Thursday, 26 January 2006

AHMED QOREI LETAK JAWATAN PERDANA MENTERI, HAMAS PERLU MEMBENTUK KERAJAAN.


RAMALLAH, TEBING BARAT 26 JAN - Perdana Menteri Palestin, Ahmed Qorei mengumumkan perletakan jawatannya hari ini dan berkata Gerakan Islam Hamas mesti membentuk kerajaan baru selepas pilihanraya umum.

"Saya akan menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Presiden Mahmud Abas (Abu Mazen) dan Hamas mesti membentuk kerajaan baru" beliau memberitahu wartawan.

Qorei memberikan komen selepas mengetahui secara rasmi bahawa Pergerakan Fatah tewas kepada Hamas dalam Pilihanraya Parlimen Rabu lepas.

Satu sumber memberitahu bahawa Suruhanjaya Pilihanraya berkata bahawa Hamas mengatasi fatah dengan semua undi telah hampir siap dikira.

Sumber : AFP


HAMAS MENGATASI FATAH : SURUHANJAYA PILIHANRAYA


RAMALLAH, TEBING BARAT, 26 JAN - Gerakan Islam, Hamas dilaporkan sedang mengatasi Pergerakan Fatah di dalam Pilihanraya Parlimen Palestin, demikian menurut satu sumber dalaman Suruhanjaya Pilihanraya.

Sebelum ini Naser Abu Bakr melaporkan, Hamas dilihat berupaya menewaskan Fatah di dalam Pilihanraya Palestin yang mungkin menyebabkan usaha damai Asia Barat tertangguh.

Pegawai Kanan dari Fatah, gerakan yang mendominasi politik Palestin selama bertahun-tahun, mengetahui bahawa mereka telah diketepikan oleh Hamas dan hanya menduduki tempat kedua walaupun Hamas baru pertama kali menyertai pilihanraya ini.

Suruhanjaya Pilihanraya berkata keputusan rasmi tidak akan diumumkan sehingga jam 7 petang (1700 GMT), tetapi Hamas berkeyakinan bahawa mereka sekarang telah mendapat majoriti penuh di dalam Parlimen yang mempunyai 132 kerusi.

Israel telah memberi amaran bahawa mereka tidak akan menjalinkan hubungan dengan kumpulan Hamas yang masih menjalankan keganasan dan tidak akan mengiktiraf keujudan kumpulan itu.

Presiden Bush juga menegaskan bahawa Hamas adalah kumpulan pengganas di mata Washington.

Sumber Harakahdaily.


PILIHANRAYA PALESTIN : HAMAS DIJANGKA RAIH PERATUSAN UNDI YANG TINGGI


PALESTINE 26 JAN : Parti Hamas dijangka akan memperolehi undi yang tinggi dalam pilihanraya Palestin yang sedang berlangsung sekarang. Menurut Stesen TV Al Jazeera semalam, Israel sekarang ini berada di dalam kebimbangan dengan perkembangan itu.

"Think Thank' Israel dan Amerika Syarikat sekarang sedang mencari jalan dan strategi untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang Hamas akan membentuk kerajaan sendiri atau kerajaan campuran dengan Pergerakan Fatah.

Menurut tinjauan yang dibuat oleh salah sebuah universiti di Palestin, Hamas dijangka memperolehi sekitar 40 % undi manakala 50 % lagi akan diraih oleh Pergerakan Fatah dan selebihnya oleh parti-parti lain. Jika perkara ini menjadi kenyataan maka sudah tentu Fatah terpaksa bergabung dengan Hamas untuk membentuk kerajaan campuran.

Semalam Stesen TV Al Jazeera menayangkan bahawa Hamas memperolehi sokongan yang kuat dari rakyat Palestin di mana kelihatan rakyat Palestin termasuk pemuda, muslimat dan kanak-kanak memakai lilit kepala warna hijau yang menjadi simbol keagungan Parti Hamas. Mereka berarak di jalanraya menyatakan sokongan terbuka kepada Hamas yang dilihat sebagai bersih dan berjasa kepada rakyat Palestin.

