Monday, 16 January 2006

PM JANGAN TUNDUK KEPADA DESAKAN PUAK YANG MAHU PERKARA 121 DI PINDA-SALAHUDDIN


KUALA LUMPUR 16 JAN : Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu tunduk kepada desakan kumpulan tertentu yang mahukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda kerana ia jelas mencampuri urusan agama Islam di negara ini, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Ketua DPP PAS Pusat, YB Salahudin Ayub.

Beliau berkata, semua pihak, sama ada orang Islam atau bukan Islam, tidak wajar mencampuri urusan agama lain. Salahuddinn berkata demikian ketika ketika menyampaikan ucapan di majlis makan malam anjuran bekas Ketua Bahagian Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di sini malam tadi. Turut hadir dalama majlis itu ialah bekas Menteri Pertanian, Datuk Abdul Manan Osman, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Hassan Ahmad dan kira-kira 70 tetamu lain.

Kebimbangan Salahuddin ini ada asasnya kerana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi jaminan akan mengkaji perkara itu. Beliau seterusnya hairan mengapa, setelah negara 48 tahun merdeka, masih ramai rakyat tidak mahu menghormati kontrak sosial itu. Keberanian golongan tertentu menyentuh perkara 121 (A)ini amat berbahaya kerana ia boleh menimbulkan prasangka di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Berikutan itu, Salahuddin menyarankan supaya Kementerian Pelajaran memasukkan matapelajaran mengenai perkara tersebut dalam sukatan pelajaran di sekolah demi untuk memberi kefahaman kepada murid-murid sekolah betapa penting perkara ini.

Perkara 121 (1A) antara lain menetapkan, mahkamah sivil tidak boleh mencampuri urusan atau keputusan mahkamah syariah. Ia menjadi kontroversi apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini memutuskan tidak boleh mencampuri urusan mahkamah syariah. Isu ini menjadi hangat berikutan pengisytiharan keislaman bekas wira Everest, Allahyarham Mohamad Abdullah atau M.Moorthy dimana keluarga menuntut jenazah Mohamad dikebumikan mengikut agama hindu sedangkan Allahyarham Mohamad telah memeluk Islam. Mahkamah Sivil menetapkan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menyerahkan jenazah kepada JAWI untuk dikebumikan secara Islam, tidak boleh dicabar.

Salahuddin khuatir jika orang bukan Islam mencampuri urusan yang berkaitan dengan agama Islam, maka akan timbul salahfaham dan kemarahan di kalangan orang Islam kelak.

“Umat Islam ada maruah dan maruah yang paling tinggi bagi mereka ialah agama mereka, ” katanya.


MEDIA ARUS PERDANA GELAPKAN BERITA BELA ISLAM


Di petik dari Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Hrkh)-Para pemimpin Umno diminta menjelaskan kenapa berita dan penjelasan penyokong kepada Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang mahkamah sivil mencampuri keputusan Mahkamah Syariah disekat dari disiarkan media milik mereka.

Perkara ini berlaku ketika media mereka, akhbar dan TV secara bebas menyiarkan penentangan terhadap perkara 121 (A) itu sedangkan perjuangan untuk mendapatkan perkara itu dalam Perlembagaan amat panjang sekali.
Seorang peguam kanan syariah, Puan Kamar Ainiah berkata, perjuangan Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim untuk memasukkan perkara itu dalam Perlembgaan Persekutuan amat panjang.

Kini, ia dibenarkan oleh media yang semuanya dikawal Umno untuk dipertikaikan siang dan malam, kata Kamar Ainiah dalam satu majlis sessi sembang-sembang malam tadi.

Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan menetapkan sebarang keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dibatalkan oleh mana-mana mahkamah sivil.

Menurut Kamar Ainiah, langkah media milik Umno membenarkan orang bukan Islam mempertikaikan Islam ini tidak adil dan bahaya seumpama membuka 'pandora box' yang akan membenarkan semua perkara sensitif selepas ini diungkit oleh banyak pihak.

"Saya ingin tanya para pemimpin Umno yang ada dalam majlis ini, apakah sebenarnya yang berlaku ini?" kata Kamar Ainiah.

Menurut Kamar, Persatuan Peguam Syariah Jumaat lalu telah mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkara ini dan telah membuat satu sidang akhbar khas mengenainya.

