Thursday, 19 January 2006

AYUH KITA KE MASJID NEGARA


Roslan SMS menulis.......Kita semua mendaulatkan undang-undang. Kerana merasakan terdapat ancaman terhadap Perkara 121 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kewibawaan dan status mahkamah syariah, oleh pihak-pihak tertentu, maka kita semua perlu bangun mempertahankan Islam dengan cara menyuarakan protes secara aman yang dijamin haknya oleh Perlembagaan Malaysia.

Saya difahamkan Dewan Pemuda PAS, akan menganjurkan satu demonstrasi aman di perkarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat esok 20 Januari 2006. Pakatan Mahasiswa Islam juga akan berkumpul dengan maksud yang sama.

Saudara-saudara semua ayuh kita keluar beramai-ramai menunjukkan sikap dan pendirian kita pula. Sebelum ini laporan-laporan akhbar (terutama yang bukan berbahasa Melayu) menyebut banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan terhadap kes Allahyarham Sarjan Mohammad Abdullah a.k.a Moorthy lantas menuntut agar Perkara 121 (1)(A) itu dipinda. Insyallah hari Jumaat ini kita tunjukkan bahawa yang tidak berpuas hati itu sebenarnya adalah kecil berbanding dengan suara kita umat Islam yang prihatin!

Ayuh badan-badan NGO Islam/Melayu yang lain, ayuh ahli-ahli parti-parti politik Melayu Islam khasnya PAS dan Umno, ayuh umat Islam yang masih mempunyai maruah, ayuh kita keluar tanpa memikirkan kepentingan dan fahaman politik, kita keluar kerana mempertahankan Allah dan Rasul Nya.

Saya yakin anggota-anggota polis akan dikerahkan mengawal keadaan, maka saya juga merayu kepada mereka yang pada logo PDRM itu tersemat kalimah Allah dan Muhammad, benarkanlah perhimpunan aman ini berjalan tanpa gangguan, kerana sesungguhnya tidak ada sebab lain perhimpunan ini melainkan memartabatkan Allah dan Rasul itu jua.

Dalam keadaan Islam diserang dari setiap penjuru, mahkamah syariah dianggap tidak mampu membawa keadilan, maka wajarlah kita menyatakan bantahan kita secara terbuka mudah-mudahan masyarakat bukan Islam akan mengerti risiko yang mereka bakal tanggung kiranya Islam it uterus dipermain-mainkan.

Saya harap perhimpunan ini kelak tidak sekadar menghimpunkan orang-orang PAS. Saya harap kalau Pemuda PAS boleh hadir maka Pemuda dan Putera Umno juga perlu hadir. Jika ABIM, JIM, Persatuan Ulamak dan lain-lain wakil NGO Islam/Melayu boleh hadir maka tidak ada sebab GPMS, Persatuan Masjid, Surau, Dewan Perniagaan Melayu, PEKIDA, Persatuan India Muslim, Persatuan-persatuan Kebajikan dan lain-lain tidak boleh hadir.

Insyallah dengan kehadiran kita ini mudah-mudahan semua pihak akan menghormati kedudukan Islam dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan masyarakat Malaysia yan lain dapat menghormati dan memahami sensitiviti umat Islam sebagaimana umat Islam selama ini menghormati dan memberi ruang kepada mereka.

Cinta Islam ayuh ke Masjid Negara!

(Pengunjung BLOG ini wajarlah semua sekali berada di sana kecuali sahabat-sahabat kita yang di luar negara)


APA MUSLIHAT MEDIA TIDAK SIARKAN BERITA 10 MENTERI BUKAN ISLAM HANTAR MEMO KEPADA PM



KUALA LUMPUR 19 JAN : Hari ini cuma akhbar Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Daily sahaja yang menyiarkan berita bahawa sepuluh menteri kabinet bukan Islam telah menghantar satu memoradum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berhubung masalah perundangan yang timbul apabila seorang bukan Islam bertukar agama dengan memeluk Islam.

