Tuesday, 19 December 2006

JOHOR BAH, RIBUAN DAH DIPINDAHKAN


JOHOR BARU 19 DIS : Ujian Allah datang lagi. Kali ini berupa air bah pula. Setelah hujan lebat dari pagi semalam sehingga pagi ini menyebabkan beberapa kawasan di seluruh Johor ditenggelami air dan lebih 2,000 orang dipindahkan.

Penduduk Kampung Laut, Skudai bersesak di pusat perpindahan banjir di bangunan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Johor berkata penduduk yanag terlibat adalah dari Batu Pahat, Pontian, Johor Baru dan Kota Tinggi yang sudah diarah berpindah secara berperingkat-peringkat sejak tengah malam tadi.

Di Batu Pahat lima keluarga yang tinggal di Kampung Parit Haji Kamisan, Yong Peng, dipindahkan ke balai raya Kampung Parit Haji Kamisan dan Dewan Orang Ramai Yong Peng manakala di Parit Raja, empat keluarga dari Kampung Parit Daun, dipindahkan ke Kompleks Penghulu Mukim 8.

Turut dipindahkan ialah tiga keluarga dari Kampung Parit Jambul ke dewan Sekolah Kebangsaan Pintas Puding dan 19 keluarga dari Kampung Seri Paya ke balai raya Kampung Seri Paya.

Di kawasan Pekan Nenas, Pontian, 20 keluarga dari Kampung Paya Embun diarah berpindah ke kawasan selamat manakala tujuh keluarga lagi dari Kampung Melayu Raya diarah berpindah ke Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Raya.

Di daerah Kota Tinggi pula sembilan keluarga dari Kampung Sungai Berangan dan 11 keluarga dari Kampung Paya Sungai Redan dipindah ke balai raya kampung berkenaan manakala di Kluang, banjir turut melanda Kampung Bentong Dalam, Kampung Melayu dan Yap Tau Sah.


Mangsa bah Kampung Laut mengharung kepayahan ke pusat perpindahan di bangunan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah semalam. (foto Oriental Daily)

Jurucakap Bilik Gerakan Pejabat Daerah Johor Baru berkata beberapa pusat pemindahan banjir dibuka sejak awal pagi bagi menempatkan 22 mangsa dari Kampung Melayu Sengkang, Kulai, dan 722 mangsa dari Kampung Laut Batu 10, Skudai.

Turut terlibat ialah Lorong Arif Taman Tun Aminah (170 orang), Kampung Sungai Besui, Sedenak (113), Kampung Maju Jaya (243), Kampung Oren, Tiram (200), Kampung Mohd Amin (102), Kampung Kangkar Tebrau (150), Kampung Pasir Tebrau (200).

Kampung ialah Kampung Paya Kenangan Tebrau (150), Kampung Plentong Baru (200), Kampung Sentosa/Sentosa Barat (100), Kampung Rinting Masai (200), Batu 10 Sungai Tiram (30).

Di Kampung Paya Nam Heng, Tiram, 11 keluarga terlibat dan di Kampung Mados 19, sebanyak 14 keluarga diarah berpindah.

Jurucakap itu berkata hujan yang lebat turut mengakibatkan Jalan Kolam Air di Bandar Raya Johor Baru ditutup kerana dikhuatiri berlaku tanah runtuh.

Tinjauan Bernama pada 10.30 pagi tadi mendapati anggota Jabatan Pertahanan Awam sudah dikerahkan ke kawasan tersebut.

Laluan dari Skudai menuju ke pusat bandar serta jalan-jalan utama di pusat bandar juga mengalami kesesakan teruk.

Adalah dijangkakan negeri-negeri lain turut sama akan menghadapi ujian ini kerana hujan tidak berhenti-henti di hampir kesemua negeri di Semenanjung.

Kita mendoakan Allah S.W.T tidak menguji kita dengan ujian yang tidak mampu kita tanggung.

Dipetik dari Bernama dan The Star.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59