Gambar Ihsan Blog Roslan SMS


MTD DAN UPU MESTI DIGERAKKAN DARI SEKARANG


BUKIT BARU 26 JAN : Majlis Tindakan DUN (MTD) dan Unit Peti Undi (UPU)mesti digerakkan dari sekarang supaya kerja-kerja persediaan untuk menghadapi Pilihanraya Umum akan datang tidak dijalankan di saat-saat akhir.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Sofi Wahab menegaskan setakat ini sebahagian besar MTD dan UPU di kawasan Parlimen Bukit Katil masih belum digerakkan sepenuhnya.

"Jangan kita mengulangi kesilapan yang kita lakukan dalam pilihanraya-pilihanraya umum sebelum ini, di mana kita menjalankan kerja-kerja kita 'last minute'" kata beliau ketika ditemui di dalam program lawatan Hj Mohamad Sabu yang dianjurkan oleh MTD Bukit Baru di sini semalam.

Beliau seterusnya memuji jentera MTD Bukit Baru yang berjaya mengadakan program yang baik semalam. Dalam program tersebut Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu telah di bawa melawat 3 buah kampung dan telah menyampaikan bantuan berupa barangan makanan kepada beberapa penduduk kampung berkenaan. Kampung-kampung yang dilawati oleh beliau ialah Kg Paya Ikan, Kg Bukit Pulau dan Kg Bukit Baru Dalam.

Sofi dalam kenyataannya juga mencadangkan Jentera Pilihanraya Kawasan (JPK) supaya mengadakan lawatan kerja dan motivasi ke peringkat Majlis Tindakan Dun (MTD) bagi meningkatkan kesedaran kepada para petugas parti.

“Lawatan kerja ini dapat memberi ruang kepada pemimpin kawasan mengemukakan hasil kajian post mortem pilihan raya umum ke-11 dan memberikan arahan-arahan yang bersepadu khususnya gerak kerja pilihan raya seperti daftar pemilih dan keahlian kepada peserta,” tegas Sofi lagi yang juga merupakan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional DPP Negeri Melaka.

Selain itu program seumpama ini juga memberikan peluang kepada para peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa MTD, UPU, cawangan serta ahli jawatankuasa Pemuda dan Muslimat cawangan-cawangan untuk menyampaikan pandangan dan mengemukakan sebarang masalah.


KES NYONYA TAHIR BUKTI ISLAM ADALAH ADIL-KHAIRUDDIN


BUKIT KATIL 26 JAN : Setiausaha DPP Kawasan Bukit Katil, Khairuddin Ismail menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Syariah berhubung kes Nyonya Tahir membuktikan bahawa Islam dan Mahkamah Syariah adalah adil dan sentiasa merujuk kepada fakta dalam menjatuhkan sesuatu hukuman.

Beliau berkata keputusan itu juga menjelaskan kepada orangramai bahawa tuduhan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah sebelum ini bahawa ia tidak adil kepada bukan Islam kerana tidak dibenarkan mendapat pembelaan di mahkamah berkenaan adalah tidak berasaskan.

Isnin lalu Mahkamah Tinggi Syariah Seremban memutuskan seorang warga emas bernama Nyonya Tahir, wanita Melayu tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu, bukan beragama Islam semasa kematiannya.

Menurut laporan Bernama baru-baru ini, Hakim Mohamed Shukor Sabudin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes-kes berkaitan dengan kepentingan orang Islam termasuk masalah akidah di negara ini.

Hakim itu juga berkata keputusan itu berdasarkan kepada afidavit anak bongsu Nyonya Tahir, Chiang Ah Fatt dan keterangan bersama kakak Chiang, Kwang Ying di Mahkamah Syariah tersebut.

Dengan itu Hakim Mohamed Shukor membenarkan mayat Nyonya diserahkan kepada keluarga wanita itu untuk disemadikan mengikut ajaran Buddha.

Mahkamah Tinggi Syariah itu juga telah membuktikan bahawa golongan bukan Islam boleh diwakili oleh peguam mereka dalam perbicaraan tersebut.

"Jadi golongan Bukan Islam tidak perlu takut dan sangsi dengan ketelusan dan keadilan mahkamah syariah" tegas Khairuddin mengakhiri kenyataan beliau.


ORANG BUKAN ISLAM JANGAN MELAMPAU - MAT SABU



AYER MOLEK 26 JAN : Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu memberi amaran supaya golongan bukan Islam di dalam negara kita jangan melampau sehingga berani menyentuh kedaulatan Islam di dalam negara kita.