Media berbahasa melayu samada media elektronik atau cetak langsung tidak menyentuh isu ini.

Isu besar seperti ini tidak sepatutnya disembunyikan oleh media terbabit. Kita yakin bahawa ada agenda tersembunyi yang menyebabkan isu ini cuba disorokkan.

Menurut laporan kedua-dua akhbar berbahasa Mandarin itu, difahamkan bahawa memorandum ini turut mencadangkan beberapa langkah, termasuk bagaimana hendak menguruskan masalah-masalah perundangan yang timbul selepas bukan Islam memeluk Islam.

Difahamkan juga memorandum ini meminta supaya diperjelaskan kekeliruan dalam undang-udang masakini, terutama dalam soal mahkamah sivil tidak boleh mencampuri keputusan mahkamah Syariah dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap hak dan kepentingan bukan Islam.

Memorandum itu juga menyentuh tentang keadaan apabila ada pasangan yang salah seorang daripadanya telah memeluk Islam tetapi tidak memaklumkan kepada pasangannya dan menimbul persoalan sama ada generasi keluarga itu seterusnya secara automatik telah bertukar agama kepada Islam

Difahamkan juga bahawa memorandum ini dirangka oleh MCA dan dibincang dan dipersetujui oleh sepuluh orang menteri kabinet bukan Islam untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.

Difahamkan juga, MCA telahpun menghantar satu memorandum kepada kerajaan pada tahun lalu mengenai soal bukan Islam bertukar agama kepada Islam dan masalah yang timbul berikut daripada itu.

Memorandum semalam adalah lanjut daripada memorandum yang dihantar oleh MCA – parti komponen kedua terbesar selepas Umno dalam Barisan Nasional (BN) – yang dihantar tahun lalu itu.

Kekeliruan mengenai perkara tersebut tercetus selepas kematian wira Everest M Moorthy yang meninggal dunia pada 20 Disember lalu apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mendakwa dia telahpun memeluk agama Islam, atas nama Muhammad Abdullah.

Berikutan itu berlaku perebutan mayatnya antara pihak Jawi dan keluarga Moorthy yang mendakwa dia penganut agama Hindu dan mahu mensemadikan mayatnya mengikut agama tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan bahawa Moorthy seorang Islam dan berikutan itu jenazahnya telah dikebumikan secara Islam.

Berikutan itu, beberapa pihak telah mendesak kerajaan supaya meminda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi hak bukan Islam di negara ini.

Isteri Moorthy, S Kaliammal telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Moorthy adalah seorang penganut agama Hindu dan hendaklah disemadikan mengikut agama tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah tersebut memutuskan pihak ia tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut dan keputusan mahkamah Syariah berhubung perkara tersebut.

Dari laporan di atas kita tahu bahawa kempen untuk meminda perkara 121 (A) perlembagaan negara ini telah lama di lakukan oleh pihak tertentu. Isu Allahyarham Mohamad Abdullah yang berlaku baru-baru ini seolah-olah memberikan suntikan semangat baru kepada puak-puak ini untuk mendesak PM meminda perlembagan negara yang telah lama di terimapakai.

Adalah diharapkan rakyat Malaysia beragama Islam bangkit untuk mempertahankan perkara 121 (A) perlembagaan negara ini. Kita menggesa PM supaya tidak tunduk kepada desakan menteri-menteri bukan Islam ini.

Sumber berita dari Malaysiakini.


KERAJAAN ISLAM HADHARI TIDAK RESTUI HASRAT JAWI UNTUK PERKUATKAN LANGKAH PEMANTAUAN KEGIATAN MAKSIAT


PUTRAJAYA 19 JAN : Keputusan kabinet semalam yang menolak penubuhan Skuad Sukarelawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baru dilancarkan di sini jelas menampakkan bahawa kerajaan Islam Hadhari sememangnya tidak memandang langkah pencegahan kegiatan maksiat sebagai penting.

