Tuesday, 19 December 2006

Kelantan nafi benarkan disko, kelab malam


KOTA BARU 18 DIS: Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah bercadang untuk membenarkan pusat hiburan seperti disko atau kelab malam beroperasi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan YB Hj Takiyuddin Hassan berkata pusat hiburan seperti itu tidak mungkin akan bertapak di Kelantan walaupun untuk tujuan menarik pelancong ke negeri ini selagi PAS memerintah Kelantan.

"Jika ada laporan media yang menyebut Kelantan akan benarkan disko dan kelab malam, itu tidak benar. Saya sendiri terkejut bila ada orang tanya saya betul ke Kelantan nak benarkan disko dan kelab malam. Tidak benar tu...," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandar Raya Islam (MPKBBRI) di sini, hari ini.

Majlis perbandaran itu kini diterajui Shafie Ismail, bekas Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan. Shafie menggantikan Abd Aziz Abd Rahman yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Takiyuddin berkata kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan membenarkan operasi pusat hiburan di negeri ini sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris beberapa hari lepas.

"Laporan itu lari dari konteks sebenar. Apa yang saya katakan, kalau ada tari menari dalam satu majlis, umpamanya, yang hanya melibatkan lelaki sahaja atau wanita sahaja, pada saya, itu tidak menjadi masalah.

"Begitu juga kalau suami isteri nak menari dalam satu majlis, tetapi dengan ada batas-batas tertentu, pada pandangan peribadi saya, itu juga tidak ada masalah," katanya.
Katanya kerajaan negeri mengamalkan prinsip keterbukaan, namun tetap tegas jika ia melibatkan dasar kerajaan.

"Kita sentiasa terbuka, contohnya dalam hal persembahan kebudayaan seperti Makyong. Kerajaan negeri tidak benarkan kerana mantera yang dibaca itu mempunyai unsur-unsur khurafat.

"Tetapi jika ada pihak, penggiat seni atau sesiapa sahaja yang boleh tunjukkan bahawa bacaan itu tidak membawa apa-apa unsur sedemikian, mereka boleh datang jumpa kita, kita akan sokong dan benarkan persembahan kebudayaan yang tidak bertentangan dengan Islam," tambahnya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59