Tuesday, 3 January 2006

HARAP PENGERUSI SEDAR AKAN PENIPUAN BN YANG DAHSYAT PADA SETIAP PILIHANRAYA


MELAKA 3 JAN : Setelah Pengerusi Suruhajaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Rashid Abdul Rahman sedar akan penyalagunaan media awam khasnya RTM yang digunakan oleh BN untuk berkempen secara terang-terangan dalam pilihan raya, rakyat Malaysia mengharapkan beliau juga sedar akan penipuan yang lebih dahsyat iaitu pengundi hantu dan rasuah wang kepada pengundi.

Baru-baru ini Tan Sri Rashid berkata jika kempen ini dibuat di stesyen televisyen swasta maka itu hak mereka, kita tidak boleh mempertikaikan hak mereka tetapi malangnya apabila kempen ini menggunakan hak awam yang menjadi hak milik seluruh rakyat maka ianya adalah sesuatu yang tidak sihat serta menyalahi hak kepentingan awam.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Syarahan Umum bertajuk ‘Demokrasi dan Pilihanraya Di Malaysia’ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, sekiranya saluran televisyan awam ini digunakan untuk menonjolkan pembangunan yang dibuat kerajaan tidak mengapa tetapi apabila ianya menjurus kepada kempen pilihanraya maka itu tidak betul.

(Semasa kempen pilihan raya Pengkalan Pasir misalnya, RTM telah digunakan sepenuhnya untuk memukul kerajaan negeri Kelantan dan PAS).

Menurut laporan Harakahdaily.Net, Rashid juga mengakui dengan kuasa, wang yang banyak membolehkan BN terus dapat mengekalkan kuasa sehingga hari ini.

Rasuah pilihanraya

Selain wang dan kuasa BN juga mempunyai sumber tenaga manusia yang mencukupi bagi menghadapi lawan politik mereka dalam setiap kali Pilihanraya diadakan, katanya.

"SPR sendiri sebenarnya tidak bersetuju media milik awam ini digunakan secara tidak adil dan kita seringkali menyuarakan perlanggaran etika ini tetapi nampaknya dari setahun ke setahun tiada perubahan dibuat sebaliknya media awam ini terus digunakan untuk kepentingan politik BN," kata beliau.

Bagi beliau, apa yang berlaku ini seumpama pertandingan yang diadakan di padang yang tidak rata, jika amalan ini berterusan maka bukan saja pembangkang sukar untuk menang malah amalan demokrasi juga tercabar.

Selanjutnya beliau turut mengakui bahawa penipuan memang berlaku dalam pilihanraya namun ianya amat sukar untuk dikesan atau dibuktikan berikutan ketiadaan pihak terbabit tampil membuat pengakuan kepada SPR.

“Sepanjang tempuh lebih 20 tahun bersama SPR, belum ada pihak-pihak yang terbabit dalam kes penipuan dalam pilihanraya ini tampil membuat pengakuan, sama ada pihak yang menerima rasuah lebih-lebih lagi yang memberi jadi bagaimana SPR hendak bertindak.

“Amalan rasuah adalah profesion tertua di dunia dan ianya tak boleh dihapuskan sama sekali, jika ada pihak mengatakan rasuah dapat dihapuskan sekiranya parti lain memerintah negara ini maka ianya adalah satu pembohongan besar," tegas beliau.


BALA ALLAH TIADA SIAPA BOLEH MENAHAN


AS DILANDA KEBAKARAN BESAR YANG TIDAK TERKAWAL

AMERIKA SYARIKAT 3 Jan. - Kuasa Allah tiada siapa dapat menahannya. Walau sehebat mana teknologi dan secanggih mana alat yang digunakan kuasa Allah mustahil dapat di halang oleh hambaNya yang lemah dan kerdil.

Media hari ini melaporkan bahawa beberapa kebakaran besar di negeri-negeri dalam AS seperti Oklahoma, Texas dan New Mexico terus tidak terkawal sehingga lewat semalam, termasuk satu kejadian yang memusnahkan beberapa buah rumah di timur laut bandar raya Oklahoma.

Sejumlah penduduk di kawasan terbabit terpaksa dipindahkan tetapi tidak ada kecederaan dilaporkan, kata ketua pegawai bomba, Mejar Brian Stanaland Ahad lalu. Imej televisyen menunjukkan sekurang-kurangnya sebuah binaan besar dijilat api.

Sekurang-kurangnya 12 kebakaran terus tidak terkawal di seluruh Oklahoma malam tadi, dimarakkan lagi oleh tiupan angin sederas 80 kilometer sejam dan cuaca panas. Satu kebakaran besar dekat Guthrie menimbulkan ancaman terhadap beberapa buah kediaman, kata seorang jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Michelann Ooten.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 20 kebakaran berlaku di Texas, termasuk satu kebakaran di kawasan seluas 3,200 hektar yang mengancam 200 buah rumah dekat Carbon, 200 kilometer ke barat Dallas.

Di Hobbs, New Mexico satu kebakaran padang rumput memaksa sebuah kasino, sebuah kolej dan kawasan kediaman sekitar dikosongkan.

