Monday, 25 September 2006

Umno BERMIMPI DI SIANG HARI


Johor Baharu 25 Sept : Hasrat ahli Umno Johor agar projek yang menguntungkan Singapura dalam perdagangan dua hala dihentikan hanyalah angan-angan kosong kerana semua orang tahu bahawa apa sahaja perhubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura tidak mungkin dikaji semula oleh pemimpin kerajaan Malaysia kerana mereka sememangnya lemah dan takut kepada Singapura.

Media hari ini melaporkan bahawa Umno Johor mahu apa juga projek yang lebih menguntungkan Singapura daripada rakyat negara ini dibatalkan.

Ini termasuklah projek kereta api laju Kuala Lumpur ke republik itu.

Selain itu, UMNO Johor juga mahu Kerajaan Pusat tidak bertolak ansur atau mengambil kira soal Singapura dalam perancangan membangunkan Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER).

Ketua Penerangannya, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan itu perlu diambil ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew bahawa kaum Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik.

Malah, kenyataan provokasi itu bukan yang pertama diucapkannya kerana pemimpin yang sama pernah menuduh kaum Cina negara ini sebagai warganegara kelas kedua satu masa dulu.

‘‘Kita tidak boleh bertolak ansur dengan negara yang tidak menghormati semangat setia kawan di kalangan negara ASEAN dan tidak menjaga hati jiran itu,’’ tegasnya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kuan Yew semasa mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di republik itu Jumaat lalu.

Menteri Mentor itu mendakwa bahawa orang Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga kesal dengan kenyataan tersebut dan akan menulis surat kepada Kuan Yew untuk mendapatkan penjelasan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Ghazali Ibrahim berkata, Malaysia kini perlu mengkaji semula dasarnya dalam menjalin hubungan dengan Singapura.

Beliau berkata, selama ini, Malaysia selalu memilih pendirian untuk menjaga hati Singapura dalam menjalin hubungan dengan republik itu.

Menurutnya, dalam banyak hal Malaysia terlalu banyak berlembut dengan Singapura dan sikap berlembut itu perlu ada batasnya.

Ghazali berkata, sampai bila Malaysia perlu menjaga hati Singapura.

‘‘Singapura juga perlu mempunyai sikap menghormati perasaan kita (Malaysia),’’ katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Idris Haron pula berkata, sekiranya Kuan Yew mengeluarkan kenyataan bagi pihak kerajaannya, adalah wajar Malaysia mengkaji semula projek-projek negara ini yang melibatkan republik itu.

‘‘Kita perlu meneliti terlebih dahulu kenyataan Kuan Yew itu sama ada ia kenyataan peribadi atau mewakili negaranya.

‘‘Sebagai bekas Perdana Menteri, Kuan Yew seharusnya sedar kenyataan seumpama itu boleh menjejaskan perhubungan antara Malaysia dan Singapura,’’ katanya.

Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Hasni Mohammad turut menyokong cadangan itu supaya perancangan Wilayah Ekonomi Selatan Johor tidak mengambil kira kepentingan Singapura.

Sebaliknya, projek itu hendaklah lebih menumpukan kepada kepentingan rakyat Johor, katanya.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria berkata, apa juga bentuk projek yang menguntungkan Singapura tidak harus dilayan kerana mereka (Singapura) tidak pandai menjaga sensitiviti negara jirannya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Malaysia tidak sepatutnya layan kenyataan Kuan Yew yang dianggap seperti ‘raksasa’.

‘‘Apa sahaja pembangunan yang berbentuk komersial dan memberi keuntungan kepada Singapura tidak harus diteruskan,’’ katanya.

Sementara itu, menurut Mohd. Puad lagi, Kuan Yew sebenarnya cemburu dengan segala kemudahan dan kejayaan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia termasuk kaum Cina serta kaum-kaum lain.

Katanya, pemimpin kanan itu juga rasa tidak senang hati apabila pemimpin-pemimpin Malaysia walaupun silih berganti tetapi mampu mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum.

‘‘Kuan Yew sendiri mengamalkan sikap meminggirkan rakyatnya seperti yang dilakukan terhadap orang Melayu di Singapura.

‘‘Kesannya, ramai orang Melayu di republik itu lebih berminat membeli rumah di Johor kerana mereka lebih selesa dan diterima semua pihak berbanding di negara sendiri,’’ katanya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59