"Saya ingin mengingat golongan ini serta golongan orang Islam yang munafik supaya jangan bertindak melampau sehingga berani menyentuh sensitiviti umat Islam, dengan menggesa perkara 121 (1A) perlembagaan negara dipinda" tegas beliau.

"Kesabaran umat Islam ada hadnya, jangan sampai kamu berani memijak kepala kami" tegas beliau.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika menyampaikan ceramah umum beliau di Markaz PAS Kg Solok Gaung di sini malam tadi.

"Golongan bukan Islam ini berani berbuat demikian kerana ada orang Islam yang buka jalan kepada mereka" beliau berkata demikian dengan merujuk kepada kes penangguhan undang-undang syariah yang telah diluluskan di Parlimen tetapi ditangguhkan perlaksanaannya oleh PM kerana terdapat ditentang oleh Shahrizat Jalil.

"Kita juga sungguh kesal dengan 'kelembikan' dan 'kelemahan' PM sekarang yang langsung tidak berani dan gagal memainkan peranan sebagai Ketua Negara dalam isu-isu besar yang melibatkan kedaulatan Islam" tambah beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Menyentuh isu demokrasi, Hj Mohamad Sabu mengingatkan kerajaan Islam Hadhari hari ini supaya kembali mengamalkan demokrasi sebenar kerana beliau khuatir andaikata demokrasi ditutup maka mungkin akan ujud 'Dr Azahari' di Malaysia.

"BN boleh menang 100 % kalau mereka mahu, iaitu dengan jalan menutup demokrasi, tetapi mereka jangan menyesal kalau ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku di dalam negara kita" tambah beliau lagi.

PAS kata beliau sentiasa komited dengan jalan pilihanraya sebagai kaedah perjuangan untuk menegakkan Islam dan tidak pernah memberikan lampu hijau kepada ahli-ahli untuk bertindak diluar batasan demokrasi. Jadi adalah diharapkan kerajaan pada hari ini supaya kembali memulihkan demokrasi terutama dalam perjalanan pilihanraya.

"Kita melihat bahawa keujudan golongan 'pengganas' ini adalah disebabkan anak-anak muda berasa putus asa dengan tertutupnya demokrasi disesebuah negara" tegas beliau.

Turut menyampaikan ceramah pada majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya III PAS Melaka, Hj Mohd Yassin Abdul Ghani, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Adly Zahari dan Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.


DESAS-DESUS ROMBAKAN KABINET KEMBALI BERTIUP KENCANG


Dipetik dari Agendadaily

Tidak begitu ramai yang tertarik lagi mengenai spekulasi rombakan kabinet.Ini kerana ia sudah hangat berkali-kali tetapi tidak ‘ menjadi’ kebelakangan ini.”Betul ke?..tak mungkinlah,” begitulah bunyi cakap sebilangan orang politik yang melepak disekitar ibupejabat UMNO,PWTC ketika berlangsung mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO petang Selasa.

Namun begitu ada yang cepat-cepat berlari bertanya rakan-rakan wartawan ketika turun di lobi bangunan itu adakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi umum rombakan semasa sidang akhbar selepas mesyuarat selama tiga jam .Jawabnya memang tidak ada dan tidak ada seorangpun wartawan yang bertanya Presiden UMNO soalan mengenai rombakan kabinet semasa sidang akhbar.

Spekulasi terhangat muncul semula pada awal bulan Januari ini.Ramai yang menduga sekembali Abdullah dari bercuti dan sempena tahun baru beliau akan umum mengenainya.Sebaliknya bila ditanya wartawan Perdana Menteri membayangkan ia mungkin berlaku lepas April ini setelah Rancangan Malaysia Ke 9 dibentangkan di Parlimen.

Sejak itu spekulasi mengenainya sepi semula.Apapun Agendadaily mendapat tahu ada kalangan yang yakin rombakan kabinet dalam berlaku bila-bila masa sekarang.”Tak sehari dua ni...lepas cuti Tahun baru Cina nanti,”kata mereka.Antara indikasinya,kata mereka ialah beberapa orang pegawai menteri yang jarang sekali berada sekitar PWTC bila mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO berlangsung kelihatan melepak sama di situ.Lagipun merurut mereka deraf RMK9 sudah selesai dan tunggu masa untuk dibentangkan saja.” Jadi jangan terkejut kalau Pak Lah umum rombakan anytime sekarang,”kata salah seorang dari mereka dengan penuh yakin.


