Monday, 18 December 2006

Pampasan lebih tinggi dari kos bina lebuhraya


DAP mengecam tindakan kerajaan menghalang pihak media menyiarkan reaksi negatif terhadap kenaikan 20 hingga 30 peratus kadar tol dan menyifatkannya sebagai satu penyalahgunaan kuasa untuk menyekat suara rakyat Malaysia serta satu ancaman serius terhadap kebebasan dan demokrasi di Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu telah menambah kemarahan rakyat berhubung kenaikan kadar tol yang dilihat sebagai ‘rompakan lebuhraya di siang hari yang menjual’ hak pengguna dan rakyat biasa, kepada syarikat besar, terutama apabila kos pembinaanya sebanyak RM4,125 juta, tidak menjustifikasikan kadar tol baru itu.

Katanya, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dibina dengan kos RM1.42 bilion untuk tempoh konsesi 1996 hingga 2030 dan kadar tolnya dinaikkan dari RM1 kepada RM1.60 – naik 60 peratus.

Lebuhraya Kesas pula dibina dengan kos RM 1.3 billion untuk tempoh konsesi 1993-2024 dan kadar tolnya dinaikkan dari RM1.50 kepada RM2.20 – naik 46.7 peratus.

Lebuhraya Cheras-Kajang dibina dengan kos RM336 juta, untuk tempoh konsesi 1995-2024 dan kadar tolnya dinaikkan 30 sen – antara 42.9 hingga 50 peratus.

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak-Gombak dibina dengan kos RM568 juta untuk tempoh konsesi 1994-2032 dan kadar tolnya dinaikkan antara 20 hingga 25 peratus.

Manakala Lebuhraya Koridor Guthrie dibina dengan kos RM501 juta dan kadar tolnya naik dari RM1 kepada RM1.40 – meningkat 40 peratus.

‘Langkah pencegahan’

Lim berkata, tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Menteri Kerja Raya telah mengambil “langkah pencegahan” dengan mengarahkan semua media rasmi tidak menyiarkan reaksi negatif rakyat terhadap kenaikan tol tersebut.

“Apakah Datuk Seri Najib berbuat demikian kerana mahu mengelak daripada perlu memberi penjelasan mengapa pampasan yang dibayar berjumlah RM4,864 juta, sedangkan kos membina lima lebuhraya tersebut hanya RM4,125 juta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Lim berkata, Samy mendedahkan bahawa kerajaan menanggung kos sebanyak RM2,589 juta untuk membayar pampasan bagi mengelak kadar tol naik melebihi 20 hingga peratus mulai 1 Januari lalu.

Katanya, Samy Velu juga berkata, kerajaan telahpun membayar pampasan sejumlah RM2,275 juta kepada syarikat konsesi lima lebuhraya itu, tidak termasuk Lebuhraya Koridor Guthrie yang merupakan lebuhraya baru, di mana RM1,197 juta untuk Kuala Lumpur-Karak Highway, RM 479.7 juta (Lebuhraya Damansaray-Puchong), RM 371.8 juta (Lebuhraya Kesas), dan RM226 juta (Lebuhraya Cheras-Kajang).

Oleh itu, tegas Lim, adalah lebih menguntung jika kerajaan membeli lima lebuhraya itu dengan membayar kos pembinaannya sebanyak RM4,125 juta dan jumlah itu kurang RM739 juta daripada jumlah pampasan RM4,864 juta yang perlu dibayar menjelang semakan semula kadar tol antara 2010 dan 2012.

Langkah tersebut, tambah Lim, bukan sahaja dapat menyelamatkan berbilion ringgit wang kerajaan daripada membayar pampasan, tetapi juga dapat mengelak syarikat konsesi mengalami kerugian manakala pengguna pula tidak dibebankan dengan kenaikan kadar tol yang tidak munasabah.

Apa yang jelas, kata Lim, jika kerajaan berbuat demikian, syarikat-syarikat konsesi tidak dapat mengaut keuntungan yang besar.

Untung besar

“Sebelum konsesi bagi lima lebuhraya itu tamat antara 2024 hingga 2035, kerajaan telahpun membayar pampasan sebanyak RM4,864 juta – iaitu RM738 juta lebih tinggi daripada kos pembinaannya sebanyak RM4,125 juta.

“Jumlah RM738 juta itu merupakan keuntungan yang diperolehi oleh lima syarikat konsesi, tanpa mengambil kira sebarang pertambahan kutipan daripada para pengguna. Jumlah pampasan sebanyak RM4,864 juta ini akan terus meningkat, begitu juga dengan keuntungan syarikat konsesi apabila kadar tol disemak seterusnya mulai 2010,” tambah Lim.

Tetapi malangnya, kata beliau, daripada membeli lima lebuhraya tersebut demi kebaikan pengguna dan kepentingan negara, pihak kerajaan mengenakan sekatan media untuk untuk menyekat sebarang perbincangan mengenainya dan membendung hak demokrasi untuk bersuara.

Tindakan seumpama itu, tambah Lim, hanya menjejaskan kemajuan dan kedudukan Malaysia dalam ranking kebebasan akhbar di peringkat antarabangsa sebelum ini.

“Malaysia naik 21 anak tangga – daripada kedudukan 113 pada 2005 kepada 92 tahun ini dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), yang lebih baik daripada negara-negara lain di rantau ini seperti Singapura, Thailand dan Indonesia,” tambahnya.

Apa yang berlaku itu, katanya, menekankan tentang pentingnya memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA), Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) serta menyekat pelanggaran hak asasi manusia, dengan akta baru, Akta Kebebasan Mendapatkan Maklumat (FIA).

Sehubungan itu, Lim menegaskan, DAP menjangka kedudukan Malaysia dalam indeks RSF itu akan merosot semula tahun depan, sepertimana ranking Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency Antarabangsa, yang jatuh tujuh anak tangga – dari kedudukan 37 ketika Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri, kepada kedudukan 47 tahun ini.

“Jelas sekali, Malaysia tidak layak menduduk tempat 92 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia apabila tidak ada kebebasan untuk menyiarkan kesulitan kewangan rakyat Malaysia akibat kenaikan kadar tol, harga minyak dan kos sara hidup.

“Kebebasan akhbar di Malaysia adalah satu ilusi kerana tidak ada kebebasan kecuali kebebasan untuk menindas, menekan dan menyekat untuk menyiarkan kebenaran,” kata Lim.

Dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59