Sunday, 22 January 2006

HAMAS BERI TENTANGAN HEBAT DALAM PILIHANRAYA PALESTINE


Gaza 22 Jan. - Parti Islam Palestine, Hamas memberikan tentangan sengit kepada Fatah menjelang pilihan raya Parlimen minggu depan.

Tinjauan umum terhadap penduduk Palestine menunjukkan Hamas berjaya menambat hati pengundi-pengundi Palestine.

Keputusan itu menandakan petanda buruk bagi Fatah yang telah menguasai politik Palestin sejak berpuluh-puluh tahun lalu semenjak zaman Yasser Arafat.

Menurut tinjauan itu, Fatah dijangka memperoleh 32.3 peratus daripada keseluruhan undi dalam pilihan raya manakala Hamas akan meraih 30.2 peratus.

Di Gaza, tidak sampai satu peratus undi memisahkan kedua-dua pertubuhan itu dengan Hamas membolot 36.4 peratus undi berbanding 36.7 peratus undi Fatah.

Tinjauan tersebut dijalankan terhadap 1,000 pengundi Palestin oleh Pusat Media dan Komunikasi Baitulmaqdis.

Dalam pada itu, Hamas melancarkan rapat umum yang dihadiri oleh puluhan ribu penyokong di seluruh Genting Gaza.

Dalam rapat umum itu, seorang pemimpin Hamas berteriak: ``Adakah awak akan mengundi Hamas?''

Hadirin yang mengibarkan bendera hijau Hamas menjawab serentak: ``Ya kepada perubahan dan pembaharuan, kepada calon ahli Parlimen Hamas.''

Hamas terkenal di luar negara kerana puluhan serangan berani mati yang dilancarkan terhadap Israel serta komitmennya untuk menghancurkan negara Yahudi itu.

Namun pergerakan tersebut telah memenangi hati pengundi dengan memberi fokus kepada isu dalaman dan berjanji untuk membersihkan kerajaan dan mengembalikan ketenteraman di Gaza.

Kedudukan Fatah sebaliknya terjejas kerana dilanda pergolakan dan rasuah di kalangan anggotanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman menyeru seluruh umat Islam khususnya umat Islam Malaysia berdoa memohon Allah memberikan kemenangan kepada Hamas dalam pilihanraya tersebut.

Beliau seterusnya yakin bahawa Hamas akan memenangi pilihanraya tersebut jika ianya diadakan secara adil dan telus.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59