Friday, 1 December 2006

KERAJAAN ISLAM HADHARI BERANI ROBOHKAN 'RUMAH ALLAH'


Nampaknya kerajaan Islam Hadhari semakin berani dan mabuk kuasa. Setelah mereka merobohkan 'Rumah Allah' di Kampung Bujal, Terengganu, semalam mereka sekali lagi menunjukkan kuasa apabila merobohkan sebuah surau di Kampung Berembang, Ampang Jaya.

Media semalam melaporkan bahawa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan surau di Kampung Berembang di Ampang – satu-satunya bangunan yang masih tinggal selepas rumah penduduk setinggan di kampung itu diroboh minggu lalu.

Kini jelaslah bahawa kerajaan Islam Hadhari dan agensinya tidak mengira siapa atau jenis bangunan yang hendak dirobohkan, yang penting bagi mereka ialah menunjukkan mereka berkuasa. Sikap toleransi, belas kasihan, perikemanusiaan dan bertolak ansur sudah tidak ada dalam benak dan kepala otak mereka.

Dalam kejadian semalam, penduduk bersama-sama ahli beberapa badan bukan kerajaan dan parti politik, terbabit dalam pergelutan dengan pegawai penguatkuasa MPAJ, yang dibantu oleh pihak polis serta anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU dalam usaha mereka untuk mempertahankan surau tersebut.

Minggu lalu, MPAJ merobohkan kesemua 50 rumah di situ, dan hanya meninggalkan bangunan surau tersebut – itupun selepas bantahan penduduk dan ahli-ahli Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

Ekoran itu, penduduk terbabit membina khemah sementara di situ dalam usaha mereka untuk menyelamatkan surau tersebut.

Pagi semalam, MPAJ, dengan menggunakan jentolak, datang untuk menyelesaikan tugas membersihkan kawasan tersebut, dan sekali lagi berdepan dengan tentangan para penduduk.

Kira-kira 60 penduduk dan aktivis hadir untuk menghalang kerja-kerja tersebut dengan meletakkan kenderaan mereka di sekeliling surau itu supaya tidak dapat dihampiri jentolak.

Usaha Setiausaha Agung penaja Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan untuk berunding dengan pihak MPAJ, gagal dan berlaku bergelutan apabila kakitangan majlis itu mula menumbangkan pokok di luar surau tersebut.

Tetapi keadaan menjadi tidak terkawal apabila pasukan penguatkuasa MPAJ mula memotong pagar surau itu pada jam 11 pagi.

‘Zon perang’

Para penduduk yang cuba menghalang tindakan meroboh surau itu telah ditolak oleh pegawai penguatkuasa MPAJ yang berjumlah lebih 100 orang.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila anggota polis dan FRU turut masuk campur dan bertindak memukul penduduk serta penyokong mereka yang berhimpun di situ.

Wanita dan kanak-kanak yang berkumpul di dalam surau itu juga tidak terkecuali.

Seorang saksi berkata, pegawai penguatkuasa bertindak agresif terhadap wanita dan kanak-kanak. Seorang wanita yang merantai dirinya dengan rantai besi ke bangunan surau tersebut, juga dikeluarkan secara paksa.

Selepas kejadian tersebut, 11 penduduk dan aktivis ditahan dan dibawa ke balai polis daerah Ampang.

Apabila keadaan kembali tenang, Kampung Berembang kelihatan seperti ‘zon perang’ dengan penduduk “bergelimpangan”, antaranya menangis kesakitan, manakala sebahagian lagi pengsan dan cedera dipukul polis.

Pada jam 1 tengahari, MPAJ seleasai merobohkan bangunan surau tersebut.

Sementara itu Gabungan Kemajuan Wanita (WDC) mengecam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana menggunakan kekerasan ketika merobohkan sebuah surau tersebut.

"Cara yang digunakan oleh pegawai MPAJ – seperti membaling kerusi dan memindah penduduk secara kekerasan – tidak boleh diterima,” kata Pengarah Eksekutif WDC, Maria Chin Abdullah.

“[Ia] satu pelanggaran hak asasi manusia,” tambahnya dalam satu kenyataan.

“Amat malang sekali MPAJ menggunakan cara yang tidak demokratik untuk menguatkuasakan kuasa mereka,” kata Maria.

Beliau juga berkata, majlis tersebut boleh menunggu sehingga mahkamah mendengar permohonan penduduk terbabit untuk menghalang tindakan memindahkan mereka dari situ. Kes tersebut dijadual didengar April depan.

“Ia hanya lima bulan sahaja lagi. Tindakan MPAJ itu jelas memperlihatkan sikap tidak menghormati proses perundangan,” katanya.

Khemah sementara

Dalam kejadian itu, 11 orang – sembilan orang aktivis dan dua orang penduduk – ditahan kerana didakwa menghalang kerja meroboh surau tersebut.

Mereka dibawa ke balai polis Ulu Kelang Taman Keramat dan Ampang Jaya.

Sebuah lagi badan hak asasi manusia, Suaram berkata, kesebelas orang mereka harus dibebaskan segera dan menyifatkan tangkapan mereka itu sebagai tidak perlu.

“Memandangkan kes mahkamah masih belum selesai, MPAJ dan pihak polis tidak patut mengambil sikap memihak kerana tugas mereka bukannya berkhidmat kepada pemaju dalam merobohkan sesebuah rumah,” kata Suaram dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kumpulan sokongan akar umbi, Jerit, pula berkata penduduk terbabit akan terus tinggal di situ.

“Walaupun tempat tinggal sementara mereka telah dirobohkan hari ini, tetapi mereka akan mendirikan yang lain dan kekal tinggal di situ,” kata E Parames ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, MPAJ sedang membina parit di tiga jalan masuk ke kampung tersebut bagi menghalang penduduk memasuki kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, saya tidak rasa ianya akan memberi sebarang kesan kepada penduduk yang sudah pun berada di dalam kawasan tersebut,” katanya.

Disunting dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59