Saturday, 21 January 2006

DASAR BI: PELAJAR SAMAN KEMENTERIAN PELAJARAN


Di petik dari Malaysia Kini.

KUALA LUMPUR 21 JAN : Empat pelajar sekolah menengah di Perak menyaman Kementerian Pelajaran kerana membantah penggunaan Bahasa Inggeris sebagai pengantar mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah dan menengah.

Mohammad Shawwaal Mohd Nizar,14; Mohammad Fadzir Rosni, 15; Nor Najiha Muhaimin dan Syazaira Arham Yahya Ariff – kedua-duanya berusia 16 tahun – mengemukakan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi semalam.

Mohammad Syawwaal mengemukakan saman melalui bapanya Mohammad Nizar Jamaluddin; Mohammad Fadzil melalui bapanya Mohamed Rosni Abu Bakar; Nur Najihah Muhaiminmelalui bapanya Muhaimin Sulam dan pelajar tingkatan empat, Syazaira Arham Yahya Ariff, melalui bapanya Yahya Ariff Kamaruzzaman.

Mereka mengemukakan saman pemula itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah
Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di sini melalui Tetuan Mohamed Hanipa
dan Associates

Saman itu yang turut disertakan dengan afidavit daripada Mohammad Nizar, yang mewakili bapa semua pelajar berkenaan, juga memohon deklarasi bahawa responden tidak mempunyai kuasa dan budibicara untuk memperkenalkan,
menguatkuasakan dan melaksanakan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris seperti yang terkandung dalam Surat
Pekeliling Ikhtisas bertarikh 27 November 2002.

Bahasa pengantar

Mohammad Syawwaal ialah pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Tiga, Temoh,
Perak; Fadzil Nor, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Muda Abdul Aziz,
Sungai Siput, Perak; Mohamed Rosni, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
Seri Perak, Perak dan Syazaira Arham, pelajar di Madrasah Idrissiah, Bukit
Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Keempat-empat pelajar itu, yang tidak hadir di mahkamah, juga memohon kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. Hanya dua orang bapa iaitu Mohammad Nizar dan Yahya Ariff yang hadir hari ini mewakili empat pelajar itu.

Bercakap kepada wartawan, Peguam Mohamad Hanipa Maidin berkata, saman itu dibuat kerana penggunaan Bahasa Inggeris sebagai pengantar mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah bertentang dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Mengikut Seksyen 17 Akta Pendidikan Tahun 1956, Bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa pengantar dalam semua mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah di negara ini,” katanya.

Afidavit yang dikemukakan, menyebut, pada 27 November 2002 Kementerian Pelajaran dalam pekelilingnya mengatakan Bahasa Inggeris akan menjadi bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains mula sesi persekolahan tahun 2003.

Tambahnya, pekeliling itu dibahagikan kepada dua iaitu untuk sekolah rendah, menengah kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis kebangsaan Tamil (SRJKT) dan satu lagi khusus untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).

Pilihan terakhir

Menurutnya, wujud diskriminasi dalam arahan ini kerana murid sekolah rendah, menengah kebangsaan dan SRJKT diajar mata pelajaran Matematik dan Sains hanya dalam Bahasa Inggeris sedangkan untuk SRJKC, ia diajar dalam dua bahasa – Bahasa Inggeris dan Mandarin.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAS, Pusat Idris Ahmad yang hadir sama di majlis berkenaan berkata, proses undang-undang merupakan pilihan terakhir yang dilakukan oleh pihaknya.

“Setelah tiga tahun dasar itu dijalankan, ia semakin menimbulkan kecelaruan dalam dasar pendidikan negara terutama kepada murid di kawasan luar bandar.

“Pada mulanya, kami mengharapkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah mengubah semula dasar pengajaran kepada asal tetapi beliau juga tidak melakukannya,” katanya.

Idris berkata, kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati kira-kira 50 peratus murid tidak boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris.