"Hampir semua wartawan hadir tetapi malangnya pada keesokan harinya tidak ada satupun akhbar yang menyiarkannya.

"Apabila saya semak, rupanya diberitahu, arahan telah mereka terima dari pihak yang tertinggi jangan menyiarkan komen dan pandangan kumpulan Islam mengenai perkara ini.

"Kenyataan lapan kumpulan Islam yang mempertahankan Perkara 121 (A) sebelum ini juga tidak disiarkan oleh media," beritahu Kamar Ainiah.

Sebelum ini, lapan pertubuhan termasuk Abim dan Jim telah membuat kenyataan mempertahankan keperluan perkara 121 (A) dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjaga kewibawaan Islam sebagai agama rasmi negara.

Presiden Persatuan Peguam Syariah, Muhamad Buruk dalam kenyataannya baru-baru ini antara lain meminta Jabatan Agama Islam negeri-negeri membuat khutbah khas bagi mempertahankan perkara 121 (A) dalam khutbah-khutbah Jumaat di masjid-masjid.

Persatuan juga akan membuat satu persidangan khas bagi membincangkan perkara 121 (A) ini.

Di samping itu, mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mencabar kewibawaan Mahkamah Syariah termasuk cadangan memecat hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mengkaji balik keputusan Hakim Mahkamah Syariah.

Mereka juga memberikan amaran kepada orang bukan Islam agar jangan mencampuri urusan orang bukan Islam, jika tidak, mereka juga akan mencampuri urusan agama lain selain Islam.


RAMAI WARGA PERTH MEMELUK ISLAM


Sumber dipetik dari Berita Hairan

CANBERRA: Ini merupakan suatu perkembangan menarik di Australia. Media menyiarkan bahawa beratus-ratus penduduk Australia, khususnya warga kulit putih sekitar Perth di barat negara itu kini memilih untuk memeluk Islam berbanding agama lain, menjadikan bilangan penduduk Islam di negara itu meningkat lebih 40 peratus sejak 1996.

Akhbar The Sunday Times melaporkan semalam, ramai mualaf menganggap Islam mampu menjawab pelbagai persoalan berhubung aspek kerohanian selain menitik beratkan soal kemasyarakatan dan peraturan yang mudah diikuti.

Sekurang-kurangnya 200 warga Perth menjadi mualaf dan tinggal di antara warga Muslim di Australia Barat yang berasal dari 70 negara di Asia Barat, Afrika, Asia dan timur Eropah.

Biro Statistik Australia menyatakan, secara keseluruhan bilangan penduduk Islam negara itu meningkat lebih 40 peratus bagi tempoh 1996-2001.

“Agama Islam menetapkan peraturan bagi setiap aspek kehidupan. Ia mempunyai garis panduan untuk umatnya berkelakuan baik, termasuk kepada mereka di sekeliling. Kitab Injil ada menyatakannya, tetapi kerana terlalu banyak terjemahan, isinya seakan lari.

“Namun paling penting, dalam Islam tidak wujud sebarang perbezaan atau soal hierarki atau mereka yang lebih tinggi daripada saya.

“Semua umat itu sama. Memang Islam ada imam dan pegawai agama lain, tetapi soal kehidupan seharian adalah antara umat Islam dengan Allah,” kata mualaf, Axel Cremer, 50.

Malah Cremer atau nama Islamnya Mohammed, sebelum ini sering mengejutkan jemaah di Masjid Rivervale, apabila melintasi dengan bunyi bising motosikal Harley Davidson miliknya.

Tetapi kini, jaket kulit dan imej ‘ganas’ yang dipamerkannya sebelum ini sudah lenyap, sehinggakan ada jemaah yang terkejut melihatnya berubah dan menjadi sebahagian daripada jemaah masjid itu.

“Mereka juga tidak lagi mendengar deruman bising motosikal saya. Saya pun berasa lebih tenteram berbanding sebelumnya,” kata Pengarah Urusan sebuah firma ini. – Agensi

Cremer adalah antara beratus-ratus warga Australia Barat yang memilih memeluk Islam biarpun agama itu dan umatnya dikelilingi pelbagai tanggapan negatif selepas kejadian 11 September, 2001. – Agensi

Islam juga katanya adalah satu cara hidup dan bukannya sekadar hidup pada setiap hujung minggu.

