Thursday, 5 October 2006

NEGERA ISLAM HADHARI GALAK PENERBITAN MAJALAH LUCAH


Dengan tajuk 'Rela isteri disetubuhi orang', 'Beri servis lebih ikut nafsu', 'Aku kesal kerana berzina' adalah antara paparan cerita-cerita ternoda akhbar-akhbar tabloid, majalah, buku picisan dan komik yang cuba menggoda khalayak, tidak kira dewasa atau pada awal usia muda.

Tidak cukup dengan itu, paparan tubuh wanita dalam aksi seksi dan pakaian yang amat mengghairahkan mengumpan mata pembaca menatapinya seterusnya tanpa banyak soal membeli jauh sekali untuk merasa malu. Sedangkan isi kandungan dan gambarnya langsung tidak membawa teladan yang baik malah seolah-olah 'mengajar' atau paling tidak merangsang pembaca untuk terbabit sama dalam perlakuan sumbang.

Inilah natijah dan bahaya bahan bacaan seumpama ini yang semakin membanjiri pasaran tanpa ada usaha konkrit membendung daripada pihak berkuasa dan bantahan daripada masyarakat yang cintakan nilai moral dan akhlak yang tinggi.

Tinjauan mendapati beberapa akhbar tabloid seperti Mingguan Prima, Buletin Jempol, Warta Seni dan buku-buku picisan seperti Suria Permata dan Kehidupan Realiti menggunakan pendekatan sama demi mengaut keuntungan sedangkan tulisan dan mesejnya tidak langsung meningkatkan budaya ilmu malah banyak menyemai benih negatif yang merosakkan budaya fikir dan akhlak masyarakat.

Di samping itu, bahan bacaan tersebut turut menawarkan bayaran pada kadar tertentu kepada pembaca yang ingin memuatkan kisah peribadi yang sensasi dan foto peribadi mereka, malah dalam buku tersebut disediakan borang pengakuan benar!

Mengecewakan lagi, akhbar-akhbar tersebut turut mengiklankan perkhidmatan meramalkan nombor empat angka atau nombor ekor bagi pembaca untuk mengatasi kemelut kewangan dan dalam masa yang sama mempersendakan hukum agama dengan meletakkan nota kecil diiklan tersebut: Haram bagi orang Islam berjudi!

Pantau apa yang anak anda baca

Rungutan masyarakat mempertikai nilai-nilai yang cuba diterapkan oleh sebuah majalah popular kanak-kanak yang dirasakan amat tidak sesuai pada usia tersebut iaitu - lima soalan tentang payu dara, tiru macam saya (kaedah bermekap), inilah gayaku (berfesyen) selain menyiarkan 'horoskop'(melihat ramalan bintang yang jelas bertentangan dengan Islam).

Selain itu, ibu bapa disarankan supaya tidak terlepas pandang dan memantau apa yang ditatapi oleh anak-anak mereka kerana kalau komik sekalipun pastikan terlebih dahulu isi kandungannya agar tidak menyongsang ceritanya seperti buku komik 'Kalau Itu takdirnya', yang memaparkan babak persetubuhan yang jelas merosakkan fikiran remaja dan kanak-kanak.

Lebih menyesak dada, sebuah buku komik terbitan sebuah syarikat di Puchong bertajuk 'Cinta Asmara Dua Lelaki' yang mengisahkan kehidupan dua lelaki homoseks termasuk paparan ilustrasi lucah perlakuan sumbang mereka yang jelas mempengaruhi pembaca khususnya kanak-kanak terhadap seks luar tabii ini,malah buku komik ini mendapat permit penerbitan PP 12713/5/2007.

KDN beri lesen penerbitan berunsur lucah

Ya, jangan terkejut, sebilangan besar bahan berunsur lucah ini mendapat kebenaran dan permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang menterinya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi! Barangkali kerana itulah, tinjauan mendapati kedai-kedai buku dan runcit di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman menjual bahan bacaan yang mencolok mata dan merangsang nafsu berahi tanpa segan silu apatah lagi untuk menghormati suasana Ramadan mulia ini, kerana mempunyai 'kebenaran' KDN.

Tidak seperti mempamerkan akhbar politik seperti Harakah yang mengundang rasa ketakutan kepada para peniaga untuk menjualnya (sebelumnya, KDN bertindak nekad mengurangkan kekerapan Harakah daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan).

Lambakan bahan bercetak tersebut , menimbulkan persoalan sama ada KDN dibawah pimpinan Abdullah bersikap sambil lewa ataupun berlunak kepada penerbitan yang mengandungi unsur lucah selagi penerbitaan itu tidak membicara hal ehwal politik yang yang dianggap boleh menggugat dan menyinggung kerajaan?

Sikap 'double standard' dan acuh tak acuh dapat dilihat melalui tindakan KDN menyenaraikan penerbitan haram 2006 yang antaranya ialah buku bertajuk 'Sexual Pleasure' yang ditulis Barbara Keesling sedangkan buku terbitan sebuah syarikat di Batu Caves Centerpoint, Selangor bertajuk Seksologi yang jelas membicarakan 15 cara dan gaya seks, seks ideal cara untuk menikmatinya mendapat kelulusan KDN dan dijual secara terang-terangan!

Dalam laman web KDN menyenaraikan antara larangan ke atas sebarang penerbitan menyiarkan: 1. Gambar-gambar wanita yang menunjukkan buah dada atau memakai baju tetapi sebahagian buah dadanya dibuka; 2. Gambar wanita yang hampir bogel di dalam pos-pos yang mengghairahkan; 3. Gambar-gambar wanita yang memakai seluar dalam dan coli sahaja; 4. Gambar-gambar wanita yang memakai bikini.

Peraturan KDN dipersenda

Namun lucunya, hampir tiada bahan bercetak yang mematuhinya termasuklah akhbar-akhbar tempatan arus perdana! Hasrat 'Minda Kelas Pertama' dan slogan 'Modal Insan' yang dicanangkan Abdullah bakal menemui kegagalan sekiranya (KDN) di bawah pentadbirannya berterusan memberi lesen kepada penerbitan berunsur lucah tersebut yang merosakkan pemikiran masyarakat. 'Matlamat tidak menghalalkan cara' demikian nasihat Abdullah baru-baru ini, oleh yang demikian kementerian di bawahnya harus bersungguh-sungguh membanteras, membendung seterusnya mengharamkan penerbitan berunsur lucah supaya cita-citanya untuk melihat rakyatnya berketrampilan serta memiliki minda yang tinggi tercapai.

Jika tidak, Abdullah akan dilihat sekali lagi sebagai seorang pemimpin yang 'hilang kawalan' kerana tidak mampu membendung 'sepahan' dan 'timbunan' bahan bacaan yang merosakkan rakyat.

Harakahdaily.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59