Keputusan itu diambil selepas jemaah menteri berpendapat undang-undang sedia ada dan pemantauan pasukan penguat kuasa jabatan agama serta agensi lain sudah mencukupi menangani masalah moral rakyat dan isu keselamatan lain.

Apa yang menghairankan kita adalah kerajaan seringkali menyatakan bahawa bilangan penguatkuasa di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan mencukupi sedangkan Jabatan Agama negeri-negeri sering memberikan alasan bahawa mereka tidak cukup kakitangan untuk menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan ini.

Sebagai contoh di Pulau Pinang, bilangan pegawai penguatkuasa adalah 15 orang sahaja sedangkan mereka terpaksa menjaga satu negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (gambar), berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan yang sama diambil berhubung penubuhan Pasukan Gerak Khas 4B atau Unit Khas Mat Skodeng di Melaka, tahun lalu.

Mwnurut Radzi kabinet tidak bersetuju dengan perbuatan mengintip dan kita tidak mahu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan perkara sama. Tindakan itu boleh dianggap mencabuli hak asasi manusia.

Hujah kabinet ini samalah dengan hujah orang kafir dan pelaku-pelaku maksiat yang sering menjadikan hak asasi manusia sebagai alasan mereka untuk melakukan maksiat. Hujah ini samalah dengan hujah golongan Sisters In Islam(SIS)dan Suruhanjaya Antara Agama (IFC). Jadi sudah jelas kepada kita bahawa kepada otak pemimpin Islam Hadhari samalah dengan SIS dan IFC.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Agama Wilayah (Jawi) Che Mat Che Ali dilaporkan berkata, skuad itu walaupun tidak diberi kuasa menahan mereka disyaki melakukan kesalahan atau maksiat, akan membantu penguat kuasa Jawi yang ditugaskan meronda serta memberi risikan.

Buat permulaan, 75 anggota terdiri daripada wakil surau, kakitangan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan menyertai Skuad Sukarelawan MAIWP Putrajaya.

Mac tahun lalu, Unit Khas Mat Skodeng yang ditubuhkan kerajaan Melaka bagi membantu menangani gejala sosial dan jenayah di negeri itu, turut mencetuskan kontroversi dan berikutan itu Kabinet mengarahkan badan itu dibubarkan.

Badan Amal Makruf Nahi Mungkar (Badar) yang diperkenalkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 1996 bagi mencegah perbuatan maksiat juga dibubarkan pada Jun 1998 berikutan beberapa insiden penyalahgunaan kuasa di kalangan anggotanya.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata jemaah menteri terkejut dengan langkah Jawi menubuhkan skuad itu kerana beberapa bulan lalu Kabinet sudah membuat keputusan tegas mengenai perkara sama.

“Ini adalah tugas polis dan jabatan agama untuk menguatkuasakannya, bukan kerja orang yang tidak dilatih atau sukarelawan,” katanya.

Inilah mentaliti sebenar pemimpin-pemimpin Islam Hadhari yang faham bahawa kerja-kerja mencegah maksiat ini hanyalah tugas polis dan jabatan agama. Sedangkan di dalam Islam mencegah maksiat ini adalah tanggungjawab semua orang Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin yang ketika ini berada di Makkah, berkata beliau akan mendapatkan penjelasan pegawainya berhubung keputusan Kabinet itu.

"Saya perlu baca dulu apakah keputusan yang dibuat Kabinet. Saya baru mendapat tahu mengenai penolakan penubuhan skuad sukarelawan itu daripada anda. Sebaik saja saya pulang ke Malaysia, saya akan minta penjelasan daripada pegawai mengenai perkembangan terbaru itu," katanya ketika dihubungi dari sini.

Che Mat ketika dihubungi semalam pula menjelaskan Skuad Sukarela MAIWP bukan pasukan pengintip kegiatan maksiat.

"Skuad yang ditubuhkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ini hanya ada dua objektif, iaitu mengadakan kempen dan kegiatan bagi mengelakkan remaja terbabit dengan gejala sosial seperti dadah serta membantu mangsa bencana alam.

