BUKIT KATIL 18 JAN : Sampai bilakah umat Islam di Malaysia akan dipermainkan?. Persoalan ini berlegar-legar di fikiran kita berikutan beberapa peristiwa yang menunjukkan mereka dipermain-mainkan.
Seminggu dua ini heboh diperkatakan bahawa ada pihak-pihak tertentu yang sedang berusaha untuk meminda perkara 121 (A) perlembagaan negara yang dikatakan tidak adil kepada orang bukan Islam di Malaysia.
Selepas riuh pula satu negara pasal ayam Dinding yang dikatakan tidak di proses mengikut cara Islam. Semalam timbul pula cerita ikan air tawar jenis patin, tilapia dan keli Afrika ternakan kolam yang didapati menggunakan daging babi dan isi perut ayam sebagai bahan makanan.
"Ikan yang diternak seperti itu haram hukumnya jadi orang ramai perlu memastikan ikan air tawar yang dibeli atau dimakan adalah dari kolam yang tidak mengamalkan perbuatan seperti itu," kata Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP), Jamry Sury.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi memeriksa tiga pusat ternakan ikan air tawar di Tronoh, Papan dan Batu Gajah di Perak, yang didapati menggunakan rebusan daging babi, sisa ayam dan tahi ayam sebagai bahan makanan utama ikan yang diternak.
"Masalahnya ialah kita tidak dapat bertindak terhadap penternak terbabit. Kita hanya boleh memeriksa dan memantau serta mengeluarkan nasihat kepada orang ramai supaya menghindari ikan yang dikeluarkan oleh penternak ini," katanya.
Jamry berkata, siasatan mendapati ikan patin yang dikeluarkan oleh tiga pengusaha terbabit turut dieksport dan dibekalkan ke pasaran tempatan, terutama di Pahang kerana harga ikan patin di negeri itu lebih mahal.
Katanya, maklumat yang diperolehi mendapati pengusaha terbabit membekalkan ikan patin ke Pahang untuk diternak semula di dalam sungai selama sebulan bagi menghilangkan baunya sebelum dipasarkan ke restoran ikan sungai yang terkenal di negeri itu.
Ternak secara haram
Menurut laporan Bernama, Jamry berkata, kolam ternakan ikan itu diusahakan secara haram di tanah kerajaan dan perkara itu akan diambil tindakan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Kinta Selatan.
"Kita juga telah memaklumkan kepada Jabatan Perikanan dan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Jamry berkata, pemeriksaan ke kolam itu dijalankan oleh JAIP sejak dua minggu lalu setelah mendapat maklumat daripada orang ramai dan JAIP berharap orang ramai yang mempunyai maklumat serupa agar memaklumkannya supaya dapat dibuat pengesahan.
"Kita berharap melalui pendedahan ini, orang ramai dan para pengusaha restoran akan menyiasat terlebih dahulu ikan tawar ternak yang ingin dibeli. Jangan beli jika ikan dibekalkan pengusaha dari kawasan berkenaan kerana ada banyak lagi penternak lain," katanya.
Sementara itu, pemberita yang mengikut pemeriksaan itu turut melihat longgokan tulang babi serta bulu babi di tepi kolam dan berhampiran beberapa buah dapur tempat merebusnya. Kawasan berkenaan berbau busuk dan hanyir.
Terdapat lebih 10 buah kolam di tiga buah pusat ternakan itu yang terletak di kawasan bekas lombong yang agak tersorok.
Cepat membesar
Jamry berkata, pihaknya gagal mengesan pemilik tiga buah pusat berkenaan tetapi beberapa pekerja Indonesia yang ditemui mengesahkan mereka diarah merebus daging babi dan sisa ayam sebagai bahan makanan.
Salah seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Wiranto berkata bahan rebusan itu mempercepatkan pembesaran ikan.
"Kalau diberi makanan biasa, ikan hanya besar dan boleh dipasarkan selepas diternak kira-kira setahun tetapi dengan menggunakan ramuan itu hanya tiga bulan sahaja diperlukan bagi ikan cukup saiz untuk ditangkap," dakwanya.
Apa yang pasti perbuatan penternak terbabit sangat mendukacitakan kerana mereka tidak menghormati umat Islam dan juga pengguna lain.
Persoalannya sekarang sampai bilakan umat Islam dipermainkan. Di sudut politik orang Islam di permainkan dengan di sogok dengan duit ketika pilihanraya, dari segi ekonomi umat Islam jauh ketinggalan, di sudut makanan pula banyak pengusaha makanan tidak menghiraukan sensiviti umat Islam. Malah yang lebih bahaya undang-undang yang menjamin kedaulatan Islam juga cuba diganggu gugat oleh golongan tertentu.