Thursday, 12 January 2006

SUDAH ADA YANG MATI BARU HENDAK BERTINDAK


MELAKA 12 JAN : Sudah banyak kes yang berlaku melibatkan kematian di tapak pembinaan namun pihak berwajib masih gagal mengambil langkah yang efektif menangani permasalahan ini. Seringkali bila berlaku kematian barulah Kementerian Sumber Manusia hendak bertindak.

Sepatutnya menteri yang bertanggungjawab terhadap kementerian ini sudah meletakkan jawatan atau dinasihatkan supaya meletakkan jawatan atas sebab kelemahan ini.

Hari ini media melaporkan bahawa dua puluh enam kontraktor yang disifatkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn "terus-menerus ingkar" dalam meningkatkan ciri-ciri keselamatan di tapak pembinaan, akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Sambil menegaskan bahawa tindakan itu merupakan peringkat permulaan, Fong berkata langkah untuk mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan itu dibuat berikutan siasatan pegawai kementerian di 301 tapak pembinaan sejak dua minggu lepas.

Fong berkata 26 kontraktor terbabit diberi perintah menghentikan kerja kali ketiga kerana melanggar peraturan keselamatan semasa pemeriksaan itu. Kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa firma pembinaan yang menerima tiga perintah menghentikan kerja tiga kali berturut-turut akan menghadapi tindakan undang-undang.

Menurut laporan Bernama, daripada 26 kontraktor itu, lapan daripadanya di Kuala Lumpur, lima di Kedah, tiga di Johor, tiga di Sabah, masing-masing dua di Sarawak, Pulau Pinang dan Perak dan satu di Negeri Sembilan.

"Kita mahu memberi mesej keras kepada semua kontraktor, terutama mereka yang terbabit dalam pembinaan bangunan tinggi yang menjejaskan keselamatan awam, bahawa mereka mesti bejaga-jaga dan bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementerian di Putrajaya semalam.

Tindakan ke atas kontraktor yang ingkar itu diambil ekoran kematian tokoh korporat Dr Liew Boon Horng, 35, akibat ditimpa acuan besi yang jatuh ke atas keretanya dari tingkat 20 bangunan yang sedang dalam pembinaan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Fong berkata 301 tapak yang disiasat itu, sama ada diberikan perintah menghentikan kerja atau laporan yang tidak memuaskan semasa pemeriksaan sebelum itu.

Pemeriksaan keselamatan

Beliau juga berkata selain 26 kontraktor terbabit, 44 tapak lain didapati telah meningkatkan tahap keselamatan masing-masing manakala selebihnya belum menunjukkan perubahan memuaskan.

Sambil menyatakan lebih banyak pemeriksaan akan dijalankan, Fong berkata tumpuan kini kepada pembinaan bangunan tinggi di kawasan yang kerap dikunjungi ramai seperti tempat Liew terbunuh. Skop itu akan diperluaskan kemudian, katanya.

Fong juga berkata kementerian itu akan mengkaji cadangan meminda akta berkenaan bagi memastikan kontraktor melaksanakan pelan keselamatan di tapak kerja sebelum projek diluluskan.

Menteri itu juga berkata Kabinet hari Rabu meluluskan cadangan kementerian berkenaan untuk meminda Akta Kilang dan Mesin bagi membolehkan pemeriksaan berkanun ke atas pengesahan mesin-mesin dibuat secara penyumberan luar.

"Memandangkan pemeriksaan seperti itu memerlukan tahap kepakaran tertentu, kita mungkin perlu mendapatkan bantuan luar bagi memastikan keselamatan operasi mesin-mesin kita mematuhi standard antarabangsa," katanya.

Fong juga berkata kementerian itu kini dalam proses mewujudkan satu bahagian yang memberi tumpuan kepada kejuruteraan forensik bagi memudahkan siasatan terhadap kemalangan di tempat kerja.


KETUA MENTERI MELAKA DIGESA BERSIHKAN NAMA


MELAKA 12 JAN : Ketua DPP Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman menggesa KM Melaka, Datuk Wira Mohd Ali Rustam supaya tampil membersihkan namanya daripada laporan yang mengatakan beliau terlibat dengan penyelewengan membabitkan dana tabung kebajikan yang ditubuhkan oleh beliau.

Jika sekiranya Mohd Ali tidak membersihkan namanya samada menyaman Lim atau membuat kenyataan terbuka menafikan laporan itu maka sudah pasti rakyat akan menaruh syak kepada beliau.

"DPP Kawasan tidak mahu mempunyai seorang KM yang dituduh sebagai 'songlap' duit tabung. Jadi adalah penting untuk Ali menafikan laporan ini jika ianya palsu" tegas Hj Salamat yang juga bendahari DPP Negeri Melaka.