Tujuan saman

Katanya, selain itu Kongres Kepentingan Bangsa dan badan pendidikan Cina, Dong Jiong Zong (DJZ) turut membantah penggunaan Bahasa Inggeris sebagai pengantar untuk mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah.

Sementara itu, bapa Mohd Syawal iaitu Mohd Nizal Jamaluddin berkata, anaknya mengambil tindakan tersebut untuk kepentingan murid Melayu pada masa depan.

“Kesan yang paling besar ialah kepada murid dari kawasan luar bandar kerana mereka tidak mempunyai peluang untuk mempelajari Bahasa Inggeris yang mencukupi seperti rakan mereka di bandar,” katanya.

Beliau berkata, mungkin pada masa ini kesannya belum dapat dilihat tetapi dalam masa beberapa tahun lagi ia dapat dirasai dengan begitu ketara.


MEMO PINDA PERKARA 121 (1A) DI TARIK BALIK


TERKINI















KUALA LUMPUR 21 JAN : Memo menteri-menteri bukan Islam berkenaan pindaan perkara 121 (1A) Perlembagaan negara di tarik balik menurut berita TV3 1.30 petang tadi.

Menurut laporan itu, 2 orang menteri yang terlibat ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Ong Ka Ting dan Menteri Tenaga, Air dan Perhubungan, Dato' Dr Lim Keng Yaik.

Penarikan balik memo itu mungkin sebagai tindakan dari reaksi PM yang menyatakan bahawa perkara 121 (1A) tersebut tidak akan di pinda. PM juga menyifatkan memo yang diserahkan kepada baru-baru ini juga adalah luar biasa.

Bagaimanapun Bernama pula melaporkan bahawa 5 dari 9 menteri kabinet bukan Islam telah menemui PM di kediamannya hari ini.

Menteri-menteri yang menemui PM itu ialah Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (Tenaga, Air dan Perhubungan,Datuk Seri Ong Ka Ting (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri S. Samy Vellu (Kerja Raya), Datuk Seri Chan Kong Choy (Pengangkutan)dan Datuk Dr Chua Soi Lek (Kesihatan).

Dr. Lim ketika ditemui berkata pertemuan selama 1 jam itu bermula pada pukul 9.00 pagi di Seri Perdana, Putrajaya di mana ianya diadakan atas permintaan beberapa menteri.

"Perbincangan adalah berkenaan dengan isu yang dibangkitkan di dalam memo dan PM memberikan beberapa nasihat" kata beliau kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatan Kuasa Pusat Parti Gerakan di Menara PGRM.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu apa yang dinyatakan oleh PM kepada mereka, beliau mungkin akan membuat kenyataan akhbar Ahad ini selepas mengambil pandangan pemimpin gerakan lain.

"Ini adalah suatu isu yang kompleks dan sensitif di mana kami mesti menanganinya dengan cermat".

"Jangan tanya saya apa nasihat yang PM beri, jangan tanya saya apa yang ada dalam memo tersebut, jangan tanya saya tentang kenyataan akhbar yang akan dibuat, tunggu Ahad ini" kata beliau.

Rabu lepas, semasa mesyuarat kabinet, Presiden MCA, Ong Ka Ting menyerahkan memo kepada PM di mana ia dilaporkan sebagai gesaan untuk mengkaji semula undang-undang berkenaan berkenaan dengan pertukaran agama.


TUTUP DISKO DI CHINA : KERAJAAN MALAYSIA SEPATUTNYA MALU KEPADA PIHAK BERKUASA CHINA


BUKIT KATIL 21 JAN : Kerajaan Islam Hadhari Malaysia sepatutnya malu kepada pihak berkuasa di bandar raya Shenzhen, selatan China, yang berusaha bersungguh untuk menghapuskan gejala sosial dan maksiat.

Media hari ini melaporkan bahawa pihak berkuasa bandar raya tersebut menempatkan beribu-ribu anggota polis bersenjata untuk menamatkan bantahan lebih 3,000 orang berhubung penutupan rumah urut dan disko yang menyebabkan ramai kehilangan mata pencarian.

