Saturday, 9 September 2006

Usaha pujuknya gagal, Dr M tetap bertanding hari ini


Satu perjumpaan khas dengan para perwakilan Umno Kubang Pasu telah telah diadakan malam tadi di mana ketua bahagian, Datuk Johari Baharum dan dua orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad telah meminta mereka jangan mengundi bekas Perdana Menteri itu sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November ini.

Dua orang kuat Dr Mahathir itu ialah bekas wakil peribadinya di Kubang Pasu, Tan Sri Osman Aroff yang juga bekas Menteri Besar Kedah serta bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Datuk Saad Man.

Perhimpunan khas diadakan sebagai usaha terakhir mereka, ekoran kegagalan usaha Umno bahagian memujuk Dr Mahathir supaya menarik diri daripada bertanding sebagai perwakilan bahagian itu hari ini.

Dr Mahathir adalah antara 17 calon, termasuk anaknya Datuk Mukhriz yang akan bertanding merebut tujuh jawatan perwakilan ke perhimpunan agung Umno November ini.

Difaham percubaan saat-saat akhir dibuat pagi semalam, apabila beberapa orang kuat bahagian itu menemui Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya untuk “memujuk” beliau. Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu tetap dengan pendiriannya untuk bertanding.

Menurut seorang perwakilan, Ahli Jawatankuasa Umno Kubang Pasu telah mengadakan mesyuarat khas petang semalam dan menghubungi perwakilan melalui telefon meminta mereka menghadiri majlis penerangan oleh ketua bahagian di Kelab Golf Darulaman.

Johari kata Dr M lanjut usia

Johari dalam ucapannya meminta para perwakilan supaya jangan mengundi Dr Mahathir kerana mendakwa ia akan membawa perpecahan kepada parti.

Beliau juga meminta perwakilan jangan memilih Dr Mahathir kerana menurutnya bekas Perdana Menteri itu sudah lanjut usia ‘dan tidak sesuai untuk menjadi perwakilan’.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mesti menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah menyediakan banyak kemudahan kepada penduduk Kubang Pasu.

“Saya minta buat bina masjid Changlon, beliau buat...saya minta buat masjid Jitra pun Pak Lah sediakan...apa yang kita minta semua beliau berikan...,” kata Johari.

Manakala Osman dalam ucapannya pula berkata, Dr Mahathir mesti ingat kepada peristiwa 1987 yang membawa pengharaman Umno serta pertelagahannya dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

“Kita bukan tidak sayang Dr Mahathir tapi kita kena ikut kepimpinan sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi...kita sayang Dr Mahathir tapi tidak sesuai jadi perwakilan,” katanya.

Saad pula memberitahu para perwakilan betapa aibnya Dr Mahathir jika beliau dipilih sebagai perwakilan dan oleh itu, beliau menyeru mereka supaya jangan mengundi bekas Perdana Menteri itu esok.

Dr M calon nombor 1

Sementara itu, dalam undian kedudukan senarai nama calon dalam kertas undi yang diadakan di pejabat Umno Kubang Pasu semalam, Dr Dr Mahathir disenaraikan sebagai calon nombor satu manakala Mukhriz di tempat 10.

Keputusan pemilihan perwakilan G-7 Kubang Pasu ini akan menentukan sama ada bekas Presiden Umno itu berpeluang“duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan ahli biasa parti itu di perhimpunan agung November depan.

Pertandingan kali ini dikatakan sengit kerana terdapat usaha-usaha serius untuk menggagalkan Dr Mahathir menjadi perwakilan perhimpunan agung Umno November ini.

Adakah nombor 1 itu satu kebetulan atau satu petanda baik bagi bekas Perdana Menteri itu?

“Kita harap Tun (Dr Mahathir) dan anaknya akan muncul pemenang dengan undi tertinggi. Mereka mendapat nombor yang sangat sesuai dan cantik serta mudah diingati perwakilan,” kata seorang penyokongnnya.

Mukhriz akan hadir mesyuarat hari ini selaku ahli jawatankuasa bahagian Kubang Pasu. Beliau mendapat undi tertinggi dalam pemilihan bahagian pada 2004. Bagaimanapun Dr Mahathir yang merupakan orang pertama menjadi ahli Umno (baru) pada 1987 – dengan nombor pendaftaran 0000001 – akan hanya hadir sebagai pemerhati kerana beliau ahli biasa di bahagian tersebut.

Umno Kubang Pasu yang diketuai Johari, yang juga bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, mempunyai 493 perwakilan dari 138 cawangan. Mesyuarat bermula jam 9 pagi ini di Dewan Sri Wawasan, Jitra.

Mesyuarat bahagian ini menjadi tumpuan ramai apabila Dr Mahathir yang sedang berkrisis dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Ahmad Badawi, menyatakan hasrat bertanding sebagai perwakilan untuk menghadiri persidangan agung Umno dan bercakap di perhimpunan tersebut.

Beliau kecewa dengan tindakan pihak tertentu yang menekan dan membatalkan majlis-majlis yang patut dihadirinya bagi menghalangnya menyuarakan rasa hatinya kepada rakyat.

Para pemerhati politik Umno yang kini “berkampung dan berkubang” di Kubang Pasu meramalkan peluang Dr Mahathir untuk menang adalah 50-50 tetapi Mukhriz mempunyai harapan yang lebih cerah.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59