Monday, 20 November 2006

ISU BABI : PENDUDUK PERLU KAJI SEMULA SOKONGAN KEPADA ISLAM HADHARI


MELAKA 20 NOV : Kira-kira 200 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Linggi dan Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, perlu mengkaji semula sokongan mereka kepada kerajaan Islam Hadhari kalau mahu isu babi di kawasan mereka diselesaikan.

Demikian kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan DPP Kawasan, Hj Salamat Aman ketika diminta komen beliau terhadap isu. Media melaporkan semalam bahawa penduduk-penduduk di kawasan tersebut berpiket secara aman, semalam untuk membantah kewujudan kandang ternakan babi di kawasan itu.

'Selagi BN tidak diajar di dalam Pilihanraya selagi itulah isu ini tidak akan selesai, kerana BN hanya akan memandang sebelah mata sahaja kepada bantahan penduduk Melayu tetapi kalau orang lain yang buat bantahan secepat kilat mereka akan bertindak. Ini kerana BN tahu orang Melayu tetap akan menyokong mereka walau apapun isu yang dibangkitkan' kata Hj Salamat.

"Bayangkan sudah 50 tahun isu berlarutan, dah berapa keturunan babi-babi ini dibiakkan, orang melayu masih dibelenggu dengan isu ini mengapa mereka masih mahu memberikan sokongan kepada Islam Hadhari' soal Salamay yang juga merupakan Bendahari DPP Negeri Melaka.

Penduduk mendakwa bahawa kewujudan ladang babi itu sejak lebih 50 tahun lalu menimbulkan masalah bau busuk dan sisa kumbahan yang mengalir ke Sungai Telok Gong dan Sungai Besar, Kuala Sungai Baru, sekali gus mencemarkan kawasan pantai Kuala Sungai Baru.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ujong Padang, Omar Md Noh, berkata masalah itu masih berlarutan biarpun semua pengerusi JKKK di kedua-dua Dun menghantar memorandum kepada Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam, awal tahun ini.

Beliau mendakwa, selepas memorandum diserahkan, mereka hadir pada perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Ismail Salleh, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Penduduk tidak tahan lagi berdepan masalah bau dan pencemaran air yang berpunca daripada kandang babi itu, yang kebanyakannya terletak di tengah kawasan kampung Melayu.

“Penduduk sentiasa menghidu bau busuk setiap hari, malah ada ketikanya ketika menunggang motosikal untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat, kami terkena percikan air haiwan itu dari lori yang mengangkutnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Masjid Tanah, Rozamri Kambul, berkata ada kira-kira 67 pengusaha ternakan khinzir di dalam Dum Kuala Linggi dan Dun Tanjung Bidara setakat ini.

Beliau mendakwa, keseluruhannya dianggarkan 150,000 babi diternak di dua Dun itu dan ia melebihi jumlah penduduk dengan nisbah 1:3 iaitu tiga ekor khinzir bagi setiap penduduk.

Sementara itu, pengerusi JKKK Kampung Telok Gong, Abu Bakar Darum, 58, berkata pertambahan penternak di situ berpunca daripada penutupan kandang ternakan di Telok Pelanduk, Lukut, Negeri Sembilan selepas gejala Japanese Encephalitis (Nipah Virus) melanda di situ pada pertengahan 1990-an.

“Kami bukan hendak menyekat aktiviti penternak terbabit, tetapi ia menimbulkan banyak masalah kepada penduduk. Paling teruk ketika hujan lebat apabila pengusaha kandang babi melepaskan air sisa kumbahan ke sungai dan terus mengalir ke laut, sekali gus mencemarkan pantai Telok Gong dan Sungai Tuang, Kuala Sungai Baru,” katanya.

Difahamkan, semua kandang ternakan babi itu beroperasi dikelilingi kira-kira 15 kampung dengan jumlah penduduk dianggarkan kira-kira 20,000 hingga 30,000 orang.

Malah, satu kandang ternakan terletak kira-kira 50 meter saja daripada rumah penduduk di Kampung Sungai Tuang, Kuala Sungai Baru.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59