Tuesday, 3 October 2006

POLIS ANTI RASUAH ATAU POLIS NANTI RASUAH?


Bila terbaca berita bahawa lima anggota narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru yang disiasat berhubung kehilangan wang rampasan milik seorang pengedar dadah, dipercayai menyogok isteri suspek sebanyak RM40,000 bagi merahsiakan perkara itu, maka tergambar dalam fikiran kita apa slogan Polis ANTI RASUAH atau NANTI RASUAH.

Slogan ini kerap kali dipersendakan oleh orang ramai kerana banyak dakwaan di terima bahawa lencana yang dipakai oleh Polis di dada mereka tidak menakutkan mereka untuk melakukan perkara jijik tersebut.

Ini terbukti dengan kes yang melibatkan kumpulan yang diketuai seorang sub inspektor itu dikatakan berbuat demikian selepas menemui wang tunai RM680,000 dalam serbuan di rumah pengedar terbabit di Taman Sentosa, Johor Bahru, Jun lalu.

Menurut sumber, kumpulan itu mulanya membuat laporan dan mengisytiharkan menemui RM51,000 tetapi beberapa hari kemudian membuat pengisytiharan kedua membabitkan rampasan sebanyak RM140,000.

“Pada awal Julai lalu pula, mereka sekali lagi membuat pengisytiharan dan memaklumkan wang yang dirampas berjumlah RM259,000 dan menjadikan keseluruhan wang rampasan dilaporkan sebanyak RM490,000.

“Lima anggota polis itu membahagikan baki wang rampasan berjumlah RM190,000 selepas memberi isteri suspek RM40,000 supaya tidak ‘membuka mulut’ dan melaporkan kepada polis atau suaminya,” kata sumber itu.

Perbuatan kumpulan itu bagaimanapun terbongkar apabila seorang daripada mereka melaporkan kes berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan pembahagian wang itu, yang dikatakan tidak adil.

“Selepas menerima laporan itu, satu jawatankuasa siasatan khas dari Bukit Aman ditubuhkan dan susulan itu lima anggota polis berkenaan ditahan pada pertengahan bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Najib Abdul Aziz, berkata setakat ini cuma lima anggota narkotik dari IPD Johor Bahru termasuk seorang sub inspektor digantung tugas dan disiasat berhubung kes itu.

Kes itu disiasat sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Jenayah dan Tatatertib Bukit Aman mengikut Kanun Keseksaan (Jenayah Perdagangan) membabitkan penyelewengan wang rampasan.

“Kita masih menunggu laporan siasatan dan akan memastikan tindakan yang dikenakan terhadap anggota polis terbabit setimpal dengan jenayah yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Adalah diharapkan pihak pimpinan PDRM dapat menanamkan aspek agama dengan lebih mendalam dan bersungguh-sungguh dikalangan anggotanya kerana dengan aspek agama sahajalah perkara jijik tersebut boleh dibenteras. Selagi kefahaman agama tidak bertapak didalam diri anggota PDRM selagi itulah mereka tidak takut untuk melakukan jenayah tersebut. Hanya takutkan Allah sahajalah menjadi pelindung kepada hambaNya dari melakukan kejahatan.

Selain itu usaha untuk menaikkan gaji dan elaun pihak Polis juga merupakan usaha yang baik untuk mengurangkan masalah rasuah ini.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59