Sunday, 15 January 2006

BARAT TIDAK HENTI-HENTI ANCAM IRAN


Dipetik dari Berita Hairan

WASHINGTON: Media antarabangsa melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, tidak henti-henti berusaha untuk melobi negara barat lain supaya menyokong usahanya untuk menghentikan program nuklear Iran.

Semalam beliau berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada Jerman bagi mengenakan tindakan terhadap Iran selepas menuduh Teheran amat mengancam keselamatan dunia.

Dengan menggunakan perkataan “ancaman terbesar” itu, Bush mengulangi kata-kata sama sebelum beliau menyerang Iraq pada 2003 dengan menekankan kepada bahaya terhadap Israel.

Bagaimanapun ketika di White House sewaktu lawatan Canselor Jerman, Angela Merkel, Bush menekankan kepada harapan untuk mendapat kata sepakat pemimpin dunia lain bagi resolusi diplomatik untuk berhadapan dengan Iran.

Bush dan Merkel berbeza pendapat ketika Amerika dan sekutunya mengetuai perang Iraq, namun dalam perbincangan semalam, kedua-dua pemimpin itu menggariskan strategi cuba menghalang Iran membina senjata nuklear.

Jerman, Perancis dan Britain yang kini berusaha membawa kes Iran ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk dikenakan hukuman manakala Russia kelihatan turut menunjukkan kesediaan menyokong usul itu.

Tetapi sehingga kini Iran masih meneruskan program nuklearnya yang dikatakan bukan untuk tujuan persenjataan.

Kita mengucapkan syabas Presiden Ahmedinejad yang tetap teguh dengan pendiriannya tanpa rasa takut kepada barat.


PEMUDA Umno MAHU METRAMAC DISIASAT KES RM35J. TETAPI ISU RASUAH DAN PENYELEWENGAN LAIN PEMUDA Umno DIAM SERIBU BAHASA


KUALA LUMPUR 15 Jan. - Akhbar hari ini melaporkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan pengambilan wang oleh Tan Sri Halim Saad dan Datuk Anuar Othman daripada Metramac Corporation Sdn. Bhd. (Metramac).

Pengerusi Biro Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakatnya, Datuk Subahan Kamal berkata, siasatan secara telus dan menyeluruh perlu dilakukan segera kerana ia melibatkan wang rakyat.

``Pemuda UMNO mahu siasatan dijalankan sebab ini gesaan orang ramai kerana ia melibatkan wang pembayar cukai,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu memberi perhatian serius berhubung dakwaan berkenaan kerana orang ramai ingin tahu apa sebenarnya berlaku.

Halim dan Anuar yang merupakan pemegang saham Metro Juara atau Metramac yang dikenali ketika itu dikatakan mengambil sejumlah RM35.2 juta daripada syarikat berkenaan.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan semalam.

Penemuan itu dibuat selepas Metramac diarah membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings Sdn. Bhd. sebagai bayaran ganti rugi kehilangan hak pengiklanan.

Datuk Fauziah Abdul Karim merupakan pengarah STKG yang berjaya memperoleh beberapa konsesi jalan termasuk jalan Cheras.

Bagaimanapun, penggantungan kutipan tol pada September 1990 dilakukan selepas berlaku satu demonstrasi di Plaza Tol Cheras dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diarah membayar pampasan RM764 juta kepada STKG.

Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin memberi alasan kepada pemegang saham, kerajaan tidak mempunyai wang untuk membayar pampasan.

Berikutan itu, Metro Juara telah membeli STKG dengan harga RM97.5 juta dan selepas transaksi berkenaan Kerajaan Persekutuan memperoleh dana bagi membayar pampasan kepada Metro Juara.

Sementara itu, Peguam Datuk Zaid Ibrahim berkata, dakwaan tersebut belum dibuktikan dan ia perlu disiasat dengan teliti oleh polis sebelum sebarang andaian dibuat.

``Itu adalah kenyataan hakim kes berkenaan kerana ada keraguan dalam proses pengambilalihan Syarikat Teratai K.G. Sdn. Bhd. (STKG) oleh Metro Juara,'' katanya.

Menurutnya, polis boleh menjalankan siasatan berpandukan kepada penghakiman yang dibuat.

Ujarnya, sekiranya dakwaan tersebut benar, maka dua individu berkenaan boleh didakwa pecah amanah dan pastinya hukuman berat boleh dikenakan.

Tetapi apa yang mendukacitakan kita ialah mengapa pemuda Umno senyap sepi tentang laporan rasuah terhadap Khir Toyo, kehilangan wang PPRT bernilai jutaan ringgit, kerugian Bank Islam RM300 juta, laporan kehilangan wang tabung kesihatan Melaka, politik wang dan banyak lagi kes yang mengaitkan pimpinan Umno dan kerajaan.

Jangan pemuda Umno hanya berkokok tentang isu-isu terpilih sahaja. Sepatutnya mereka lebih berani menyuarakan pandangan dan gesaan tanpa mengira siapa yang terlibat demi kepentingan rakyat.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59