Thursday, 28 September 2006

TIMBALAN PM PALESTIN DIBEBASKAN


RAMALLAH 28 Sept. – Seorang hakim tentera Israel semalam mengarahkan pembebasan Timbalan Perdana Menteri Palestin, Nasseredine al-Shaer, yang sebelum ini ditahan dalam tindakan keras terhadap gerakan kumpulan Hamas.

Peguam Nasseredine, Ussam al-Saadi memberitahu AFP, hakim mengarahkan pembebasan Nasseredine kerana ‘kekurangan bukti’ untuk mengenakan tuduhan terhadapnya.

Nasseredine yang ditahan pada 19 Ogos lalu adalah pegawai kumpulan Hamas yang paling kanan dibebaskan sejak serangan balas negara Yahudi tersebut ke atas Palestin selepas Hamas mengaku turut bertanggungjawab dalam penculikan salah seorang askar Zionis, Koperal Gilad Shalit pada penghujung Jun lalu.

Israel telah menahan lebih 60 orang pegawai Hamas, termasuk satu pertiga daripada Kabinet Palestin dan lebih dari 20 orang ahli Parlimen selepas penculikan serta pembunuhan dua orang askar Yahudi.

Seramai 28 orang ahli Parlimen termasuk Speaker Parlimen, Aziz Dweik dan empat menteri Kabinet masih ditahan atas tuduhan menganggotai pertubuhan pengganas.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah mendesak Israel supaya melepaskan kesemua menteri Hamas dan menteri-menteri lain sebelum sebuah kerajaan perpaduan dapat ditubuhkan antara kumpulan Hamas dan Fatah.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59