Thursday, 5 October 2006

PAS DAN PKR SOKONG DPCPP


PULAU PINANG 5 OKT : Parti-parti pembangkang menyokong tindakan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang menolak Draf Rancangan Struktur Pulau Pinang yang mengekalkan elemen Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurut para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS, elemen-elemen DEB yang tidak berjaya meningkatkan ekonomi bumiputera dan gagal membela rakyat miskin tidak perlu diteruskan.

Kata mereka, cadangan pemilikan 30 peratus orang Melayu dalam bidang ekonomi di Pulau Pinang tidak akan membantu keseluruhan orang Melayu yang miskin di negeri itu.

PAS Pulau Pinang mendakwa draf program pembangunan itu hanya nampak baik di atas kertas tetapi kosong pada realitinya.

“Semua orang tahu bahawa agensi kerajaan seperti Mara, Perda dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) gagal membantu orang Melayu, saya tidak percaya program tersebut akan berjaya,” kata ahli jawatankuasa PAS negeri Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, draf rancangan itu jika dilaksanakan bakal mengulangi apa yang berlaku kepada orang Melayu semasa perlaksanaan DEB.

Menurut Mujahid, punca sebenar kegagalan orang Melayu Pulau Pinang ialah ketiadaan keazaman politik pemimpin Umno untuk memajukan orang Melayu.

Selain itu, katanya, pemikiran pemimpin Umno juga sangat rendah sehingga mereka tidak mampu merancang pembangunan ekonomi yang berkesan untuk orang Melayu negeri itu.

“Akibatnya orang Melayu Pulau Pinang bukan lagi dipinggir tetapi dihina. Masalah ini hanya dapat diatasi jika orang Melayu sendiri menukar pemimpin,” tegasnya.
Naib Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, cadangan dalam draf tersebut adalah idea lapuk DEB yang terbukti gagal membantu orang Melayu.
“DEB bukan untuk membantu orang Melayu yang miskin tetapi untuk mengkayakan beberapa elit politik yang ada hubungkait dengan pemerintah.

“Bukan itu sahaja, PKR juga menolak sebarang usaha yang berbentuk perkauman. Draf tersebut jelas menuju ke arah itu dan bantahan DPCPP itu ada asasnya,” kata beliau.

Shamsul mengulas bantahan DPCPP terhadap Draf Rancangan Struktur Pulau Pinang (2005 2020) yang memberi penekanan kepada penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi.

Presiden Kehormat pertubuhan itu, Tan Sri Tan Kok Ping semalam menyatakan, ahli-ahli dewan itu membantah tujuh cadangan dalam draf berkenaan yang antara lain menghendaki penglibatan 30 peratus bumiputera dalam pemilikan dan projek perumahan, perindustrian, pertanian serta peruntukan khas ruang niaga pada kadar yang munasabah.

Tanpa kira kaum

Menurut Shamsul lagi, apa yang perlu dibuat sekarang ialah memanggil pakar-pakar ekonomi Melayu untuk merancang dan melaksanakan satu pelan ekonomi yang benar-benar boleh meningkatkan ekonomi orang Melayu Pulau Pinang.

Beliau berkata, agenda ekonomi PKR ialah memperkasakan ekonomi rakyat tanpa mengira kaum kerana jika `kaum rosak negara akan rosak’.

Dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59