Tuesday, 3 October 2006

DEMOKRASI TELAH LAMA BERKUBUR DALAM UMNO


Semua orang tahu demokrasi telah lama berkubur dalam Umno terutamanya sejak zaman Mahathir menjadi Presiden Umno. Beliaulah yang memperkenalkan sistem kouta untuk bertanding. Beliaulah juga yang pernah menangguhkan pemilihan dalam Umno dan pelbagai lagi tindakan demokratik yang dilakukan beliau.

Ramai di kalangan ahli dan pemerhati politik mengharapkan tradisi tidak bertamadun Mahathir itu akan dihapuskan oleh Pak Lah, namun semuanya meleset apabila Pak Lah meneruskan tradisi jakun tersebut malah ada di antara tindakan beliau lebih teruk dari zaman Mahathir.

Maka benarlah bahawa demokrasi telah lama berkubur dalam Umno malah ianya menjalar kepada corak pemerintahan kerajaan Islam Hadhari pimpinan Umno. Mereka mengamalkan sistem "matlamat menghalalkan cara" apabila melacurkan SPR dan pelbagai agensi lain semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka.

Pucuk di cita ulam mendatang...mungkin begitulah perasaan majoriti ahli majlis tertinggi Umno apabila cadangan menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan tahun depan dibentangkan di mesyuarat terakhirnya minggu lalu.

Ia mendapat sokongan penuh ahli MT kerana ia jelas memihak kepada mereka dan juga kepada semua pemegang jawatan parti di setiap peringkat.

Dengan keputusan itu, pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan sebelum September tahun depan kini boleh ditangguh sehingga pertengahan 2009.

Dan ini, menurut seorang pemerhati politik, bermakna lebih panjang tempoh bagi pemegang jawatan sekarang mengukuhkan kedudukan masing-masing untuk mengekalkan kuasa pada pemilihan akan datang.

Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpendapat keputusan itu tidak demokratik kerana menghalang ahli daripada memilih pemimpin mereka secara terus mengikut tempoh yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

Dengan mengambil keputusan itu, katanya, MT Umno telah merampas hak ahli untuk memilih pemimpin mereka dan memaksa mereka terus menerima barisan sekarang sama ada suka atau tidak, setidak-tidaknya sehingga 2009.

Katanya walaupun ada peruntukan dalam perlembagaan parti membenarkan penangguhan parti sehingga 18 bulan dari tarikh sepatutnya hakikatnya ia tetap tidak demokratik dan proviso itu sepatutnya digunakan dengan penuh berhemah apabila benar-benar perlu sahaja.

Padanya, alasan MT bahawa penangguhan itu perlu bagi membolehkan parti menumpu seluruh perhatian pada pilihanraya umum dan tegasan bahawa ia pernah dibuat dua kali sebelum ini, terlalu remeh untuk diterima secara serius.

“Ia tidak lebih daripada satu helah untuk mengalih pandangan ahli daripada terlalu bermain politik. Ia tidak ada kena mengena dengan tarikh pilihanraya umum. Maksudnya ia tidak memberi kesan langsung kepada keputusan kerajaan untuk sama ada mempercepatkan atau tidak pilihanraya umum itu,” tegasnya.

Malah, Nidzammuddin yakin tempoh kerajaan sekarang yang sepatutnya tamat pada 2009 tidak akan dipendekkan secara signifikan kerana keadaan ekonomi dan politik negara yang kurang menyerlah berikutan laporan negatif membabitkan kenaikan barangan keperluan dijangka berterusan untuk tempoh yang agak lama.

“Kalau ahli Umno kritikal dan tahu hak mereka, keputusan ini sudah pasti dipersoalkan. Tetapi saya tidak fikir ini akan berlaku kerana keahlian Umno sekarang sudah terlalu homogeneous melainkan segelintir antara mereka, itupun mungkin hanya berani membantah di belakang dan tidak secara terang-terangan,” katanya.

Beliau juga melihat langkah ini sebagai senjata terselindung pucuk pimpinan Umno untuk menghapuskan pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di kalangan ahli kerana mereka tahu pemilihan calon bagi kerusi pilihanraya umum di tangan pemimpin, dan ahli yang berhormat mempunyai peluang lebih besar untuk menang di peringkat parti berbanding mereka yang tidak berjawatan dan berkedudukan.

Seorang ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian dari Selangor yang sependapat dengan Nidzammuddin mengutarakan satu pandangan berbeza dalam mengkritik keputusan itu.

Langkah MT memanjangkan tempoh pemegang jawatan bagi tempoh 2004/2007 itu, kata beliau, secara terus membunuh harapan beberapa tokoh Pemuda yang sudah hampir ‘cukup umur’ untuk memperbaiki kedudukan dan pengaruh mereka dalam pergerakan itu.

“Ramai pemimpin Pemuda peringkat pertengahan sekarang dah mencapai lewat 30-an. Jika pemilihan tahun depan, mereka masih boleh bertanding untuk sepenggal lagi. Tetapi dengan keputusan ini, lebih-lebih lagi jika pemilihan ditangguh sehingga tempoh maksimum 18 bulan, nampaknya ramailah yang akan putih mata kerana sudah melebih 40 tahun,” katanya, yang enggan namanya disiarkan.

Beliau terkilan dengan keputusan MT itu kerana berpendapat ia dibuat lebih berdasarkan kepentingan politik peribadi dan bukan untuk menjaga kepentingan parti seperti yang diuar-uarkan oleh pemimpin tertinggi.

“Ramai kami sangat berharap apabila Pak Lah (Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) naik, amalan kurang demokratik dalam Umno seperti menangguhkan pemilihan dan sistem kuota akan dihapuskan. Nampaknya kami terlalu mengharap,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan perlunya keputusan itu dibuat secara terburu-buru oleh MT, walaupun mengikut perlembagaan ia berhak berbuat demikian.

“Kita akan adakan perhimpunan agung selepas hari raya. Mengapa tidak cadangan itu dilontarkan kepada perhimpunan agung, supaya keputusan yang diambil lebih afdal dan lebih demokratik kerana ia menjadi keputusan perwakilan dan bukan keputusan kurang 50 orang ahli MT,” soalnya sambil mendakwa keputusan itu bukan keputusan popular di kalangan ahli akar umbi.

Sehari selepas keputusan itu diumumkan Abdullah, timbalannya Datuk Seri Najib Razak ketika balik kampung ke Pekan telah mengeluarkan kenyataan meminta ahli Umno berhenti berkempen di samping menyangkal telahan bahawa pilihanraya umum akan dipercepatkan.

Beliau juga secara langsung mengakui bahawa unsur berkempen untuk pemilihan parti sudah bermula dan keputusan melanjutkan tempoh pemegang jawatan sekarang adalah langkah awal menyekat ia berterusan.

Naib presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, pada hari yang sama mengakui bahawa keputusan itu pasti mengecewakan ramai anggota yang berhasrat menawarkan diri bertanding tetapi menegaskan bahawa ia adalah keputusan yang tepat bagi membolehkan anggota parti menumpukan tanggungjawab membantu kerajaan membela rakyat di peringkat akar umbi.

Langkah itu, katanya, perlu dihormati demi kepentingan kestabilan parti, terutama memandangkan cabaran yang dihadapi Umno sangat besar dan bagi mengelakkan ahli membuang masa bermain politik untuk merebut jawatan.

Sumber : The Star

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59