"Anggota skuad akan membantu mereka yang ditimpa malapetaka seperti yang dilakukan terhadap mangsa kebakaran di Kampung Kerinchi, baru-baru. Ini bukan skuad skodeng," katanya.

Che Mat yang juga Setiausaha MAIWP berkata, Skuad Sukarelawan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengatur strategi menangani masalah sosial terutama di kalangan remaja.

"Hasrat kita adalah untuk membuat program kerjasama bagi mengembalikan remaja yang hanyut ke pangkal jalan," katanya.

Kita seringkali melihat bahawa apa juga usaha untuk menangani gejala sosial dan maksiat ini tidak mendapat sokongan dari kerajaan Islam Hadhari. Malah mereka bukan sahaja tidak menyokong bahkan menghalang usaha tersebut. Lebih malang lagi pada masa yang sama kerajaan Islam Hadhari ini pula menaja dan menyokong sebarang program-program menggalakkan maksiat seperti konsert, pertandingan nyayian dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua DPP Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman menggesa seluruh rakyat Malaysia Umno supaya jangan bersekongkol dengan kerajaan Islam Hadhari yang jelas lebih cenderung menganjur dan menggalakkan program maksiat.

"Andaikata kita semua terus memberikan sokongan kepada kerajaan Islam Hadhari ini kita takut dosa mereka akan kita kongsi bersama" jelas Hj Salamat.

"Oleh itu mereka ini mesti ditolak dalam pilihanraya umum 2007/2008 akan datang" jelas Hj Salamat yang juga merupakan Bendahari DPP Negeri Melaka.


APA JADI DENGAN KERAJAAN NEGERI MAJU SELANGOR


BUKIT KATIL 19 JAN : Kebelakangan ini satu demi satu kelemahan kerajaan negeri Selangor didedahkan media terutama TV3. Malam tadi TV3 mendedahkan bahawa satu projek pembinaan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah didirikan di satu kawasan di sekitar penempatan orang asli iaitu Kg Gerachi, tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri. Kem itu telah hampir siap sepenuhnya tetapi kini ianya terbiar dan bangunannya telah rosak.

Projek tersebut diusahakan oleh Koperasi Orang Asli dan sebuah Syarikat Swasta di atas sekeping tanah tanah kawasan tadahan hujan. Apa yang menghairankan kita ialah mengapa kerajaan negeri melalui agensinya serta Pejabat Daerah tidak sedar sehingga kem itu telah siap didirikan. Kejadian ini menampakkan kelemahan ketara kerajaan negeri dalam langkah penguatkuasaannya.

Malam tadi juga TV3 mendedahkan kelemahan agensi penguatkuasaan kerajaan tempatan di apabila tanah persediaan di sekitar Sg. Long telah diceroboh oleh syarikat pelupusan sampah. Menurut tuan tanah, aduan telah di buat beberapa kali sebelum ini tetapi tiada tindakan di ambil.

Sebelum itu isu lesen balak di kawasan hutan di Hulu Langat didedahkan kepada TV3.

Menteri Besar, Dato' Seri Khir Toyo dalam laporan itu mengakui kelemahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan beliau akan mengarahkan PBT untuk menghantar kakitangannya untuk berkursus bagi meningkatkan kecekapan masing-masing.


TEMPAT CERAMAH MAT SABU BERTUKAR.


BUKIT KATIL 19 JAN : Ceramah Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu yang dijadualkan pada 25 Jan ini bertukat tempat dari Markaz PAS Paya Dalam ke Markaz PAS Solok Gaung.

Pengarah Majlis Tindakan Dun Ayer Molek, Jaafar Ahmad memberitahu blog ini bahawa pihak penganjur terpaksa membuat pertukaran tempat kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sementara itu pada sebelah petang iatu jam 3.00 petang, 25 Jan tersebut Hj Mohamad Sabu akan menghadiri jamuan hi-tea dan akan menyampaikan ceramah motivasi pilihanraya di Markaz PAS Bukit Baru.


