Monday, 18 December 2006

PENDUDUK PROTES KENAIKAN HARGA TOL


CHERAS 18 DIS : Kira-kira 800 penduduk mengadakan protes semalam bagi membantah kenaikan kadar tol berkuatkuasa 1 Januari ini.

Penduduk dari Mahkota di Cheras menuntut supaya dibuang tembok konkrit yang menghalang mereka memasuki Lebuhraya Cheras-Kajang tanpa membayar tol.

Bantahan selama sejam itu bermula jam 10 pagi dengan para penduduk membawa pelekat dan kain rentang, yang antara lain, menuntut Menteri Kerja Raya, Datuk S Samy Vellu meletak jawatan.

Mereka juga melaungkan slogan menuntut dibuang tembok konkrit tersebut dan kadar tol dikurangkan. Kira-kira 20 anggota polis pencegah rusuhan berada di situ, tetapi tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Protes tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan Pintas Bandar Mahkota (BMC-OARAC).

Turut hadir ialah beberapa pemimpin DAP, termasuk Ahli Parlimen Dr Tan Seng Giaw, Fong Kui Lun, Tan Kok Wai dan Teresa Kok.

Ketika dihubungi hari ini, Ketua Penerangan DAP Selangor, Ronnie Liu berkata, satu lagi protes akan diadakan pada 31 Disember ini berhampiran plaza tol Grand Saga di lebuhraya Cheras.

“Protes tersebut akan disertai parti-parti pembangkang dan penduduk,” tambahnya.

Mesyuarat tertutup

Minggu lalu, Samy mengumumkan kenaikan kadar tol antara 20 hingga 60 peratus bagi lima lebuhraya di Lembah Kelang.

Lebuhraya tersebut ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya KL-Karak Highway dan Lebuhraya Koridor Guthrie.

Beliau juga berkata, semakan semula kadar tol bagi lapan lagi lebuhraya akan dibuat pada 2008.

Ia membabitkan Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru (Shahpadu), Lebuhraya Butterworth-Kulim, Laluan Kedua Malaysia-Singapura dan Jambatan Pulau Pinang.

Dalam satu lagi perkembangan, parti-parti pembangkang dan persatuan pengguna akan mengadakan mesyuarat tertutup di Kuala Lumpur malam ini untuk membincangkan langkah mengadakan bantahan berikutnya.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, PAS, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan badan-badan pengguna yang lain, akan mengadakan perbincangan tersebut di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

“Ianya bukan dialog awam. Kami akan membincang apa yang parti boleh buat bersama pertubuhan tempatan bagi menyatakan bahawa kenaikan kadar tolitu adalah tidak adil,” kata Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.

Dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59