Bantahan berlaku di luar pejabat kerajaan di Shenzen kelmarin selepas polis menutup berpuluh-puluh pusat hiburan dan rumah urut dalam kempen pembersihan, lapor akhbar Hong Kong, Ming Po dan beberapa media lain.

Laporan mengenai bantahan berkebetulan dengan laporan Kementerian Rahsia Awam mengenai peningkatan bilangan gangguan awam - memberi tumpuan kepada kesungguhan China mengekang ketidakstabilan sosial dan bantahan memuncak berhubung rasuah, pencemaran dan masalah lain.

Bilangan kes gangguan awam di China bertambah kepada 87,000 tahun lalu, menurut laporan, meningkat 6.6 peratus daripada 81,600 tahun sebelumnya.

Laporan Ming Po menyebut, polis menuduh kumpulan penjenayah terancang, yang selalu terbabit dalam mengendalikan tempat hiburan dan rumah urut, kerap membawa kepada pelacuran, menghasut bantahan diadakan.

Menurut laporan, bilangan penunjuk perasaan ialah antara 3,000 hingga 5,000 dan bilangan polis antara 5,000 hingga 7,000.

Laporan South China Morning Post pula menyebut, jalan raya berhampiran ditutup apabila kedua-dua pihak bersemuka.

Menurut Ming Po, 1,000 orang dibawa di dalam beberapa bas menuju ke balai polis untuk soal siasat sebelum dibebaskan. Di kalangan mereka, 25 ditahan secara rasmi.

Shenzhen, bandar raya meningkat maju yang bersempadan dengan Hong Kong, sekian lama dikenali kerana kadar jenayah tinggi dan industri seks – satu reputasi yang bertentangan dengan usaha kerajaan menggambarkan ia sebagai industri berteknologi tinggi China.

Polis, pasukan bomba dan pegawai ‘pengurusan kebudayaan’ menutup lebih 100 disko dan kelab malam di daerah Shazuicun di bandar raya itu Rabu lalu dengan menuduh mereka tidak mempunyai lesen atau gagal mematuhi kod kebakaran, menurut laporan.

Polis tempatan mengesahkan serbuan itu tetapi berkata tidak tahu mengenai bantahan yang dilaporkan

Di saat pihak berkuasa China yang tidak beragama Islam menutup disko, kerajaan Islam Hadhari tidak mengambil langkah serupa malah menggalakkan program-program maksiat seperti konsert, pertandingan nyanyian dan program-program yang menjurus kepada pergaulan lelaki dan wanita.

Malah baru-baru ini usaha pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menubuhkan Skuad Sukarela MAIWP yang bertujuan untuk mengadakan kempen dan kegiatan bagi mengelakkan remaja terbabit dengan gejala sosial seperti dadah serta membantu mangsa bencana alam tidak dibenarkan oleh kabinet. Di mana kabinet telah mengarahkan skuad tersebut dibubarkan.

Inilah Islam Hadhari. Pihak berkuasa China lebih faham tentang bahaya disko dan kelab malam dari Pak Lah dan suku-sakatnya.


DPP BUKIT KATIL BIDAS RAFIDAH


BUKIT KATIL 21 Jan. - DPP Bukit Katil kesal dengan kenyataan Datuk Seri Rafidah Aziz yang disiarkan di dalam media hari ini. Dalam laporan itu Ketua Pergerakan Wanita Umno itu berkata, tindakan sembilan menteri Kabinet bukan Islam mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri supaya menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama sebagai wajar.

Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu tidak menganggap tindakan tersebut sebagai satu tekanan atau ugutan sebaliknya usaha `rakan-rakan Kabinet' mewakili pendapat dan pemikiran orang bukan Islam.

``Tak apa... yang pentingnya memorandum itu sampai (kepada Perdana Menteri). Pada saya tidak jadi masalah kerana menteri Kabinet itu mewakili perasaan orang bukan Islam.

``Pada saya mereka objektif dan sebagai anggota Kabinet, mereka merasakan wajar konstruktif dalam hal ini.'itu komen beliau ketika diminta mengulas isu tersebut.