LAWATAN MAT SABU KE MTD BUKIT BARU MERIAH





















BUKIT BARU 25 JAN : Lawatan Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu mendapat sambutan yang amat baik oleh masyarakat di beberapa buah kampung di dalam DUN Bukit Baru. Antara kampugn yang dilawati oleh Hj Mohamad Sabu ialah Paya Ikan, Bukit Pulau dan Bukit Baru Dalam.

Ketibaan Hj Mohamad Sabu di ketiga-tiga kampung tersebut telah di sambut dengan paluan kompang oleh kumpulan kompang pemuda-pemuda kampung tersebut yang terdiri dari anak-anak orang Umno.

Beliau turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk kampung-kampung di kampung Paya Ikan dan Bukit Baru Dalam.

Dalam ucapan ringkas di majlis Hi-tea di perkarangan Markaz PAS Bukit Baru Hj Mohamad Sabu menggesa seluruh ahli-ahli PAS supaya bergerak dengan lebih kuat untuk menghadapi pilihanraya yang akan dijangka berlangsung pada hujung tahun 2007 atau awal 2008.

“Kita mestilah bersedia dengan jentera yang kuat dan kerja yang sistematik kerana kita tidak tahu mungkin ada isu besar yang akan berlaku menjelang pilihanraya umum akan datang. Jadi jika sekiranya jentera kita kuat di tambah dengan isu yang berlaku makan insya Allah kita akan memberikan tentangan yang kuat kepada BN” tegas Hj Mohamad Sabu.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya I Badan Perhubungan PAS Melaka iaitu Hj Minghat Mamut dan YDP PAS Kawasan Bukit Katil Hj Mohd Yassin Abdul Ghani yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Melaka.


UMAT ISLAM MALAYSIA BERADA DALAM BAHAYA-SALAHUDDIN


BUKIT KATIL 26 JAN : Ketua DPP Pusat, YB Sallahuddin Ayub berkata umat Islam Malaysia pada hari ini berada di dalam situasi yang bahaya kerana mempunyai PM yang lembik dan tidak bermaya.

“Orang-orang kafir pada masa pemerintahan Pak Lah berani menghantar memo menggesa supaya perkara 121 (1A) Perlembagaan Negara di panda kerana PM kita yang lembik dan tunduk kepada golongan munafik seperti Sisters In Islam” kata Salahuddin pada majlis ceramah anjuran DPP Kawasan di sini Selasa lalu.

“Sebelum ini ketika zaman pemerintahan Tengku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussien Onn malah Dr Mahathir sekalipun, golongan kafir tidak berani menyentuh hal-hal kedaulatan Islam ini. Tetapi pada zaman Pak Lah mereka dengan angkuh berbuat demikian” tegas Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sallahuddin juga mengharapkan seluruh umat Islam khususnya ahli PAS bangkit mempertahankan undang-undang demi kedaulatan Islam di Negara kita. Beliau juga amat kesal dengan sikap PM yang kononnya memperjuangkan Islam Hadhari tetapi tunduk kepada desakan golongan Islam Liberal yang menggesa Undang-undang Keluarga Islam yang diluluskan di Parlimen di tangguhkan perlaksanaannya.

“Isu ini jelas menunjukkan bahawa Pak Lah sebenarnya sudah dipengaruhi oleh golongan-golongan munafik ini yang didalangi oleh anaknya sendiri iaitu Nori Abdullah” jelas Sallahuddin lagi.

Sementara itu Sallahuddin juga memberitahu DPP PAS Pusat akan menyerahkan memorandum tentang kepentingan mempertahankan perkara 121 (1A) kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada hari ini. Sementara pada sebelah malamnya DPP Pusat akan melancarkan Road Show menerangan kepentingan Perkara 121 (1A) ini dimana majlis ini akan berlangsung di Taman Melewar malam ini.

Turut menyampaikan ceramah malam tadi ialah Ketua DPP Negeri Melaka, Us Kamaruddin Sedik. Antara pimpinan DPP Negeri yang hadir ialah Timbalan Ketua DPP Negeri, Ashraf Minghat, Naib Ketua, Harun Mohamad. Selain itu pimpinan PAS Kawasan yang turut hadir ialah YDP Hj Mohd Yassin Ghani dan TYDP Hj Bakrin Sidek.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59