“Namun, apa yang paling menarik adalah konsep zakat membantu golongan miskin dengan sepenuh keikhlasan,” kata bapa empat anak yang berkahwin dengan seorang wanita Indonesia, tujuh tahun lalu.

Tetapi, dia mengakui mendalami Islam sebelum berkahwin - iaitu bertahun-tahun selepas mengkaji pelbagai persoalan dalam agama lain.

Nicole Banks, 36, pula masih bergelar Muslim biarpun selepas berpisah dengan suaminya, seorang rakyat Mesir.

“Saya tertarik dengan Islam kerana nilai murninya bukan kerana perkahwinan. Kini, saya masih berbangga dapat mempertahankan agama ini biarpun berpisah dengan suami,” katanya yang memeluk Islam pada 1999.


KETUK KETAMPI BERBOGEL TIDAK WAJAR


KUALA LUMPUR 16 Jan. - Apakah pemimpin dan rakyat negara ini memerlukan badan siasatan bebas untuk menentukan ketuk ketampi berbogel wajar atau tidak wajar? Seolah-olah pemimpin dan rakyat yang majoritinya beragama Islam sudah hilang kewarasan sehingga membiarkan amalan ini berterusan bertahun-tahun lamanya.

Andaikata isu ini tidak diketengahkan oleh Teresa Kok tempohari sudah tentu ia berlarutan sampai bila-bila. Mustahil pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab kepada Polis tidak mengetahui akan hal ini.

Semalam Laporan Suruhanjaya Bebas berhubung seorang wanita diarah ketuk-ketampi secara bogel November lalu dijangka mencadangkan supaya prosedur siasatan itu dihapuskan sama sekali.

Ia dianggap menjatuhkan maruah wanita itu yang sama sekali tidak boleh diterima dari segi syariah mahupun undang-undang sivil.

Utusan Malaysia difahamkan, isi kandungan laporan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pagi esok. Laporan yang sama juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada petangnya.

``Laporan merumuskan perbuatan melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel itu tidak wajar dilakukan kerana ia menjatuhkan maruah seorang individu.

``Laporan yang mengenal pasti wanita terbabit keturunan Melayu itu turut menekankan bahawa ketuk-ketampi secara bogel wajar dihentikan, lagipun mangsa belum lagi dibuktikan bersalah oleh mahkamah.''

Difahamkan, suruhanjaya telah menemu bual banyak pihak termasuk wanita itu dalam melengkapkan siasatannya.

Wanita terbabit turut menyatakan perbuatan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel yang dilakukannya telah menjatuhkan maruahnya.

Sementara itu, setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Hamzah Md. Rus ketika dihubungi hari ini berkata, laporan itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Pada 23 November lalu, negara digemparkan dengan berita seorang wanita yang didakwa warga China diarah ketuk ketampi dalam keadaan bogel di sebuah lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.

Ekoran spekulasi itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid telah ke China dipercayai untuk meminta maaf berhubung perkara tersebut.

Abdullah turut mengarahkan penubuhan sebuah suruhanjaya bebas dikenali Suruhanjaya Untuk Menyiasat Prosedur Tetap Operasi, Kaedah-Kaedah atau Peraturan-Peraturan Berhubung Dengan Pengendalian Pemeriksaan Tubuh Berkenaan Dengan Penangkapan dan Penahanan Polis untuk menyiasat isu berkenaan.

Inkuiri berhubung isu tersebut bermula pada 11 Disember lalu.

Ia diberi tempoh masa 30 hari bekerja sehingga 16 Januari ini untuk menyiapkan siasatan sebelum menyerahkan laporan mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Hamzah, laporan satu jilid yang terbahagi kepada dua bahagian, yang merangkumi cadangan serta lampiran itu akan diserahkan oleh Dzaiddin bersama anggota panel lain di Istana Negara.

Menurut Hamzah, bahagian pertama laporan itu merangkumi ringkasan daripada siasatan yang dijalankan berpandukan kepada terma-terma rujukan yang ditetapkan, sambil melihat kepada syor dan cadangan.

``Bahagian kedua lebih kepada nota-nota daripada inkuiri yang dijalankan dan eksibit yang dikemukakan semasa siasatan berlangsung,'' katanya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59