Pada pendapatnya, kebimbangan yang dibangkitkan oleh menteri Kabinet bukan Islam itu sama dirasai oleh orang Islam juga.

``Pada pendapat saya, rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan pandangan membina.

``Saya bukan peguam tetapi dari segi prinsipnya kena betulkan kalau ada salah tafsir supaya masyarakat tidak keliru dan tidak ada tafsiran salah demi kepentingan rakyat,'' tambahnya.

Ditanya adakah ini bermakna pergerakan itu sedia menyokong pindaan Perlembagaan seperti dicadangkan dalam memorandum tersebut, Rafidah berkata, perkara itu tidak dibincangkan.

Bagaimanapun, menurutnya: ``Kerajaan sudah mengatakan akan kaji, jadi kita menyokong kajian itu dibuat supaya tidak ada lagi kekeliruan atau percanggahan, antara bidang kuasa siapa hendak menentukan seseorang itu Islam dan siapa pula yang hendak buat susulan.''

Baginya, Wanita UMNO menerima pandangan bahawa pindaan adalah wajar supaya penentuan dibuat tentang prosedur yang berkenaan.

"Berdasarkan laporan di atas DPP Kawasan Bukit Katil berasa amat kesal dan meminta Rafidah supaya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan media. Kita lihat Rafidah ini langsung tidak mengambil kira kedaulatan Islam dan sensitiviti umat Islam negara ini" bidas Timbalan Ketua DPP Kawasan Ustaz Abu Bakar Ramli yang juga merupakan Ketua Urusan Ulama Kawasan Bukit Katil.

"Rakyat beragama Islam terutama ahli Umno sepatutnya bijak menilai pemimpin seperti Rafidah ini. Orang seperti seharusnya tidak dipilih sebagai pemimpin kerajaan atau pemimpin Umno" tambah Uztaz Bakar lagi.


ISU PINDAAN PERKARA 121 (1A) : DPP KAWASAN BUKIT KATIL SAMBUT BAIK KEPUTUSAN PAK LAH


KUALA LUMPUR 21 Jan. - DPP Kawasan Bukit Katil menyambut baik keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bahawa menegaskan bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak akan dipinda.

"Keputusan ini amat melegakan kita semua kerana ianya jelas akan tetap menjamin kedaulatan Mahkamah Syariah dalam hal-hal berkaitan agama Islam" tegas Setiausaha DPP Kawasan, Khairuddin Ismail ketika diminta mengulas tentang perkembangan ini.

Perdana Menteri menyifatkan perbuatan sembilan menteri Kabinetnya menghantar memorandum supaya dipinda perkara itu sebagai `luar biasa'.

Katanya, dengan keputusan ini bermakna kedua-dua mahkamah berkenaan kekal dengan fungsi masing-masing dan tidak timbul untuk menjadikan Mahkamah Sivil mempunyai kuasa lebih tinggi daripada Mahkamah Syariah.

``(Kedua-dua mahkamah) itu adalah dua cabang mahkamah yang berlainan, ia tidak akan menghapuskan mana-mana satu.

``Peruntukan dalam perlembagaan jelas menyatakan bidang kuasa masing-masing serta tidak ada kekeliruan mengenai perkara itu,'' katanya.

Beliau mengulas tindakan sembilan menteri Kabinet bukan Islam yang mengemukakan memorandum bersama kepadanya yang meminta beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Memorandum itu ditandatangani oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Lim Keng Yaik, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok.

Yang lain ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn; Menteri Kesihatan Datuk Dr. Chua Soi Lek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Maximus Ongkili dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin Fah Kui.

Perkara 121 (1A) menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Isu membabitkan perkara itu timbul berikutan kematian pendaki Everest Sarjan M.Moorthy atau Muhammad Abdullah apabila balunya, S.Kaliammal, dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) terlibat dalam perebutan untuk mengebumikan jenazah beliau. Jawi menuntut jenazah itu setelah mendapati Moorthy telah memeluk agama Islam.

