Monday, 2 October 2006

CILI PULA TAK CUKUP? SHAFEI MAKIN PENING


MELAKA 2 OKT : Khabar yang bertiup kencang tentang kekurangan cili selepas krisis gula benar-benar merumitkan pengguna lebih-lebih di musim perayaan ini. Jika ini benar-benar berlaku maka satu lagi bukti terhidang di depan mata kita bahawa menteri berkenaan, Shafei Apdal gagal mengambil pengajaran dari krisis kekurangan gula yang berlarutan berbulan-bulan lamanya. Adalah lebih baik Shafei letak jawatan dan tumpukan sahaja kerjanya untuk memajukan Parlimen Semporna di Sabah.

Shafei sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada permasalahan ini sepatutnya telah lama membuat analisis dan perancangan terhadap kekurangan apa juga barangan keperluan untuk mengelakkan masalah ini berlaku.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan sikap pemborong mengeksport bahan pertanian ke Singapura, sedangkan bekalan tempatan tidak cukup sebagai satu tindakan tidak bertanggung jawab, penganiayaan dan membelakangkan rakyat sendiri.

Pengarah komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman, sepatutnya bekalan dalam negara harus dipenuhi terlebih dulu dan bukan sebaliknya, sehingga menyebabkan harga bahan itu naik mendadak di pasaran tempatan.

Menurut beliau, pemborong seperti itu seharusnya ditarik lesen mereka di samping dikenakan tindakan paling tegas kerana lebih mementingkan keuntungan daripada kepentingan negara.

‘‘Ia merupakan satu penganiayaan kepada golongan pengguna di negara ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, hasil kaji selidik yang dilakukan oleh pihak FOMCA, harga siling cili merah RM8 sekilogram sudah cukup tinggi. Berbanding sebelum ini harganya adalah sekitar RM6 sekilogram.

‘‘Oleh itu mereka tidak wajar mengeksport cili merah ke luar negara jika ia menjejaskan jumlah bekalan untuk pasaran tempatan. FOMCA yakin bekalannya cukup untuk keperluan kita sekiranya pemborong-pemborong ini lebih bertanggungjawab,’’ tambahnya.

Kata Mohd Yusof, masalah kekurangan bekalan cili merah di pasaran merupakan satu petunjuk bahawa bekalan bahan makanan lain boleh menerima nasib yang sama sekiranya kerajaan tidak bersungguh-sungguh menangani isu tersebut.

Beliau berkata, pada peringkat ini kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah itu dan antara tindakan segera ialah menyekat sebarang aktiviti eksport yang boleh menjejaskan jumlah bekalan untuk pasaran tempatan.

‘‘Cili merah adalah contoh terbaik. Masalah yang menimpa pada cili ini tidak mustahil akan ‘berjangkit’ kepada bahan makanan (mentah) yang lain. Apa yang berlaku ini adalah kesan daripada aktiviti tidak bertanggungjawab pemborong dan peruncit.

‘‘Fomca berpendapat kerajaan perlu lebih campur tangan supaya krisis kekurangan bekalan dapat dielakkan. Jangan benarkan mereka eksport cili merah ke Singapura sekiranya bekalan di negara ini tidak cukup. Jika terus berdegil kenakan tindakan paling tegas ke atas mereka,’’ katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini ini bahawa selepas mengalami kesukaran mendapatkan bekalan gula di pasaran diikuti dengan kenaikan harga ayam, para pengguna kini dijangka berhadapan pula dengan masalah kekurangan cili.

Ini kerana faktor hujan sekarang dan masalah untuk mendapatkan bekalan import dari Indonesia dan Thailand ekoran musim perayaan akan menyebabkan bekalan cili di pasaran tempatan berkurangan.

Keadaan diburukkan lagi dengan sikap pemborong yang lebih suka mengeksport cili tempatan ke Singapura kerana harganya lebih mahal.

Sehubungan itu, Naib Presiden Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran Malaysia (PPPSM), Chong Tek Keong tidak menolak kemungkinan kenaikan harga bahan itu dalam masa terdekat.

Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerajaan perlu mempunyai satu pelan tindakan yang lebih komprehensif serta bersifat jangka masa panjang untuk menangani masalah krisis kekurangan bekalan seperti cili merah.

Katanya, ketika ini pelan hanya berbentuk ad-hoc yang kadang kala hasilnya tidak memuaskan.

‘‘Sekarang ini cili merah dan mungkin pada masa akan datang bahan makanan lain pula susah hendak kita dapati dan kita tidak mahu perkara itu berlaku.

‘‘Kita tidak mahu setiap kali hari perayaan masalah yang serupa berlaku. Kerajaan perlu lebih bersungguh-sungguh dan jika terpaksa segala pengeluaran, pemasaran dan pengedaran bahan makanan diseliakan oleh syarikat milik kerajaan,’’ tambahnya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59