Friday, 3 November 2006

MENGHARAPKAN SINAR BARU DI SELATAN THAI


Selatan yang bergolak sejak sekian lama diharapkan kembali aman dan damai dengan kesediaan Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont memohon maaf kepada penduduk Islam di selatan Thai semalam.

Beliau memohon maaf kerana dasar-dasar tidak bertolak ansur yang diambil oleh kerajaan lalu sejak sekian lama.Dasar sedemikian dilihat oleh banyak pihak telah memarakkan pergolakan di tiga wilayah selatan Thai.

Masyarakat semua tahu kerajaan Thai sebelum ini sentiasa mengamalkan diskriminasi terhadap rakyat di selatan Thai yang majoritinya beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Insiden Tak Bai, dengan lima orang dibunuh oleh tentera dalam satu demonstrasi di depan balai polis, dikritik masyarakat antarabangsa apabila 78 penduduk tempatan lain ditimbun atas satu sama lain di belakang sebuah trak tentera pada bulan puasa, 25 Okt, 2004, suatu tindakan yang amat zalim.

Kita mengharapkan kata-kata dan janji Surayud ini dibuat dengan ikhlas tidak sebagaimana kerajaan sebelum ini yang hanya bermain dengan kata-kata tetapi pelaksanaannya tidak sedemikian.

Ketika berucap kepada 1,000 pemimpin dan penduduk Islam di sini, Surayud berjanji untuk menyiasat kehilangan penduduk Islam sejak pemberontakan pemisah bermula pada awal 2004 di samping menyingkirkan pegawai kerajaan yang korup dan menyalahgunakan kuasa di selatan Thai.

“Saya datang ke sini untuk memohon maaf kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan masa lalu dan masa kini,” kata Surayud sambil memohon bantuan untuk menamatkan keganasan yang telah meragut 1,700 nyawa.

“Saya datang ke sini hari ini untuk menemui semua orang dan menyatakan, ‘salah saya, saya minta maaf’,” kata Surayud yang mengaku bahawa sebagai bekas ketua tentera, beliau telah gagal menentang dasar-dasar kekerasan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Insiden Tak Bai, dengan lima orang dibunuh oleh tentera dalam satu demonstrasi di depan balai polis, dikritik masyarakat antarabangsa apabila 78 penduduk tempatan lain ditimbun atas satu sama lain di belakang sebuah trak tentera pada bulan puasa, 25 Okt, 2004.

Ramai pemimpin tempatan menganggap tragedi itu serta insiden Kerisik menyebabkan meningkatnya keganasan di tiga wilayah selatan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat, namun kerajaan Thai tidak menghukum mana-mana pegawai yang terlibat.

Surayud turut melahirkan hasrat untuk mendekati golongan muda Islam dalam usaha untuk menamatkan pergolakan di selatan Thai sejak tiga tahun lalu.

Surayud, bekas komander tentera yang dilantik sebagai Perdana Menteri sementara pada 1 Oktober lalu berikutan rampasan kuasa 19 September, berucap kepada lebih 1,000 guru, pegawai tempatan, pelajar dan penduduk kampung Islam di sebuah hotel di sini.

Sambil mengakui bahawa salah laku sesetengah pegawai kerajaan telah memarakkan semangat puak pemisah di selatan Thai, Surayud berkata, beliau mahu ‘kakitangan awam yang baik bekerja di sini dan mereka yang jahat disingkirkan dari rantau ini.’

“Saya sendiri mahu menemui golongan muda di rantau ini dan saya mahu awak membantu membetulkan tanggapan sesetengah golongan muda yang mungkin telah diperdayakan,” katanya dalam perhimpunan yang disiarkan ke seluruh negara itu.

“Tidak ada perkara lain yang mengatasi keikhlasan saya untuk menyelesaikan masalah ini dan saya mengharapkan kerjasama daripada seluruh masyarakat, termasuk golongan muda,” katanya.

“Inilah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.”

Junta tentera Thai dan Surayud telah menyatakan keutamaan mereka adalah untuk menghentikan keganasan di selatan sambil berjanji untuk mendengar rungutan penduduk Islam dan menangani kezaliman yang dikatakan menjadi punca pemberontakan.

Kerajaan baru juga melahirkan kesediaan untuk berdialog dengan puak pemberontak.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59