Moorthy yang meninggal dunia pada 20 Disember lalu akhirnya dikebumikan oleh Jawi pada 28 Disember berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bahawa beliau adalah seorang Islam, manakala Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan berikutan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pihak.

Ketika ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang mahu Mahkamah Sivil mempunyai kuasa lebih tinggi daripada Mahkamah Syariah tegas Abdullah, perkara itu tidak harus ditimbulkan.

``Mahkamah Syariah adalah Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil adalah Mahkamah Sivil, sudah ada pengagihan tugas dan tanggungjawab,'' katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu Perkara 121 (1A), Abdullah menegaskan, beliau tidak merujuk kepada isu itu semasa membuat ulasan sebelum ini.

Tegasnya, apa yang dimaksudkan beliau kalau ada undang-undang yang menimbulkan kesusahan atau salah interpretasi atau sebagainya maka perlu dilihat sama ada wajar atau tidak dibuat pindaan.

``Itu saja saya kata, saya tidak secara spesifik merujuk mana-mana undang-undang.

``Saya tidak menyatakan apa-apa pindaan kepada peruntukan yang ada di dalam Perkara 121 (1A) (tetapi) nampaknya ia dijadikan perkara yang mendapat macam-macam pandangan (sehingga) adanya (pandangan menyatakan) perlu dipinda.

``Pada saya perlembagaan itu tidak perlu dipinda. Mungkin ada undang-undang lain tetapi yang ada dalam perlembagaan itu tidak perlu dipinda,'' tegasnya.

Ditanya sekali lagi apakah di masa akan datang perlembagaan tersebut perlu dipinda, Abdullah dengan nada tegas menyatakan, ``tidak harus dan tidak mungkin dipinda.''

Ditanya apakah pilihan yang ada jika Perkara 121 (1A) tidak dipinda, Abdullah berkata, kalau ada undang-undang lain yang berkaitan dengannya yang perlu dipertimbangkan untuk dipinda, itu boleh dipertimbangkan tetapi peruntukan 121 (1A) tidak harus dipinda.

Sementara itu pada petang semalam kira-kira 700 orang berarak dari Masjid negara ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam membantah pindan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang dikatakan menafikan hak Mahkamah Syariah dan hak orang Islam.

Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh PAS itu turut disertai beberapa Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).

Hadir sama ialah, Naib Presiden PAS, Haji Muhammad Sabu; Ahli Majlis Tertinggi PKR, Haji Abdul Rahman Othman; AJK PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar; Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Dr Zulkifli Ahmad dan beberapa pimpinan Pemuda PAS.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob, PAS melahirkan rasa kesal dan bimbang di atas cubaan pihak tertentu termasuk 10 menteri kabinet bukan Islam yang turut cuba mempertikai perkara 121 (1A).

"Ini hak umat Islam.121 (1A) telah dipersetujui.Ia diwujudkan pada tahun 1988 bagi menjaga hak umat Islam, jadi bukan Islam tidak perlu mempertikaikannya.

"Jika mereka mahu menegakkan hak mereka, mereka boleh cadangkan satu akta baru bagi melindungi hak agama mereka," katanya.

Sementara itu di pihak Suhakam, Professor Dato' Hamdan Adnan pula berkata, pihaknya menerima memorandum yang dikemuka PAS itu.

Beliau juga berjanji akan membawanya dalam satu mesyuarat khas Pesuruhjaya Suhakam Isnin ini.

Terdahulu sebelum itu pda jam 11.00 pagi, kira-kira 150 mhasiswa Islam berkumpul di hadapan Mahkamah Syariah sambil melaungkan bantahan ke atas pindaan Perkara 121 (1A) perlembagaan Persekutuan.

Bantahan itu dibuat atas nama Gabungan Persatuan-persatuan Mahasiswa Islam yang mana tiga pertubuhan utama mahasiswa Islam terlibat iaitu, Gagasan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Karisma.

Gambar Ihsan : Harakahdaily


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59