KUALA LUMPUR 20 JAN : Akibat malu dituduh sebagai lemah dan tidak tegas, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini terpaksa membuat kenyataan akhbar menjelaskan bahawa keputusan untuk menarik balik kebenaran para pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah adalah keputusan beliau dan bukannya arahan Jemaah Menteri.
Akhbar arus perdana semalam melaporkan Jemaah Menteri mengarahkan supaya kebenaran untuk pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah ditarik balik.
Menurut laporan itu lagi, keputusan Jemaah Menteri itu dibuat atas kebimbangan bahawa pelajar akan menyalahgunakan kemudahan tersebut. Menurut Hishammuddin, larangan yang berkuatkuasa serta-merta itu meliputi semua sekolah termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
"Saya telah membuat keputusan untuk menarik balik kebenaran menggunakan telefon bimbit di sekolah' tegas Hishamuddin.
"Saya nak tekankan di sini bahawa ini bukan merupakan arahan daripada Jemaah Menteri malah, perkara ini tidak dibincangkan langsung di dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian di Kuala Lumpur hari ini.
Nampak jelas Hishamuddin tertekan dengan tuduhan yang dilemparkan oleh ramai pihak bahawa Hishamuddin adalah seorang menteri yang tidak berkeupayaan sehingga perkara sekecil itupun gagal ditanganinya dengan professional.
Semalam AJK PAS Pusat Mahfuz Omar melalui Harakahdaily, menggesa Perdana Menteri menggantikan Hishamuddin dengan tokoh lain berikutan kegagalan Menteri Pelajaran itu mengendalikan isu telefon bimbit di sekolah padahal isu itu terlalu mudah.
"Isu ini terlalu mudah...pelajar tidak wajar sama sekali membawa telefon bimbit ke sekolah, tetapi isu semudah ini gagal difahami oleh Kementerian Pelajaran," kata Mahfuz Omar.
Bagi beliau, langkah Kabinet mengarahkan kebenaran penggunaan telefon bimbit oleh pelajar sekolah ditarik balik membuktikan sikap gelojoh Kementerian Pelajaran kerana melaksanakan sesuatu tanpa kajian terperinci.
Baginya, tanpa desakan pelbagai pihak beliau yakin Kementerian Pelajaran tetap melaksanakan walaupun tiada kajian dibuat terlebih dahulu.
"Telefon bimbit tidak wajar dibenarkan ke sekolah kerana ia akan menghilangkan tumpuan pelajar sekaligus meningkatkan bebanan guru apabila terpaksa menyediakan tempat khas bagi memastikan telefon pelajar tidak hilang atau disalahgunakan, " jelas Mahfuz mengulas tindakan terbaru Kabinet semalam.
Hishammuddin juga berkata berikutan penarikan balik kebenaran tersebut, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.11/2005 bertarikh 23 Disember 2005 yang membenarkan penggunaan telefon bimbit oleh murid sekolah, dibatalkan.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan kebimbangan banyak pihak terutama ibu bapa dan guru yang belum bersedia membenarkan alat komunikasi itu digunakan oleh pelajar di sekolah.
"Kebimbangan datang daripada banyak pihak dan ia berbeza, ada yang berhubungkait dengan suasana sekolah dan juga daripada guru bagi memastikan garis panduan (mengenai penggunaan telefon bimbit) dipatuhi.
"Dalam keadaan sebegitu rupa, jika saya teruskan, jelas, ia tidak akan berjaya bagi memastikan garis panduan itu dipatuhi. Jika tidak mendapat sokongan majoriti, maka ia tidak akan menjadi kenyataan," katanya.
Beliau berkata, surat pekeliling berhubung perkara itu akan dikeluarkan secepat mungkin.
Keputusan menarik balik penggunaan telefon bimbit di sekolah ini jelas menunjukkan keputusan awal sebelum ini dibuat tanpa kajian yang mendalam sehingga akhirnya ia menampakkan menteri tersebut sebagai lemah dan tidak tegas.