Monday, 20 November 2006

KERAJAAN NEGERI BENARLAN KONSERT ROCK ASALKAN MEMENUHI SYARAT-SYARAT TERTENTU


KOTA BAHARU 20 NOV : Setelah 15 tahun Kerajaan PAS yang memerintah Kelantan, semalam dengan rasminya mengumumkan kesediaan memberi laluan kepada mana-mana pihak untuk mengadakan konsert di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri YB Hj Takiyuddin Hassan berkata Menteri Besar Tuan Guru Datuk Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat telah bersetuju membuka peluang kepada pertubuhan bukan kerajaan, persatuan atau orang perseorangan yang hendak menganjurkan konsert.

"Kita mengalu-alukan dan sedia memberi peluang kepada mana-mana pertubuhan, persatuan atau orang-orang perseorangan yang ingin menganjurkan konsert di negeri ini," katanya kepada pemberita pada Konsert Terbuka Hotlink di sini, malam tadi sempena ulangtahun pertama pengisytiharan Kota Baharu Bandaraya Islam.

Konsert ketiga anjuran kerajaan negeri itu dihadiri kira-kira 15,000 penonton dengan menampilkan beberapa artis termasuk Mawi, InTeam, Haziq dan Hazama serta pelawak kumpulan Salam Pantai Timur.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata beberapa syarat perlu dipatuhi oleh penganjur terbabit termasuk daripada segi pemakaian, lagu yang dipersembahkan dan tidak bercampur antara lelaki dan perempuan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedia menerima mana-mana kumpulan rock untuk datang mengadakan persembahan dengan syarat tidak melampaui batas yang ditetapkan.

"Tidak semua rock itu negatif, ada juga positif, kita ambil yang positif untuk dipersembahkan kepada orang ramai," katanya.

Kerajaan PAS Kelantan "menutup" sepenuhnya persembahan kebudayaan dan hiburan sejak memerintah negeri itu pada 1990 dengan alasan terdapat unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan akidah Islam.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini beberapa permainan tradisional seperti wayang kulit dan dikir barat diberi kelonggaran untuk mengadakan persembahan dengan syarat tidak terdapat unsur-unsur tahyul dan "kotor" yang boleh merosakkan akhlak manusia.

Takiyuddin berkata kerajaan negeri juga sedia menimbang diadakan persembahan Mak Yong dan Puteri kepada orang ramai dengan syarat tidak mencampur-adukkan unsur-unsur tahyul dan khurafat yang diamalkan dalam seni itu.

"Kalau ada pengiat seni yang boleh beri pandangan kepada saya...kalau boleh buatlah kajian cara mana persembahan itu hendak dilakukan agar tidak bercanggah dengan agama kita," katanya

Disunting dari The Star

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59