ISU NUKLEAR : IRAN BERI AMARAN KEPADA BARAT


BERLIN 19 JAN : Kempen berterusan barat untuk menghentikan program nuklear Iran tidak menampakkan kesan kerana Iran tetap tegas dengan pendiriannya bahawa program nuklear mereka bukan bertujuan untuk ketenteraan.

Semalam Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki memberi amaran kepada negara Britain, Perancis dan Jerman yang giat berusaha untuk membawa kes Iran ke PBB di New York, supaya jangan mengambil langkah tergesa-gesa. Beliau berharap Eropah memahami mesej Iran yang sangat jelas dan berterus terang.

Mottaki juga yakin negaranya tidak akan dirujuk kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung program nuklearnya yang mencetuskan kontroversi.

``Dengan mengambil kira konteks semasa, kemungkinan kes Iran dibawa kepada Majlis Keselamatan adalah tipis,'' kata beliau menurut laporan agensi berita rasmi IRNA semalam.

Seorang lagi pegawai Iran turut mengulangi ugutan bahawa sekiranya Iran dirujuk kepada Majlis Keselamatan, pemeriksa PBB pada IAEA tidak lagi akan dibenarkan memasuki kemudahan nuklear Iran.

Sementara itu jurucakap keselamatan Iran menyatakan bahawa negaranya akan menyambung semula kerja penulenan uranium yang dibekukan buat masa ini.Penulenan uranium menghasilkan sumber tenaga untuk reaktor nuklear tetapi boleh diperluaskan untuk dijadikan teras senjata nuklear.

``Jika kes kami dibawa kepada Majlis Keselamatan, sama ada sebagai satu amaran atau untuk menambah kuasa ketua IAEA atau memutuskan sekatan, kerajaan Iran tidak lagi akan membekukan aktiviti nuklear,'' tegas Hossein.

Katanya, Iran juga akan menghentikan pelaksanaan protokol tambahan kepada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) yang memberi kebebasan kepada pemeriksa IAEA dalam menjalankan siasatan.

``Ini bermakna kerjasama kami dengan IAEA akan dikurangkan dan agensi itu tidak mahu perkara ini berlaku,'' tegas Hossein.

Presiden PAS dalam suratnya kepada kerajaan Iran sebelum ini menyatakan sokongan kepada program nuklear Iran yang jelas tidak digunakan untuk tujuan ketenteraan.


SNUKER DIBENARKAN DI KELANTAN DENGAN SYARAT TIADA UNSUR JUDI DAN PERGAULAN BEBAS


KOTA BHARU 19 Jan. - Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mengumumkan bahawa permainan snuker dan biliard dibenarkan oleh kerajaan negeri secara bersyarat.

Di antara syarat-syaratnya ialah perlu wujud pengasingan antara lelaki dan perempuan, tiada unsur-unsur perjudian dan waktu operasi antara jam 10 pagi hingga 11 malam. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, langkah menarik balik larangan tersebut dibuat selaras dengan usaha dakwah secara berhikmah yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Dewan Pemuda PAS Kawasan menyokong penuh keputusan kerajaan negeri Kelantan ini kerana sebenarnya snuker dan billiard adalah sama seperti sukan lain yang sepatutnya tidak dikaitkan dengan unsur perjudian.

"Sukan lain pun kalau ianya dikaitkan dengan judi juga mesti diharamkan. Bolasepak juga sering dikaitkan dengan judi iaitu bertaruh dan sebagainya" ujar Khairuddin Ismail Setiausaha DPP Kawasan yang dihubungi pagi ini.

"Kita mengharapkan kerajaan negeri dapat mengawal permainan ini supaya tanggapan orang ramai yang sukan ini sering dikaitkan dengan judi dan maksiat adalah tidak benar" tambah Khairuddin lagi yang juga merupakan AJK PAS Kawasan Bukit Katil.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59