Sunday, 8 January 2006

APA YANG KERAJAAN ISLAM HADHARI BUAT TANGANI GEJALA MAKSIAT


MELAKA 8 JAN : Peningkatan kes khalwat dan gejala sosial yang meningkat dari tahun ke tahun menunjukkan kepada kita bahawa kerajaan Islam Hadhari pimpinan Pak Lah langsung tidak serius untuk menangani masalah ini.

Kita tidak pernah mendengar akan keluhan dan kegusaran pimpinan Islam Hadhari tentang masalah ini. Apa yang menjadi wirid harian mereka ialah bagaimana hendak memajukan negara dari segi fizikal dan material sahaja. Anak muda nak terlungkup atau nak buat apa sahaja tidak menjadi hal kepada mereka.

Sebab itulah kita melihat walaupun kelab malam, pusat dangdut, konsert, pesta hiburan dan sebagainya, bercambah bagaikan cendawan lepas hujan diendahkan oleh Pak Lah. Apa yang penting ekonomi negara dan pendapatan negara mesti bertambah.

Sebagai contoh di negeri Pak Lah pada 2000, 258 kes dicatatkan dan jumlahnya meningkat kepada 384 pada 2001, 2002 (532) dan 2003 (535) dan 2004 (630). Ini kes yang di tangkap, bagaimana dengan kes yang tidak dilaporkan serta yang tidak dapat ditangkap.

Di Johor Bahru,, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Johor (JAJ), Yosree Ikhsan berkata, daripada 4,618 kes kesalahan syariah sepanjang tahun ini, 2,071 membabitkan kes khalwat.


Jawi dakwa Kagat lewat maklum pengislaman Moorthy


Dipetik dari Malaysiakini

MELAKA 8 JAN : Pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa menziarah M Moorthy sebaik sahaja dimaklumkan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) pada bulan Mei lalu mengenai pengislaman anggota komando tersebut.

Pengarahnya, Che Mat Che Ali menjelaskan bahawa Jawi tidak tahu yang Moorthy telah memeluk Islam sehinggalah dimaklumkan oleh Kagat. Moorthy dilaporkan memeluk Islam pada 10 November 2004.

Ditanya mengapa pihaknya lewat dimaklum mengenai perkara itu, beliau berkata, Kagat lambat berbuat demikian kerana Moorthy adalah kakitangan Kementerian Pertahanan.

“Kagat juga yang menguruskan kemasukan Islam Moorthy dan mendaftarkan pengislamannya dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan bukannya dengan Jawi.

“Kes seperti ini banyak berlaku dan Jawi tidak dapat mengesannya. Pada masa depan kami meminta mereka yang memeluk Islam supaya mendaftarkan nama mereka dengan Jawi,” katanya kepada malaysiakini.

Katanya, kebajikan Moorthy adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan termasuk urusan agama melalui Kagat.

Bagaimanapun, katanya sebaik diberitahu mengenai pengislaman Moorthy, pegawai Jawi melawat allahyarham setiap hari di rumahnya dan ketika dia berada di hospital.

“Kami tidak melawat beliau sebelum ini kerana tidak diberitahu bahawa Moorthy memeluk Islam pada November 2004,” katanya ketika ditemui di ibu negara hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab utama ke atas Moorthy terletak di bahu Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Angkatan Tentera Malaysia.

Lawat Moorthy

Che Mat berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pihak yang mendakwa bahawa Jawi tidak pernah melawat Moorthy semasa beliau lumpuh sejak tahun 1998.

Katanya, keluarga Moorthy termasuk isterinya S. Kaliammal memang tahu pegawai Jawi melawat Moorthy di rumahnya di Desa Tun Hussein Onn di ibu negara.

“Pegawai Jawi juga melawat Moorthy ketika belau koma di Hospital Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Ditanya mengapa Jawi tidak mengeluarkan dokumen mengenai pengislaman Moorthy ketika perbicaraan di mahkamah tinggi baru-baru ini, Che Mat berkata, ia tidak diminta oleh pihak mahkamah.

Katanya, pihaknya mempunyai semua dokumen mengenai pengislaman Moorthy.

“Jika tidak ada dokumen sudah tentu Jawi tidak berani membawa kes itu ke mahkamah,” katanya.

Che Mat juga meminta semua pihak supaya menghormati keputusan Mahkamah Syariah yang mengesahkan bahawa Moorthy adalah seorang Islam.

Kaliammal kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah tinggi tetapi Hakim Datuk Mohd Raus Sharif memutuskan mahkamah tinggi tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes itu.

Berikutan itu, peguam Kaliamal telah memfailkan kes rayuan kepada di Mahkamah Rayuan.


SIAPA PUNYA ANGKARA. BOT BANTUAN TSUNAMI TERBIAR


MELAKA 8 JAN : Akhbar harian hari ini melaporkan bahawa 57 bot bantuan Tsunami terbiar tanpa diagihkan kepada mangsa Tsunami. Siapa punya angkara yang menyebabkan pembaziran dan kezaliman ini berlaku. Nelayan yang sangat memerlukan bantuan ini teraniaya.

