Tuesday, 19 September 2006

TV3 TIDAK SIARKAN BERITA MENGENAI USUL SALAHUDDIN TERHADAP POPE BENEDICT DI PARLIMEN


KUALA LUMPUR, 19 Sept - Usul di Dewan Rakyat menggesa Pope Benedict XVI menarik semula kenyataan menghina Islam tidak disiarkan oleh TV3 salah satu media tunggangan Kerajaan Islam Hadhari oleh kerana usul tersebut dibawa oleh wakil PAS Salahuddin Ayob (PAS-Kubang Kerian).

Nampak jelas bahawa kepentingan politik mengatasi kepentingan Islam apabila berita mengenai usul ini langsung tidak disiarkan oleh TV dalam Buletin 1.30 petang tadi. Kita yakin TV3 begitu taat kepada 'Tuan' mereka kerana dengan penyiaran berita mengenai usul tersebut maka sudah tentu Ahli Parlimen PAS dilihat lebih prihatin dan peka kepada kedaulatan Islam berbanding Ahli Parlimen BN/Umno.

Usul tersebut telah diterima oleh Yang diPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib di Dewan Rakyat hari ini dan ianya akan dibahaskan pada sessi sebelah petang.

Salahuddin dalam membacakan usul di bawah Aturan Urusan Mesyuarat Perkara 18 (1) berkata, kenyataan Pope Benedict tentang Nabi Muhammad s.a.w. telah mencetus reaksi bahawa ia satu penghinaan terhadap Islam itu sendiri.

"Tindakan Pope Benedict memetik kata-kata maharaja Byzantine itu mengenai Nabi Muhammad, bagi mengaitkan Islam dengan keganasan amatlah mengecewakan malah ia satu keterlaluan, " kata Salahuddin ketika membacakan usul ketika sidang ditangguhkan sebentar bagi mendengar usul tersebut.

Kenyataan Benedict ini juga katanya hanya akan mengundang satu suasana yang tidak harmonis antara penganut agama Islam dan Kristian sedangkan hubungan antara dua agama ini satu ketika dahulu sangat harmonis.

"Saya masih ingat kepada mendiang Pope John Paul ketika masih hidup, mendiang amat memelihara hubungan dengan umat Islam, hatta semasa pengebumian mendiang Pope John, ulama' dan pembesar agama Islam turut menziarahinya bagi memberi penghormatan terakhir.Ini seharusnya ditiru oleh Pope Benedict," katanya lagi.

Justeru beliau mendesak Pope Benedict menarik kembali kenyataannya secara ikhlas tanpa sebarang syarat mahupun niat di sebaliknya, katanya.

Usul Salahuddin mengenai Pope Benedict itu akan dibahas di Dewan Rakyat petang ini bermula jam 4.30 petang hingga 5.30 petang.

Sementara itu terdahulu, laporan AFP menyebut, kenyataan Benedict mengenai Islam dibuatnya dalam satu ucapan di Jerman yang mengisahkan perbualan antara Maharaja Kristian Empayar Byzantine, Manuel Paleologos II dengan seorang cendekiawan Paris mengenai kebenaran agama Islam dan Kristian.

Benedict dilaporkan memetik kata-kata maharaja Byzantine itu mengenai Nabi Muhammad, iaitu: “Saya memetik kata-katanya, “Tunjuk kepadaku apakah yang baru yang dibawa oleh Muhammad, dan ia hanyalah kejahatan dan ketidak perikemanusiaan, seperti perintahnya untuk mengembangkan (ajarannya) melalui pedang.”

Jurucakap Pope kemudiannya berkata, Benedict menghormati Islam tetapi menolak keganasan yang dikaitkan dengan agama itu. Penjelasan itu, bagaimanapun gagal meredakan kemarahan umat Islam.

Akibat kenyataan itu, Parlimen Pakistan sebulat suara meluluskan resolusi menuntut Pope “menarik balik kenyataan itu demi menjaga keharmonian antara agama.”

Di India, Pengerusi Suruhanjaya Negara bagi Kaum Minoriti, Hamid Ansari berkata: “Bahasa yang digunakan oleh Pope bunyinya sama seperti rakan sejawatannya pada Abad ke-12 yang memerintah supaya dilancarkan Perang Salib”.

Kumpulan Ikhwan al-Muslimin, yang merupakan pembangkang utama di Parlimen Mesir, menyifatkan ucapan Pope itu lebih serius daripada isu lukisan kartun gambar Nabi Muhammad yang telah mencetus kemarahan umat Islam di seluruh dunia awal tahun ini.

"Saya rasa Pope itu akan berdepan dengan bantahan keras, kerana kenyataannya lebih memudaratkan berbanding dengan lukisan kartun tersebut, kerana ianya datang dari mulut seorang pemimpin yang mewakili berjuta-juta manusia,” kata pegawai kanan kumpulan tersebut Abdel Moneim Abul Futuh.

Di Turki, pengerusi direktorat halehwal agama negara itu, Ali Bardakoglu pula menyifatkan kenyataan Pope itu “penuh rasa permusuhan dan kebencian” dan menegaskan Pope tersebut tidak harus dibenarkan ke Turki.

Reaksi yang sama tercetus di Iran, iaitu Ahmad Khatami berkata, adalah sesuatu yang amat malang apabila pemimpin masyarakat Kristian dunia tidak faham mengenai Islam dan bercakap dengan begitu biadap sekali.

Manakala golongan ulama Sunni di Iraq pula menggesa kerajaan menghalau wakil Vatican sebagai bantahan terhadap kenyataan Pope tersebut.

Sementara itu Yayasan Ramadan di Britain membandingkan Pope Benedict XVI dengan Pope sebelum ini, John Paul II.

"Mendiang Pope John Paul II menghabis lebih 25 tahun untuk membina jambatan dan hubungan baik dengan masyarakat Islam. Dia telah memperlihatkan kepada dunia bahawa persepsi mereka terhadap Islam adalah salah dan kita adalah satu masyarakat yang cintakan keamanan,” katanya.

Sumber : Harakahdaily.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59