Angin kencang, suhu paling panas dalam sejarah dan keadaan kemarau di seluruh kawasan barat daya Amerika Syarikat (AS) menyebabkan bahaya kebakaran meningkat ke tahap kritikal.Kebakaran tidak terkawal di kawasan seluas lebih 20,000 hektar di Oklahoma dan Texas minggu lepas memusnahkan hampir 100 rumah dan kedai selain meragut empat nyawa. - AP


BAYARAN MASUK SEKOLAH CUKUP MEMBEBANKAN


Tanggal 3 Januari merupakan hari pertama persekolahan untuk sessi 2006 bagi negeri-negeri seperti Pahang, Selangor, Melaka dan lain-lain. Manakala Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah memulakan sessi persekolahan 2006 pada hari Ahad. Maka setiap kali sessi persekolahan bermula ibubapa terpaksa membeli pakaian seragam dan peralatan persekolahan baru yang bernilai ratusan ringgit.

Selain itu ibubapa juga terpaksa membayar yuran persekolahan anak-anak mereka. Hari ini (Isnin) sekali terpaksa ke sekolah anak-anak saya untuk membayar yuran persekolahan mereka. Kedua-dua anak saya bersekolah di sebuah sekolah di Pahang Darulmakmur. Pihak pengurusan sekolah sengaja meminta ibubapa dan penjaga menyelesaikan segala urusan pendaftaran hari ini supaya hari pertama persekolahan tidak sibuk.

Anak pertama saya akan memasuki darjah dua manakala anak kedua pula dalam darjah satu. Jumlah bayaran yang terpaksa saya bayar untuk kedua-dua anak saya ini ialah RM267.00. Saya teringat ketika zaman saya bersekolah rendah dahulu disekitar tahun 1975-1980 bayaran yang dikenakan oleh pihak sekolah tidak ‘seteruk’ ini. Bayangkanlah saudara-saudari kalau seseorang itu mempunyai lebih dari empat anak yang bersekolah. Sudah pasti mereka ini terpaksa membayar yuran dan bayaran lain dengan jumlah lebih dari RM1,000. Bayangkan pula kalau mereka mempunyai pendapatan kurang dari RM1,000 sebulan. Macamana mereka ini hendak ‘surivive’.

Apatah kita baru sahaja selesaikan merayakan Hari Raya Aidil Fitri sudah tentu banyak duit yang dihabiskan untuk meraikan perayaan ini. Bagaimana kalau mereka tidak mempunyai duit simpanan dan tidak juga mempunyai perancangan kewangan keluarga yang baik. Maka sudah pasti mereka menghadapi masalah kewangan yang meruncing di awal-awal tahun begini.

Salah seorang abang saya mempunyai lapan orang anak yang masih bersekolah dari darjah satu hingga Politeknik. Cuba saudara bayangkan berapa wang yang terpaksa beliau sediakan untuk persekolahan anak-anaknya. Gajinya hanyalah disekitar RM1,500 sebulan. Anak ketiga beliau yang masuk tingkatan lima di salah sebuah MRSM dipaksa membayar lebih RM400 sebagai bayaran masuk sekolah untuk tahun ini. Bunyinya asrama penuh tetapi kena bayar macam nak masuk universiti, keluh salah seorang ahli keluarga beliau.

Manakala seorang sahabat saya yang mempunyai empat anak yang sedang bersekolah dari darjah satu hingga tingkatan satu pula memberitahu saya dia terpaksa membayar lebih dari RM800.00 untuk kesemua anaknya. Itu tidak termasuk peralatan dan pakaian sekolah.

“Kalau macam ini gayanya alamat ramai yang tidak bersekolah disebabkan tidak mampu menjelaskan bayaran yang cukup membebankan ini” kata seorang rakan saya yang ditemui hari ini semasa sedang menunggu giliran untuk mendaftarkan anak beliau.

Dari paparan yang saya nukilkan diatas maka tidak hairanlah kepada kita bahawa memang ramai anak bangsa yang terpaksa berhenti sekolah atau tidak bersekolah langsung lantaran bayaran yang dikenakan oleh pihak sekolah amat tinggi dan tidak termampu oleh sesetengah keluarga miskin yang ‘kais pagi makan pagi kais petang maka petang’.

Saya juga terfikir adakah sekolah kerajaan sekarang ini sama dengan sekolah swasta yang mementingkan duit. Sepatutnya sekolah yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan ini tidak mengenakan bayaran yang terlalu tinggi seperti ini. Pelajaran dan pendidikan rakyat merupakan perkara asas yang sepatutnya diutamakan oleh kerajaan yang memerintah sekarang. Kemana pergi hasil dan khazanah Negara yang kaya ini. ?

Sudahlah segala barangan naik, bayaran perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan sebagainya pun naik. Apa nak jadi dengan rakyat sepuluh tahun lagi.

Saya menggesa pemimpin kerajaan yang memerintah sekarang, jika kalian tidak mahu membela rakyat dan tidak pandai memerintah berhentilah dari jadi pemimpin. Berikan peluang memerintah kepada orang lain yang lebih amanah, bijak dan cerdas kepala otak untuk memerintah Malaysia yang kaya dengan segala hasil kekayaan ciptaan Allah seperti minyak, getah, kepala sawit dan sebagainya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59