Tuesday, 3 October 2006

KERANA TAMAK JAWATAN KERAJAAN DAN PERSATUAN TERABAI


Menteri Besar Perlis dilihat begitu tamak apabila ingin memegang pelbagai jawatan dalam persatuan sukan. Hujung minggu lalu beliau telah dipilih sebagai Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menggantikan Syed Aidid yang tidak mempertahankan jawatannya.

Selain dari menjadi Presiden KOAM, Shahidan juga merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis.

Semua orang tahu bahawa pimpinan Umno memang suka benar memegang pelbagai jawatan dalam persatuan sukan dan belia. Ini kerana mereka tahu jawatan-jawatan tersebut sudah tentu dapat mempopularkan nama mereka selain ianya juga boleh digunakan untuk membantu mereka ketika pemilihan parti dan pilihanraya umum.

Antara persatuan sukan dan belia yang sangat 'disukai' oleh pemimpin Umno ialah persatuan bolasepak, MAYC, Beliau 4B, Majlis Belia Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan lain-lain.

Apa yang sangat dikesalkan ialah keterlibatan mereka menerajui persatuan-persatuan ini kadang-kadang menjejaskan penumpuan mereka mentadbir negeri dan negara. Selain itu ianya juga menjejaskan persatuan-persatuan itu sendiri kerana pemimpin ini juga sibuk dengan urusan pentadbiran kerajaan dan politik. Malah kadang-kadang persatuan-persatuan terjejas kerana urusan politik dicampuradukkan dengan urusan persatuan. Akhirnya kedua-dua jawatan iaitu jawatan kerajaan dan persatuan diabaikan oleh kerana kesuntukan masa dan kurangnya penumpuan.


Harakahdaily semalam melaporkan bahawa Menteri Besar Perlis Dato' Seri Shahidan Kassim diminta menumpukan kepada usaha penambahbaikan pentadbiran kerajaan negeri Perlis khususnya dari segi ekonomi, daripada melibatkan diri dalam aktiviti lain yang kurang utama.

Shahidan perlu memberi lebih penumpuan terhadap mengatasi kelemahan yang disebutkan terutamanya selepas mendapat teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

"Banyak perkara yang masih perlu diperbaiki khususnya kelemahan kewangan kerajaan negeri dan agensi-agensinya seperti Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Yayasan Islam Perlis (YIPS)," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

"PKENPs banyak berhutang, hutang YIPs terpaksa ditukar jadi geran dan MPK pula kena sita, jadi banyak yang beliau kena baiki. Kalau banyak sangat jawatan luar nanti akan memberi kesan kepada Perlis pula," ujarnya.

Adnan berkata demikian ketika diminta memberikan komen tentang kemenangan Shahidan dalam merebut jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) hujung minggu lalu.

Shahidan memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan yang menyaksikan beliau menewaskan Dato' Danyal Balagopal Abdullah.

Kemenangan ini sekali gus membolehkan beliau menerajui persatuan sukan yang ketiga di peringkat nasional selain Persatuan Renang Amatur Malaysia dan Persatuan Kabaddi Malaysia.

Beliau juga turut menerajui enam persatuan sukan lain di Perlis termasuk Persatuan Bolasepak Perlis.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini, Dato' Zahidi Zainul Abidin (BN-Beseri) mencadangkan agar Shahidan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepk Malaysia (FAM) memandangkan beliau berjaya membawa kejayaan bolasepak di Perlis.

Ruangan iM Komen Harian Metro Sabtu lalu pula disiarkan komen dari seorang yang dikenali sebagai Yobmonaco; "Kepada MB Perlis berilah tumpuan tugas sebagai MB, jangan jadi Presiden KOAM, nanti tak mampu nak buat kerja asyik ulang-alik Perlis-KL."

Menyentuh tentang penglibatan ahli politik dalam persatuan sukan, Adnan berpendapat bahawa ia akan menimbulkan banyak aspek negatif.

Katanya, persatuan sukan seharusnya diuruskan oleh golongan yang profesional dalam bidang sukan tersebut dan penglibatan orang politik hanya dilihat untuk menabahkan pengaruh sahaja.

"Bukan tidak ada yang baik yang mereka buat, tetapi mereka sepatutnya lebih menumpukan bidang mereka dan berilah sukan ditadbir oleh orang yang lebih faham tentang sukan," ujarnya

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59