"DPP Kawasan juga menggesa BPR menyiasat perkara ini serta melaporkan hasil siasatan ini kepada umum demi untuk memberikan keadilan kepada semua pihak. Andai Mohd Ali bersih dari tuduhan atau sebaliknya rakyat berhak mengetahuinya" jelas Hj Salamat lagi.

DPP Kawasan juga mengharapkan laporan ini tidak 'dibakulsampah'kan sebagaimana terjadi kepada laporan-laporan yang dibuat oleh Ahmad Lutfi kepada Khir Toyo.

Laporan kepada BPR Melaka terhadap Mohd Ali telah dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan mendakwa berlaku penyelewengan membabitkan dana tabung kebajikan yang ditubuhkan oleh Ketua Menteri untuk membantu pesakit miskin dan berkeperluan membiayai perbelanjaan perubatan dan hospital.

Laporan itu dibuat pada 4 Januari lalu di mana ia merupakan laporan pertama ke atas pentadbiran Ketua Menteri Datuk Mohd Ali Rustam tahun ini dan yang kelima sejak 2004.

Dalam laporan tersebut, Lim mendakwa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyalahgunakan dana yang terkumpul di dalam tabung tersebut, membabitkan RM908,242.33 sejak 19 Disember 2001 untuk membiayai kos rawatan hospital ahli keluarganya.

Dalam salinan laporan kepada BPR yang dihantar kepada media, Lim mendakwa tujuan asal penubuhan tabung kebajikan atas namanya Ketua Menteri itu ialah untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada pesakit miskin dan orang awam bagi membiayai perbelanjaan perubatan di hospital swasta atau kerajaan.

Tabung ini diselenggarakan oleh Southern Hospital yang kini dikenali sebagai Hospital Putra.

Bagaimanapun dakwa Lim, hasil siasatan yang dijalankan, didapati sepanjang tiga tahun tabung misteri ini berorperasi, lebih RM590,000 atau 65 peratus daripada dana berkenaan, telah digunakan untuk orang kaya bergelar datuk-datuk dan ahli keluarga Ketua Menteri Melaka sendiri.

Dakwanya lagi, RM365,000 atau 40 peratus digunakan untuk membiayai kos rawatan isteri, anak-anak, abang ipar, ibu mertua, kakak dan allayaharmah ibu Mohd Ali. Manakala RM225,000 atau 25 peratus lagi digunakan untuk pesakit bergelar datuk ataupun isteri datuk.

Menurut Lim lagi, amat menghairankan mengapa ahli keluarga seperti isteri dan anak perlu mengambil kesempatan dalam tabung misteri ini dan menafikan hak orang miskin apabila rawatan perubatan memang diberikan secara percuma oleh kerajaan kepada ahli keluarganya selaras dengan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Melaka.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka tidak layak menerima bantuan perubatan berkenaan,” kata Lim dalam laporan tersebut.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu lagi, perbelanjaan tersebut didakwa dibuat sejak 19 Disember 2001 hingga 31 Mac 2005.

Lim mendakwa, sumber wang tabung misteri ini berasal dari Umno Melaka sebanyak RM368,283.82 dan bakinya sebanyak RM 539,958.51 diperolehi daripada derma orang awam yang dipungut oleh Ketua Menteri Melaka.

Oleh itu, dakwanya, isu ini ada hubungkait dengan Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan berkepentingan awam kerana melibatkan tiga perkara penting:

* Sumber wang adalah daripada orang awam dan dikutip atas matlamat murni membantu orang miskin dan golongan tidak berada;

* Bantuan wang tidak dihulurkan semua kepada orang miskin dan golongan tidak berada sebaliknya kepada golongan berada bergelar datuk dan ahli keluarga YAB Ketua Menteri Melaka sendiri; dan

* Tidak ada sebarang pengumuman awam bahawa pesakit miskin boleh memohon bantuan atau kriteria kelayakannya sehingga orang awam hanya tahu tentang tabung misterinya selepas tiga tahun didirikan apabila didedahkan oleh DAP Melaka.

Setiausaha Agung DAP itu mendakwa, perbuatan seorang pegawai awam, yang melibatkan wakil rakyat dan ahli pentadbiran, yang didakwanya menggunakan wang awam yang dikutip atas tujuan membantu orang miskin, telah menyalahi peruntukan-peruntukan 10 hingga 15 dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997, khususnya seksyen 15.

Kesalahan sedemikian, katanya, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun; dan didenda tidak kurang daripada 50 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi dibawah seksyen 16.

Lim mendakwa, memandangkan 40 peratus tabung misteri awam ini diberikan kepada ahli keluarga Ketua Menteri Melaka, maka ia bercanggahan dengan matlamat penubuhannya dan ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa tertakluk di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Lim turut menyertakan bersama laporannya itu, dokumen-dokumen berkaitan dengan akaun kewangan dan penerima tabung berkenaan.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59