Sebanyak 57 buah bot - siap untuk digunakan - dipercayai bagi disumbangkan kepada nelayan-nelayan miskin mangsa tsunami, ditemui terbiar di tiga kawasan sekitar daerah ini dan Hutan Melintang, Perak.

Apa sebenarnya berlaku? Adakah ia satu lagi kerenah birokrasi sehingga bot yang sepatutnya sudah lama disalurkan kepada nelayan itu tidak sampai-sampai. Atau adakah ini disebabkan kelemahan dan penyelewengan pihak-pihak tertentu?

Disebabkan ketiadaan bot, bantuan enjin dan pukat yang diberikan sebelum ini kepada nelayan di Kota Kuala Muda, Kedah hanya disimpan sebagai pameran di rumah mereka.

Tinjauan eksklusif akhbar itu mendapati bot gentian kaca yang masing-masing berukuran 5.8 dan 6.7 meter, bernilai hampir suku juta ringgit itu terbiar di tepi jalan dan di padang sekolah.

Sebanyak 15 bot ditemui `tersadai' dalam keadaan terbalik di kawasan meletak kenderaan rumah kedai Taman Perpaduan, Sabak Bernam dan di tepi Jalan Kampung Kota, Hutan Melintang.

Sementara baki 27 bot pula ditemui di padang Sekolah Kebangsaan Teluk Buloh Hutan Melintang. Kesemua bot itu ditampal logo Proton dan masih dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, ia kini dipenuhi air serta hampir dilitupi lalang.Penemuan ini dijangka merungkai misteri yang menyelubungi mangsa-mangsa tsunami di Kuala Kedah yang mendakwa telah mendapat enjin bot dan pukat tetapi masih belum menerima bot.

Pada 19 Disember lalu, lebih 50 nelayan Kota Kuala Muda menyuarakan rasa kecewa berikutan kelewatan pihak bertanggungjawab menyerahkan bot. Akibat kelewatan tersebut, nelayan pantai di kawasan berkenaan tidak dapat turun ke laut mencari nafkah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Nelayan Tsunami Kota Kuala Muda, Yusoff Awang berkata, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum ini berjanji akan memberi bot, pukat dan enjin bagi membolehkan mereka menangkap ikan semula.

Sementara itu, seorang penduduk, Yacob Othman berkata, bot berkenaan telah ditempatkan di padang sekolah yang terletak di hadapan rumahnya sejak April lalu.

``Saya sudah tidak larat hendak menebas lalang dan membuang air yang bertakung di dalam bot,'' katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, pada mulanya, syarikat pembuat bot berkenaan, AF Dot Engineering berjanji untuk menempatkan bot di situ sementara sahaja sebelum ia dibawa oleh pihak ketiga ke tempat lain.

Bagaimanapun, setelah setahun berlalu, bot berkenaan masih ada di situ, menjadi tempat pembiakan nyamuk dan tidak mustahil tempat ular bersarang.

Lebih membahayakan, tambahnya, bot-bot berkenaan terletak berhampiran sekolah dan tadika Kemas.

``Kita bimbang kalau anak-anak kecil bermain dan jika jatuh di dalam bot berkenaan, boleh lemas,'' katanya.

Dalam pada itu, wakil syarikat AF Dot Engineering, Mohd. Noor Sham Ibrahim berkata, beberapa pegawai Proton termasuk wakil syarikat pengangkutan pernah datang memeriksa bot dan mencari kaedah terbaik membawa bot berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada langkah susulan.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mengupah penduduk kampung membuang air dari bot itu dengan bayaran RM50 untuk sebuah bot.

Noor Sham, menambah, beliau juga menghadapi dilema apabila ada mangsa tsunami dari kawasan berhampiran meminta bot berkenaan untuk membolehkan mereka turun ke laut.

Dalam pada itu, jurucakap Proton ketika dihubungi berkata, pihaknya menyedari kewujudan bot berkenaan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana masih terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan.

Sementara itu, Ketua Pengarah LKIM, Datuk Annas Khatib Jaafar berkata, bot berkenaan bukan di bawah dana bantuan yang dikendalikan oleh pihaknya bagi membantu mangsa-mangsa tsunami.

Beliau berkata, dana bantuan mangsa tsunami berjumlah RM21 juta telah diagihkan kepada lebih 7,000 nelayan yang terjejas akibat bencana alam itu.

``Kami tidak menerima sebarang permintaan untuk mengagih bot berkenaan.

``Mungkin pihak yang membuat bot berkenaan berurusan terus dengan mangsa-mangsa tersebut kerana pada peringkat awal dahulu memang banyak pihak ingin menghulurkan sumbangan,'' katanya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59