Tuesday, 3 October 2006

PENGUNDI HANTU JUGA 'MENYAKAT' DALAM PILIHANRAYA KAMPUS


PETALING JAYA 3 OKT : Nampaknya pengundi hantu bukan sahaja ujud dalam Pilihanraya Umum malah telah menular dalam Pilihanraya Kampus. Semua adalah gara-gara sindrom takut kalah dan tamakkan kuasa golongan yang menyokong pemerintah.

Pilihanraya kampus yang sudah selesai dua minggu lepas. Tetapi ianya tidak selesai begitu sahaja. Pelbagai dakwaan salah laku diutarakan oleh pelbagai pihak.

Malah pembuangan undi bagi dua kerusi di Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya sudahpun selesai Rabu lalu, namun sekumpulan pelajar masih menuntut pihak berkuasa universiti memberi penjelasan mengenai kehadiran pengundi hantu.

Pemimpin pelajar dari kumpulan pro-pembangkang UM mahu pihak berkuasa universiti menjalankan siasatan rapi terhadap dakwaan kehadiran pengundi hantu semasa pemilihan wakil pelajar bulan lepas yang memaksa pembuangan semula undi dibuat.

Mereka mahu supaya beberapa ketidaklaziman yang berlaku semasa pemilihan wakil pelajar berlangsung di universiti berkenaan bermula 21 September lalu itu diperjelaskan.

Sumber dari bahagian hal ehwal pelajar universiti berkenaan bagaimanapun menjelaskan masalah itu tidak berkaitan isu pengundi hantu, tetapi mungkin disebabkan oleh rekod pelajar yang tidak seragam di antara pihak Fakulti Undang-undang dan Bahagian Kemasukan dan Rekod Pelajar.

"Mungkin ada loophole di mana-mana, sama ada di Fakulti atau Rekod Pelajar. Pihak universiti sedang mengenalpasti punca sebenar masalah itu sekarang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang menafikan kewujudan pengundi hantu turut menolak dakwaan bahawa masalah tersebut berpunca daripada penempatan peti undi di kolej-kolej kediaman sehingga membolehkan mereka yang tidak sepatutnya membuang undi.

"Cuma pelajar yang berdaftar di kolej sahaja yang layak mengundi dan mereka boleh menyemak status mereka melalui senarai yang dipamerkan di tempat membuang undi," jelasnya.

Kesan daripada pembuangan undi semua itu, salah satu kerusi fakulti yang sebelumnya dimenangi golongan penyokong kerajaan, akhirnya jatuh ke tangan seorang calon bebas.

Pemimpin pelajar dari kalangan penentang kumpulan pro-aspirasi bagiamanapun terus mempertikaikan ketelusan proses pengundian di pusat-pusat pengundian di kolej kediaman.

"Pada awal lagi kami memang tidak bersetuju pemilihan dilakukan di kolej kediaman kerana bimbang ada undi hantu. Tapi bila berlaku macam ini, kami tidak pula diberitahu apa sebenarnya yang berlaku," kata seorang pemimpin pelajar universiti berkenaan ketika dihubungi hari ini.

Beliau bertegas bahawa wujud pengundi hantu yang membuang undi untuk calon pro-aspirasi kerana pihak penganjur pilihanraya mengumumkan 72 kertas undi dikira daripada 71 orang pengundi sedangkan bilangan pelajar fakulti yang layak mengundi hanya 68 orang.

Pengundi hantu, menurutnya lebih mudah dikenalpasti jika pusat pembuangan undi diadakan di fakulti kerana setiap pelajar hanya akan membuang undi di fakulti masing-masing.

Presiden gabungan pertubuhan pelajar itu juga yakin ramai pengundi hantu boleh dikenalpasti di Kolej Ke-12 yang menempatkan paling ramai pelajar di kampus berkenaan.

Selain itu, beliau juga mahu supaya Kolej Pertama, Kedua dan Kelima yang menempatkan ramai pelajar Fakulti Undang-undang juga diberi perhatian.

Kolej-kolej tersebut dihuni lebih 3,000 pelajar pelbagai jurusan berbanding sekitar 1,000 pelajar di 11 kolej lain.

mStar Online difahamkan pihak universiti tidak setakat ini belum berhasrat tunduk kepada desakan pelajar berkenaan.

Menurut sumber, pihak pengurusan universiti berpendapat penjelasan bahawa masalah itu berpunca daripada ketidakseragaman rekod pelajar yang berdaftar sudah memadai.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59