hanya empat daripada enam lorong manakala dua lorong paling luar di kedua-dua hala terus ditutup untuk kerja baikpulih.

Menurut Samy Vellu, pemesongan dan respons struktur sokongan jejambat itu dipantau secara berterusan oleh meter keupayaan dan tolok ketegangan yang disambung kepada pencatat data automatik.

"Ia merekod dan memaklumkan Halcrow tentang sebarang perubahan dalam lebar rekahan serta mengukuhkan ketegangan," katanya.

Beliau berkata sistem pemantauan itu dipasang sebelum jejambat berkenaan dibuka untuk lalu lintas pada 12 November 2004 dan ia menunjukkan kesan ke atas struktur di bawah bebanan lalu lintas terhad berada dalam lingkungan had reka bentuk normal.

Ujian bebanan turut dijalankan bagi membuktikan bahawa jejambat itu boleh menampung dengan selamat lalu lintas dua lorong bagi setiap hala.

Samy Vellu berkata Halcrow menasihatkan kerajaan bahawa sebelum diperkukuhkan, sokongan jejambat perlu kalis air bagi mengelak air hujan menembusi ke dalam konkrit, memandangkan satu-satunya cara untuk menghentikan pemanjangan DEF yang menyebabkan kerosakan ialah mengelak air daripada konkrit.

Beliau berkata kerja memberi lindungan kalis air kepada sokongan jejambat akan bermula pada 8 Feb dan kerja untuk mengukuhkannya pula akan dijalankan Mei ini.


HABUK ANCAM PENDUDUK TAMBAK PAYA


TAMBAK PAYA, AYER MOLEK 27 JAN : Penduduk Kg Tambak Paya dekat Ayer Molek mengadu bahawa mereka di ancam habuk dari sebuah kilang batu-bata yang terletak kira-kira 500 meter dari kediaman mereka.

Semalam sebuah akhbar harian melaporkan bahawa kira-kira 100 keluarga di Kampung Tambak Paya Solok Tiga dan Empat menghadapi masalah pencemaran dari sebuah kilang batu-bata sejak lebih 10 tahun lalu.

Dalam aduan mereka kepada akhbar tersebut penduduk mendakwa pencemaran yang terhasil daripada kilang berkenaan seperti habuk dan asap menyebabkan pokok buah-buahan milik penduduk kampung mati. Selain itu, air kumbahan yang terhasil dari kilang itu turut menyebabkan ikan di parit besar di kampung mereka mati pada beberapa bulan lalu.

En. Senin Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), berkata masalah pencemaran di kilang berkenaan bertambah teruk selepas operasinya dimulakan semula sejak setahun lalu.

Katanya, sejak tempoh itu dipercayai asap yang terhasil dari kilang berkenaan menyebabkan pokok durian penduduk di kampung ini mati pada awal tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Lajnah Alam Sekitar PAS Kawasan Bukit Katil, Hj Zulkifli Zakarian berkata pihak berasa kesal dengan pihak pengurusan kilang tersebut yang beroperasi aduan demi aduan telah dilaporkan kepada pihal berwajib.

"PAS Kawasan berasa kesal dengan kelemahan pihak berwajib dalam menangani masalah ini, yang menyebabkan penduduk mengalami kesulitan untuk menjalani kehidupan seharian mereka" kata Hj Zulkifli lagi.

"Kita bimbang bukan sahaja tanaman yang mati, tetapi juga kemungkinan penduduk setempat juga diancam oleh pelbagai penyakit yang disebabkan pencemaran udara seperti batuk, asthma dan sebagainya" tambah Hj Zulkifli ketika diminta memberikan komen tentang perkara ini.


HAMAS MENANG MUTLAK


RAMALLAH 27 Jan. -Parti Islam Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin semalam, apabila memenangi lebih 75 kerusi dari 132 kerusi keseluruhan.

Perdana Menteri Palestin, Ahmed Qorei ketika di temui wartawan mengumumkan beliau akan meletakkan jawatannya sambil menyatakan Hamas hendaklah menubuhkan kerajaan.

Satu sumber Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat mengesahkan Hamas mendahului Fatah dengan kelebihan kerusi yang jelas setelah hampir semua undi dikira.

Keputusan rasmi dijadual diumumkan pada 7.00 malam waktu tempatan (1.00 pagi tadi waktu Malaysia) tetapi Hamas yakin akan menguasai majoriti mutlak di Parlimen 132 kerusi itu.

Israel dan Amerika Syarikat (AS) sejak awal-awal lagi telah menyatakan mereka tidak akan berurusan dengan kerajaan Palestin samada kerajaan yang mutlak dikuasai Hamas maupun kerajaan campuran pimpinan Hamas.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (Abu Mazen) pula menegaskan beliau akan berundur jika beliau tidak lagi dapat meneruskan agenda perdamaiannya dengan Israel.

Stesyen TV Al Jazeera semalam menyiarkan kenyataan pemimpin Kanan Hamas Ismail Hunaiyeh bahawa Hamas akan membentuk kerajaan dan akan bekerjasama dengan parti-parti lain iaitu Fatah dan parti-parti kecil lain.

Beliau seterusnya mempelawa semua parti-parti politik tersebut untuk sama-sama berjuang demi kepentingan rakyat Palestin.

Namun begitu Al Jazeera juag menyiarkan kenyataan seorang pemimpin Fatah, Abas Zaki yang menyatakan bahawa Fatah tidak akan bersama Hamas dalam kerajaan campuran sebaliknya mereka lebih selesa menjadi pembangkang yang kuat di dalam Parlimen Palestin.

Sementara itu seorang wartawan Israel, Sulamaghonor menyatakan bahawa, kemenangan Hamas ini sudah tentu membantutkan rancangan damai Asia Barat.

"Israel sudah pasti tidak akan menjalin sebarang hubungan dengan Hamas" katanya ketika menjadi salah seorang panel dalam rancangan yang diterbitkan oleh Al Jazeera itu.

Pegawai pilihan raya Palestin mengesahkan Hamas memenangi hampir semua kerusi yang dipertandingkan di daerah pilihan raya di Tebing Barat dan Genting Gaza.

Separuh daripada kerusi dalam pilihan raya Parlimen semalam dipilih berdasarkan senarai parti di peringkat kebangsaan manakala separuh lagi dipilih mengikut daerah pilihan raya.

Tinjauan awal selepas pengundian malam tadi meramalkan kemenangan tipis bagi Fatah, dengan Hamas ketinggalan sedikit di tempat kedua.

Sementara itu YDP Kawasan Hj Mohd Yassin Abdul Ghani mengucapkan tahniah kepada Hamas di atas kemenangan mutlak mereka di dalam pilihanraya rabu lalu.

"Kemenangan itu sudah tentu memberikan semangat baru kepada pergerakan Islam seluruh dunia supaya berjuang dengan lebih kuat dan sistematik" katanya ketika ditemui selepas mesyuarat PAS Kawasan di Bukit Katil malam tadi.

"Marilah kita mengambil iktibar dari kemenangan Hamas ini. Kemenangan mereka sebenarnya adalah kerana kerja kuat mereka dalam bidang kebajikan, kemasyarakatan, pendidikan dan kesihatan. Kita sepatutnya mencontohi Hamas ini"tegas beliau lagi yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Melaka.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59